Monday, June 28, 2010

Polis Toronto tangkap 480 penunjuk perasaan


SEORANG lelaki bermain gitar di hadapan sebuah kereta polis yang dibakar oleh penunjuk perasaan di Toronto kelmarin.


TORONTO - Polis Toronto memberitahu, pihaknya telah menahan seramai 480 orang di seluruh bandar raya itu selepas tunjuk perasaan memprotes sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20) bertukar menjadi ganas di sini semalam.

Jurucakap Unit Keselamatan Bersepadu, Gillian Van Acker berkata, sejumlah orang penunjuk perasaan yang disyaki memulakan keganasan telah didakwa.

Unit itu bertanggungjawab menjaga keselamatan persidangan yang dihadiri oleh para pemimpin kuasa ekonomi dunia.

Jurucakap polis, Michelle Murphy menyifatkan insiden tersebut sebagai protes yang kucar-kacir.

Mereka yang ditahan bakal berdepan pelbagai tuduhan termasuk mengasari anggota-anggota polis.

Protes pada Sabtu lalu itu bermula dengan satu demenstrasi aman.

Namun, ia menjadi kekacauan selepas kumpulan-kumpulan bertopeng yang berpisah daripada kumpulan utama membuat kacau dengan memecahkan tingkap-tingkap kedai serta bank, selain membakar sekurang-kurangnya empat buah kereta polis.

Asap daripada kebakaran itu menjulang tinggi melepasi hotel mewah di pinggir bandar yang menjadi lokasi para pemimpin dunia bermesyuarat.

Kawasan tertutup yang dilindungi oleh pagar dan pasukan polis itu memerlukan Kanada mengeluarkan kos keselamatan yang mencecah AS$1 bilion (RM3.2 bilion).

Polis berharap sebarang protes yang dianjurkan pada hari terakhir persidangan berlangsung dalam keadaan aman.

Pihak polis mengakui bahawa anggota-anggota keselamatan gagal mengawal keadaan dan terpaksa menggunakan gas pemedih mata.


SEORANG penunjuk perasaan memecahkan tingkap sebuah kedai di Toronto kelmarin.


"Apa yang kami lihat ialah sekumpulan samseng yang kononnya mempunyai pandangan berbeza mengenai dasar-dasar (negara-negara anggota yang bermesyuarat).

"Mereka kemudiannya memilih keganasan untuk meluahkan apa yang dipanggil perbezaan pendapat," kata Dimitri Soudas iaitu jurucakap Perdana Menteri Kanada Stephen Harper.

"Memang rakyat tidak bersetuju berhubung beberapa isu. Namun, anda tidak mahu melihat orang membakar kereta polis dan memecahkan tingkap," katanya lagi.

Menjelang pagi semalam bandar terbesar Kanada itu tenang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: