Monday, June 7, 2010

Demam Bola Sepak Piala Dunia Ala Malaysia

DEMAM PIALA DUNIA... Penjual kad prabayar Nur Atika Mohd Fadzil, 19, teruja dengan aksi-aksi penyerang pasukan pilihan Piala Dunia terutama dari Brazil, Kaka dan penyerang Argentina Lionel Missi yang bakal beraksi di Afrika Selatan bermula 11 Jun hingga 11 Julai ini.

MENJELANG tiupan wisel pemula Piala Dunia di Afrika Selatan pada Jumaat ini, Malaysia sudahpun terkena kehangatannya sejak dua bulan lepas.

Tidak kira sama ada di kampung mahupun di bandar, di sekolah atau di pejabat, bual bicara mengenai ketangkasan pemain atau kekuatan pasukan yang bertanding sentiasa kedengaran di mana sahaja.

Di ibu negara, kedai makan, restoran dan pusat hiburan di sekitar ibu kota sudah lebih sebulan memulakan kempen tersendiri menyambut ketibaan musim Piala Dunia kali ini.

"Sebelum ini pun saya sudah sediakan layar di gerai saya ini. Masa itu ramai pelanggan datang untuk saksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris.

"Untuk Piala Dunia 2010 ini, saya jangkakan sambutan lebih hebat lagi," kata Marzuki Hashim, peniaga makanan di kawasan Pantai Dalam di sini.

Di sekitar kawasan tarikan pelancong asing di Jalan P. Ramlee dan Bukit Bintang, kebanyakan pusat hiburan di situ juga meraikan kemeriahan pesta bola sepak antarabangsa itu.

Kain rentang bersaiz gergasi kempen Piala Dunia 2010, dengan slogan "Sorakan 1Malaysia 1Dunia" memenuhi bangunan Angkasapuri menjelang kejohanan berprestij Piala Dunia yang berlangsung di Afrika Selatan bermula dari 11 Jun hingga 11 Julai ini.

Ada yang menghiasi premis mereka dengan bendera 10 pasukan bola sepak terbaik dunia dan ada juga yang meletakkan replika gergasi Piala Dunia di hadapan premis mereka.

Apabila bercakap mengenai Piala Dunia, pemakaian jersi mengikut pasukan kegemaran dianggap sebagai suatu kemestian kepada setiap peminat bola sepak.

Seorang peminat tempatan, Mohd Azhar Latif, berkata bahawa untuk kempen Piala Dunia ini, beliau memilih Brazil sebagai pasukan pilihan kerana skil pemainnya.

"Bagaimanapun, saya tetap menyokong pasukan kita, Malaysia, walaupun kita tidak layak ke Piala Dunia," katanya.

Seorang peniaga jersi yang enggan nama dikenali, berkata permintaan terhadap jersi-jersi pasukan bola sepak yang bertanding mula mendapat sambutan sejak dua bulan lepas.

"Kalau diikutkan, pada kebiasaannya orang ramai akan mula ghairah membeli jersi pasukan kegemaran masing-masing bila sudah sampai ke peringkat suku akhir perlawanan," katanya.

Seorang pekerja stesen minyak Petronas di Pandamar Indah Port Klang, menunjukkan kain rentang peraduan syarikat Petronas sempena perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Pengaruh teknologi maklumat juga digunakan oleh peniaga untuk menjual barangan mereka melalui Facebook dan juga blog persendirian.

"Saya menjual jersi ini secara sambilan sahaja. Tidak sangka juga jersi-jersi yang saya iklankan dalam laman Facebook saya mendapat sambutan yang di luar jangkaan," kata Rosli Ahmad.Katanya semua jersi itu adalah buatan Thailand dan China.

"Saya menjualnya dengan harga yang berpatutan dengan mengambil kira kos penghantaran. Bagi jersi yang bernombor pemain, saya jual dengan harga RM80 dan yang tidak bernombor pula RM60," kata Rosli.

Dalam suasana keghairahan menantikan sepak mula perlawanan Piala Dunia pada 11 Jun ini antara tuan rumah Afrika Selatan dan Mexico, tidak kurang juga peminat mencari koleksi khas Piala Dunia 2010.

Beberapa pusat beli-belah terkemuka di negara ini juga tidak ketinggalan. Gedung hypermarket Giant, pengedar berlesen cendera hati Piala Dunia di Malaysia, menawarkan rantai kunci, pin, payung, kemeja-T, topi, pelekat magnet dan maskot rasmi Piala Dunia 2010, Zakumi, di semua cawangannya.

Syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini seperti Telekom Malaysia, Celcom, Maxis, Digi dan Tune Talk pula menawarkan pakej-pakej istimewa, peraduan dan kad tambah nilai edisi terhad kepada pelanggan mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: