Monday, June 7, 2010

Shuhaimi Lua tidak hirau ugutan



Berlandaskan realiti kehidupan sebenar, bukanlah satu kerja yang sia-sia bagi lakon layar baru yang semakin dikenali Shuhaimi Lua Abdullah.

Memaparkan sebahagian kecil kehidupan sebenar dan kegiatan di rumah urut gay yang mana benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat kita kini, ia satu karya agung baginya.

Bukan niat mencari populariti sekelip mata di sebalik filem pendek berdurasi 18 minit berjudul Chukang yang dihasilkannya baru-baru ini.

Ada sesetengah pihak yang menyalahertikan penghasilannya sehingga tidak semena-mena dia menerima beberapa ugutan

“Pada awalnya saya tidak menyangka dengan penghasilan karya saya sendiri berjudul Chukang ini mengakibatkan ada sesetengah pihak yang kurang senang. Saya diekori apabila pulang ke rumah, nasib baik menyedarinya. Lantaran tiga hari selepas diekori panggilan telefon turut diterima agar berjaga-jaga kerana akan sering diperhatikan dari masa ke semasa.

Tidak cukup dengan itu lemparan batu ke arah bilik tidur yang terletak di hadapan rumah turut berlaku. Berikutan itu saya tidak teragak-agak melaporkan kepada polis bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku,” katanya yang tidak menyangka perkara sebegini berlaku pada dirinya.

Shuhaimi menyatakan kepada Sinar Harian bahawa penghasilan Chukang adalah berdasarkan kisah benar kenalannya yang mempunyai pengalaman hidup bekerja di rumah urut.

“Sebagai salah seorang pengarah baru saya perlu ada satu karya yang baru di mana orang boleh menilai sejauh mana tahap kemampuan saya dalam bidang pengarahan. Di samping itu ini semua saya lakukan hanya sebagai profil yang mana menjadi bukti kepada penglibatan saya ini.

Penghasilan filem pendek seperti Chukang juga bukanlah tujuan mendapatkan publisiti murahan jauh sekali mencetuskan kontroversi. Lebih-lebih lagi maksud Chukang sendiri dalam bahasa Hokkien bermaksud kerja,” katanya lagi yang sama sekali tidak serik untuk terus menghasilkan karya lebih segar.

Hakikatnya di sini, Chukang bukanlah satu filem pendek yang ingin mendapat perhatian dan mengembalikan fenomena filem realiti lain seperti mana Comolot, Bukak Api, Anu Dalam Botol dan banyak lagi.

Di samping itu, Shuhaimi berpendapat apa yang dilakukan itu bukanlah satu kesalahan malah secara kebetulan sahaja isu ini mendapat perhatian daripada pihak berkuasa yang melakukan beberapa serbuan sebelum ini.

Kemungkinan perkara sebegini yang membuatkan para pengusaha rumah urut mengalami sedikit kerugian dalam operasi mereka.

Menurutnya, untuk penghasilan filem pendek Chukang ini dia mendapatkan pandangan dan nasihat pelbagai sudut, termasuk Presiden Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama Mat London. Dengan suntikan semangat itu, membuatkan dia lebih berani dan yakin untuk menghasilkannya.

Filem pendek yang berbekalkan modal sebanyak RM10,000 ini dikatakan sudah dilihat mendapat perhatian daripada banyak pihak menerusi laman web YouTube yang sudah pun menjangkau kepada 35,000 pengunjung dalam masa dua minggu.

Melihatkan daripada perkembangan ini, Shuhaimi langsung tidak patah semangat dan takut kepada dunia luar. Malah berbesar hati dengan menghantar penyertaan bagi kategori filem pendek di Festival Filem Malaysia ke 23 yang akan berlangsung pada 16 Julai hingga 18 Julai ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: