PARIS: Menara Eiffel sememangnya menjadi keigauan bagi rakyat Malaysia apabila diberi peluang pergi ke negara yang terkenal dalam cerita filem sebagai bandar raya fesyen dan romantik.
Bila diberitahu akan ditugaskan ke Paris, kota terbesar di Eropah, untukliputan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke persidangan Unesco baru-baru ini, terus tergambar dalam fikiran Menara Eiffel yang menjadi ikon kota romantis itu.
Kata orang tak sah ke Paris kalau tidak ke Menara Eiffel. Lantas, setelahselesai urusan pendaftaran bilik di sebuah hotel butik, Hotel de Sers, penulis mengambil peluang untuk mengenali kota romantis ini.
Dalam kedinginan 5 darjah Celsius, kesejukan yang belum pernah penulis rasai sebelum ini, penulis memulakan langkah. Keluar saja dari bangunan penginapan, sudah kelihatan Menara Eiffel. Jauhnya hanya 20 minit berjalan kaki dari hotel.
Menjadi kebiasaan penduduk tempatan, malah pengunjung, menikmati keindahan kota cahaya ini dan bangunan-bangunan yang mempunyai seni reka yang mengagumkan dengan berjalan kaki sambil menyusuri Sungai Seine yang melintasi kotaraya itu.
Lagipun caj bayaran teksi di Paris mahal - EU80 untuk sejam. Ia di luar kemampuan penulis.
CABARAN MENUJU KE EIFFEL Paris adalah sebuah bandar yang luas dan dengan mengetahui sistem pengangkutan awamnya akan memudahkan perjalanan ke tempat-tempat menarik disana. Untuk bergerak ke mana-mana di Paris tidak menjadi masalah kerana sistem pengangkutannya amat tersusun.
Ada perkhidmatan bas, tren dan bot untuk lawatan sambil menyusuri Sungai Seine. Lagi pun kebanyakan tempat menarik di Paris berhampiran sungai.
Namun disebabkan menjadi kebiasaan masyarakat Eropah untuk berjalan kaki, maka penulis mengambil langkah yang sama.
Tersergam di Champ de Mars ialah Menara Eiffel atau Tour Eiffel yang kini menjadi ikon dunia bagi Perancis.
Merupakan bangunan tertinggi sewaktu ia siap dibina hingga 1930, menara ini adalah antara mercu tanda paling dikenali dan dilawati seluruh dunia.
Ia dikatakan telah dikunjungi lebih 200 juta pelawat setakat ini.
Dengan ketinggian 324 meter (bersamaan dengan ketinggian bangunan 81 tingkat), dengan antena televisyen setinggi 24 meter di atasnya, menara besi ini dibina untuk Pesta Dunia 1889 dan dinamakan sempena perekanya, Gustave Eiffel.
Terdapat 1,652 anak tangga untuk sampai ke puncaknya. Menara ini dikatakan bergoyang 6-7 sentimeter bila ditiup angin.
SEJARAH EIFFEL Menara Eiffel dibina untuk keperluan Pekan Raya Internasional di Paris pada tahun 1989 untuk memperingati seratus tahun Revolusi Perancis. Ia dirasmikan oleh Prince of Wales, yang kemudian menjadi Raja Edward V11.
Pada tahun 1909, menara ini hampir dirobohkan, tetapi dapat diselamatkan kerana antenanya diperlukan untuk menghantar telegram. Menara ini mempunyai tiga tingkat.
Pengunjung perlu membeli tiket untuk menaiki menara ini, sama ada dengan menaiki lif atau mendaki tangga, sebanyak 300 anak tangga untuk ke tingkat pertama dan 300 anak tangga lagi untuk ke tingkat kedua.
Bagaimanapun, laluan ke tingkat ketiga hanya dibenarkan dengan menaiki lif. Ruang di tingkat pertama dan kedua menempatkan restoran, termasuk Jules Verne, yang dikatakan restoran paling mahal, kedai cenderahati dan lain-lain lagi.
Pemandangan dari tingkat-tingkat ini, terutama yang paling atas amat menakjubkan.
Kisahnya, pembinaan menara ini tidak diterima baik dan dikatakan lebih 300 petisyen dibuat bagi membantah projek ini.
Bagaimanapun dengan kecekalan perekanya dan seramai 300 pekerja menyusun 18,038 potongan besi waja yang disambung dengan dua setengah juta paku, menara ini mampu terbina.
Kini ia tersergam dan menjadi simbol keagungan kota Paris.
LAGI TEMPAT MENARIK
Sebagai sebuah bandar fesyen tersohor didunia, Paris mempunyai sejarah yang berwarna-warni dan masyhur sebagai syurga karya seni agung. Lawatan seperti ke Musée du Louvre, Château de Versailles, Champs Elysees, Centre Georges Pompidou dan Arch de Triumph pasti akan meninggalkan sejuta kenangan.
Perancis adalah sebuah negara penuh seni dan kebudayaan. Keelokan senibina bangunan dan panorama serta atmosferanya membuat anda merasa relaks dan bahagia.
Antaranya, Notre Dame de Paris (bahasa Perancis untuk "Bunda Kita di Paris") iaitu satu cathedral atau gereja yang mempunyai senibina gothic Perancis.
Ia adalah sebuah bangunan batu dalam sejarah bangunan dunia yang terletak di antara dua sungai dan dibina pada tahun 1163 dan siap pada tahun 1334. Bila berada di bangunan ini, penulis dipesan untuk mencari tanda yang dinamakan "Paris Point Zero" di depan pintu masuk utama.
Apa yang dimaksudkan ialah sekeping tembaga berbentuk segi lapan yang ditanam dilantai di depan pintu masuk itu, tepat di mana bermula pengiraan jarak antara Paris dengan lokasi lain. Dikatakan, sesiapa yang memijak Point Zero ini akan balik lagi ke Paris.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: