Tuesday, June 15, 2010

Dari Internet ke bazar

KEHARUMAN biskut buatan sendiri yang memenuhi ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), nyata menggamit pengunjung yang memeriahkan Gedung Terbakar (GT) Bazaar Berrybunch edisi kedua yang berlangsung sempena sambutan Youth 10, di ibu negara baru-baru ini.

RESIPI IBU... Siti Shahida Shaharudin memasarkan sos tamar buatan  sendiri sejak dua tahun lalu.
RESIPI IBU... Siti Shahida Shaharudin memasarkan sos tamar buatan sendiri sejak dua tahun lalu.
Perniagaan biskut yang dikenali Crunchy Biscuits n Hampers itu mulanya dijalankan secara dalam talian oleh Zafida Ismail sebelum beralih ke pasaran lebih besar menerusi jualan di kedai terletak di Bandar Baru Bangi, lalu disemarakkan lagi dengan penyertaan di GT Bazaar itu yang bertujuan membantu usahawan Internet di kalangan wanita negara ini.


Biskut diberi nama Oat Rice yang dihasilkan menerusi resipi sendiri menjadi tarikan hangat di gerai pamerannya terutama apabila Zafida membawa ketuhar bagi menyediakan biskut itu lalu dijual 'panas' kepada pengunjung.


Gerai itu juga memberi alternatif kepada pembeli untuk mendapatkan produknya berbanding hanya menerusi laman www.crunchy.com.my atau kedai.


"Selain laman web dan jualan di kedai, kami turut bersedia menghantar pesanan ke kawasan berhampiran jika ia dalam jumlah yang banyak," katanya.


Selain biskut, GT Bazaar Berrybunch 2 turut dimeriahkan dengan gerai jualan pakaian wanita dan kanak-kanak, sos keluaran tempatan, bahan mentah seperti mi, barangan kosmetik, barangan penjagaan kereta, pusat sehenti pengurusan kesihatan dan khidmat nasihat bagi penjagaan berat badan.


Menurut penganjur bazar, Mohd Adlin Abu Bakar, GT Bazaar Berrybunch 2 ini berjaya menarik lebih 80 peniaga sejak ia kali pertama dianjurkan di PWTC ketika Pesta Buku Antarabangsa, dua bulan lalu.


"Berrybunch sememangnya fokus kepada perniagaan dalam talian sejak beberapa tahun lalu. Kami mempunyai ramai peniaga dalam senarai ahli jadi kami berusaha membawa mereka meneruskan perniagaan di luar iaitu dalam suasana bazar.


"Kami dapati ramai peniaga Internet ini tidak mampu atau tidak berpeluang memasarkan produk mereka di luar dan hanya bergantung kepada Internet.


"Bagi yang berpeluang berniaga di luar pun, biasanya di bazar biasa atau flea market dan bukannya di tapak pameran besar seperti PWTC. Jadi, penganjuran GT Bazar ini boleh disifatkan platform terbaik untuk mereka mengembangkan perniagaan di samping mendapatkan lebih banyak usaha sama di kalangan rakan niaga.


"Kami juga tidak bertindak sebagai penyedia tapak jualan semata-mata kerana kami turut membantu merancang pengurusan perniagaan bagi peserta untuk membolehkan mereka meneruskan perniagaan selepas tamat bazar ini," ujarnya. Dianggarkan lebih 85 peratus peniaga yang menyertai bazar itu adalah wanita dan produk yang dijual sememangnya tertumpu kepada kaum Hawa serta perkhidmatan berkaitan wanita.Babyandkidcollections misalnya antara gerai yang menawarkan pelbagai tudung dan pakaian kanak-kanak berjenama pada harga berpatutan. Pemiliknya, Siti Nurul Ain, 26, memulakan perniagaan itu sejak dua tahun lalu menerusi jualan busana kanak-kanak dan kini baru berjinak-jinak menjual pelbagai tudung yang mengikut aliran terkini.


Siti Shahida Shaharudin pula mahu mengembangkan produk sos tamar buatan sendiri kepada pengunjung selepas dua tahun menjualnya dalam laman web www.tamarmart.com.


"Sos ini diambil daripada resipi ibu yang mengandungi tamar, lada hitam dan habbatus sawda. Sos tamar ini juga boleh digunakan untuk pelbagai jenis hidangan serta sesuai untuk masakan panggang," ujarnya. Sementara itu, Melliza Abdullah cuba memperkenalkan bahan makanan yang lebih sihat dan sesuai dihidangkan untuk kanak-kanak yang enggan mengambil sayur-sayuran dalam hidangan mereka.


"Idea mencipta mi sayur daripada bayam, lobak dan daun sup itu tercetus selepas anak-anak saya tidak suka makan sayur-sayuran walaupun sudah dipotong halus dan dicampur dalam hidangan mi goreng kegemaran mereka. "Selain dalam laman web http://ehsanmurni.blogspot.com, saya turut mengedarkannya di sekitar Shah Alam," katanya.

Bagi yang mementingkan kesihatan, wujud beberapa gerai menjual produk makanan tambahan serta memberi khidmat nasihat bagi pengurusan berat badan seperti Central Club yang diusahakan Norizan Yazid dan keluarganya.


Central Club menyediakan analisis kecergasan termasuk imbasan badan untuk pengunjung menggunakan mesin Tanita dan bacaan kandungan air, berat serta bacaan diambil daripada mesin itu akan dinilai bagi membantu pengunjung menguruskan keperluan kesihatan mereka.


Bazar terbabit akan diteruskan bagi edisi ketiga, juga di PWTC, sempena majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa, hujung Julai depan. Bagi yang berminat menyertai edisi seterusnya, boleh melayari www.gtbazaar.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: