Wednesday, June 16, 2010

MPS kompaun premis langgar kesalahan


ANGGOTA penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang, Khairul Hisyam memeriksa lesen perniagaan di salah sebuah premis di Selayang Mall, Selayang baru-baru ini.


SEBANYAK 23 kompaun dikenakan kepada pengusaha pelbagai jenis perniagaan atas beberapa kesalahan dalam operasi lesen di Pusat Beli-belah Selayang Mall, Selayang baru-baru ini.

Kompaun itu dikenakan atas kesalahan seperti tidak memiliki lesen, membuat halangan di kawasan larangan di hadapan premis, tidak memohon lesen bagi papan tanda iklan dan tidak memakai apron.

"Tindakan itu adalah hasil pemeriksaan ke atas 180 premis pelbagai jenis perniagaan seperti restoran, kedai pakaian dan kedai salon kecantikan," kata Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohd. Jaid Ehsan. Kompaun maksimum RM1,000 dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil MPS 2007.

Menurut Mohd. Jaid, daripada jumlah kesalahan yang dilakukan itu, lapan kompaun dikeluarkan kepada pengusaha yang tidak mempunyai lesen perniagaan, dua tiada lesen iklan, lima meletakkan ba rangan di hadapan premis dan satu kompaun dikeluarkan atas kesalahan sekatan dalam premis.

"Selain itu, sebanyak tujuh kompaun dikeluarkan kepada pengusaha yang gagal mematuhi peraturan iaitu tidak mendapatkan suntikan Imunisasi Cegah Kepialu TYT dan tidak memakai apron," katanya pada satu sidang akhbar baru-baru ini.

Dalam pada itu, seramai 30 anggota penguat kuasa menyertai operasi berkenaan. Sehubungan itu kata beliau, mana-mana premis yang tidak mempunyai lesen diminta segera memohon lesen daripada MPS.

Operasi itu dilakukan bagi mengemaskini data MPS kerana ada di kalangan peniaga yang sudah tidak menjalankan perniagaan tetapi tidak memaklumkan status mereka kepada MPS.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: