KUALA LUMPUR: Tembelang empat warga Afrika yang mendakwa kononnya ahli perniagaan yang cuba memperdayakan seorang suri rumah dengan menawarkan wang tunai jutaan dolar Amerika Syarikat (AS) tidak berhasil apabila semua mereka dicekup dalam satu serbuan di Ampang, Khamis lalu.
Kegiatan sindiket itu terbongkar apabila suri rumah berusia 55 tahun itu membuat laporan polis apabila pelaburannya sebanyak RM17,000 tidak berhasil untuk digandakan.Sebaliknya, sindiket terbabit mendesak mangsa memasukkan lebih banyak wang konon bakal mendapat keuntungan berlipat ganda.
Menurut sumber, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Cheras menahan seorang lelaki warga Afrika berusia 27 tahun sebelum menyerbu sebuah rumah di pangsapuri di Bandar Baru Ampang, dekat sini, kira-kira jam 11 malam.
“Dalam serbuan itu, tiga lagi lelaki warga Afrika ditahan dan polis menemui beratus-ratus not kertas tempatan dan dolar Amerika dipercayai palsu dalam beg yang cuba dicampak warga Afrika berkenaan sebaik mengetahui rumah mereka diserbu,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit cuba memperdayakan mangsa supaya membuat pelaburan mencecah ratusan ribu ringgit bagi ditukarkan dengan wang palsu bernilai AS$3.5 juta (RM11.2 juta).“Awal Mei lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang suspek yang menawarkan pelaburan menggandakan wang menyebabkan mangsa ghairah untuk menjadi ‘jutawan segera.’
“Pada mulanya mangsa diminta melabur RM5,560 dan selepas menerima wang itu, sindiket terbabit mencari helah supaya mangsa melabur dengan jumlah yang lebih banyak. Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata manis lelaki Afrika itu kemudian membuat pelaburan kali kedua sebanyak AS$3,550 (RM11,360),” katanya.
Bagaimanapun, helah sindiket itu akhirnya dapat dihidu mangsa apabila dia diminta memasukkan lebih banyak wang menyebabkan dia membuat laporan polis.
“Semua suspek berusia 24 hingga 30 tahun memasuki negara ini sebagai pelajar dengan seorang daripadanya mendakwa pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Mereka ditahan reman selama 14 hari mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 489 Kanun Keseksaan kerana memiliki wang palsu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: