Tuesday, June 8, 2010

Titik mula buat bintang AF8


KESEMUA 12 bintang AF8 bersama album kompilasi single mereka pada majlis pelancaran album tersebut di Laundry Bar, The Curve, Damansara, baru-baru ini.


SETELAH lapan musim bersiaran, rancangan realiti berkonsepkan nyanyian paling popular, Akademi Fantasia (AF) inilah kali pertama album kompilasi yang membabitkan bintang-bintang AF, diterbitkan dengan kadar segera.

Bukan sahaja setiap 12 bintang tersebut diberikan lagu solo untuk menjadi 'pasport' mereka mengadakan persembahan di khalayak, malah, klip video berlatarkan lagu nyanyian mereka turut dihasilkan.

Album AF8 Hits telah pun dipasarkan sejak 23 Mei lalu dan khabarnya mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan di kalangan peminat setia rancangan itu di mana sehingga kini sebanyak 3,000 unit telah pun ditempah.

Bertempat di Laundry Bar, The Curve, Damansara baru-baru ini berlangsungnya pelancaran album tersebut.

Majlis tersebut dihadiri oleh kesemua bintang AF8. Ini termasuklah juaranya, Shahir, Adira, Iwan, Ain, Daus, Farina, Maulana, Nad, Alif, Anum, Ema dan Shah.

Selain itu, ia turut dihadiri oleh bekas Pengetuanya, Norman Abdul Halim, Pengarah Eksekutif Astro Entertaiment Sdn. Bhd. (AESB), Zainir Aminullah, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi serta ratusan peminat AF8.

Penghasilan album tersebut menyaksikan kerjasama erat antara KRU Studio dengan pihak AESB sendiri yang di lihat bertindak agresif membuat pelaburan bagi menerbitkan single untuk kesemua 12 bintang AF8.

Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album tersebut ialah Ku Ada Kamu, V.I.P, Penanggung Sepi, Kenapa?, Hujung Minggu, RSVP, Kebahagiaan Dalam Perpisahan, Aku Sudah Merdeka, Bangun Semula, Berakhir Sebelum Bermula, Hati-Hati dan Bernafas Lagi.

“Ini pertama kali album kompilasi yang membabitkan kesemua bintang AF untuk satu-satu musim dikeluarkan dalam masa paling cepat.

“Malah, inilah kali pertama juga menyaksikan kami mampu membawa kesemua lagu untuk diketengah dan diputarkan oleh saluran radio.

“Ini jelas membuktikan promosi terhadap bintang AF8 telah bermula dan ini merupakan titik awal yang positif buat kesemua mereka,” kata Zainir pada sidang akhbar sejurus selepas tamat majlis tersebut.

Bagi pihak KRU Studios, Norman memberitahu kerjasama tersebut membuka ruang kepada 12 orang anak didiknya itu untuk bertapak dalam kerjaya seni.

Seperti yang dijanjikan, lagu-lagu serta klip video yang dihasilkan oleh KRU Studio sendiri adalah antara produk awal yang dijanjikan kepada bintang-bintang tersebut.

Cukup bertuah, berbanding bintang-bintang AF selama tujuh musim bersiaran. Inilah peluang terbaik yang pernah diberikan kepada kesemua mereka.

Peluang sama rata dilihat memberikan sedikit warna dalam membentuk acuan seni mereka apatah lagi, rata-rata genre lagu yang dihasilkan cukup mesra pendengar dan amat bersesuaian sekali dengan lontaran vokal mereka.

“Setelah diberikan peluang sebaik ini harap-harap nanti mereka inilah yang bakal mewarnai persada seni serta mengungguli sebagai calon-calon dalam pelbagai anugerah seni terbaik di negara ini,” katanya.

“Mengikut perancangan awal, hanya enam bintang AF8 sahaja yang diberikan ruang untuk terlibat dalam album ini tetapi kami membuat keputusan untuk memberi peluang kepada kesemua mereka memandangkan bakat yang ada pada mereka.

“Sehingga kini, platform dan sokongan daripada peminat sudah ada. Seterusnya terpulang pada mereka untuk ambil peluang ini bagi mencorak kerjaya dan menonjolkan bakat masing-masing,” kata Norman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: