Tuesday, June 15, 2010

Janji Shahir pada peminat


Shahir Zawawi disuapkan makanan oleh ibunya, Mahanum Osman sambil diperhatikan oleh bapanya, Zawawi Abdullah pada majlis doa selamat sempena kepulangannya di Bandar Baru Kampar.


INILAH yang dikatakan tuah. Walaupun pernah tersingkir kerana mendapat undian tercorot pada konsert minggu ketujuh Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), nasib menentukan Ahmad Shahir Zawawi, 22, menjadi juara program realiti televisyen tersebut.

Belum pun habis anak muda kelahiran Kampar, Perak ini meraikan kejayaannya itu, dia dianugerahkan pula Ikon Belia Negeri Perak 2010 sempena sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri, baru-baru ini.

Ternyata, rezeki anak muda yang lebih dikenali sebagai Shahir ini semakin bertambah dan auranya semakin menyerlah.

Buktinya, single pertama Shahir, Kebahagiaan Dalam Perpisahan yang baru sahaja 16 hari ke udara melalui stesyen radio tempatan kini telah memasuki Carta Prebiu Era.fm dan Hot.fm.

Malah, klip muzik video lagu tersebut di laman Youtube juga berjaya mencatat lebih 400,000 pelayar yang disifatkan sebagai satu kejayaan manis buat anak seni yang baru seperti Shahir ini.

Ketika ditemui pada majlis kesyukuran dan doa selamat di rumahnya di Taman Bandar Baru Kampar, Perak, Sabtu lalu, kegembiraan jelas tergambar di wajahnya. Apatah lagi disambut dengan pelukan erat ahli keluarga serta taburan bunga rampai daripada ahli-ahli kelab peminatnya.

Kenduri kesyukuran yang diadakan di rumahnya pada jam 4.30 petang bukan sahaja dihadiri sanak saudara dan teman-teman rapat, tetapi juga peminatnya dari sekitar Kampar yang turut menjadikannya sebagai majlis menyambut kepulangan idola mereka.

Sorakan ‘Hidup Shahir’ dan kedatangan para peminat seawal pukul dua petang untuk merakam saat manis juara pujaan mereka menggamatkan suasana petang itu

Shahir yang pertama kali pulang ke rumah keluarganya selepas hampir tiga bulan meninggalkan Kampar, agak terkejut apabila majlis yang dikatakan hanya sebagai majlis doa selamat untuk menyambut kepulangan dan merayakan kejayaannya tiba-tiba bertukar menjadi satu sambutan yang begitu meriah dan dihadiri lebih 200 tetamu.

“Saya tak sangka disambut meriah dan saya amat menghargai usaha-usaha yang dilakukan oleh keluarga dan kelab peminat saya serta masyarakat setempat,” katanya yang tidak berenggang dengan ibunya Mahanum Osman dan bapanya, Zawawi Abdullah pada majlis tersebut.

Mengambil kesempatan melepas rindu kepada keluarga, anak muda ini juga tidak keberatan melayan peminat yang mahu bergambar dengannya.

Menyedari dia tiba lewat sejam daripada waktu yang dijanjikan, Shahir yang ditemani Pengetua AF8, Norman Abdul Halim memohon maaf daripada para peminat dan tetamunya.

“Saya minta maaf kerana kelewatan ini. Saya dah cuba sebaik mungkin, namun ada sedikit masalah teknikal yang menyebabkan saya bertolak lewat.

“Saya difahamkan ini hanya majlis kecil sahaja, tak sangka pula ia semeriah ini. Apa pun, terima kasih kepada keluarga dan peminat yang datang,” katanya.

Saat diajukan soalan pemilihannya sebagai Ikon Belia Negeri Perak sedangkan dirinya baru setahun jagung dalam industri muzik, anak muda ini nyata tidak mudah melatah.

Sebaliknya, yakin pemilihannya itu dibuat kerana berdasarkan kriteria tertentu dan berjanji untuk memberikan contoh yang terbaik kepada golongan belia.

Terharu dengan pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan negeri Perak, Shahir menyifatkan anugerah tersebut sebagai tanggungjawab besar yang perlu digalas.

“Saya cukup terharu dengan pengiktirafan yang diberikan ini dan berjanji akan menjadi contoh yang baik. Saya tahu ia adalah tanggungjawab yang sangat berat, tetapi saya akan cuba sebaik mungkin.

“Cuma saya harap peminat tidak terlalu meletakkan harapan yang tinggi kerana sebagai manusia biasa seperti remaja-remaja lain, saya tidak dapar lari dari pada melakukan kesilapan,” katanya yang mengharapkan akan kekal dalam industri hiburan tanah air dan menjadi artis yang dibanggakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: