PERKEMBANGAN teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ternyata mengubah corak kehidupan, tugasan dan urusan harian masyarakat.
Ledakan teknologi terutamanya rangkaian dan mudah alih bukan saja membolehkan individu berhubung antara satu sama lain malah segala maklumat juga boleh diakses di hujung jari pada bila-bila masa.
Sebut apa sahaja maklumat yang diingini daripada berita semasa, perkembangan politik, sukan, hiburan dan sebagainya kini boleh didapati dengan mudah dan pantas melalui saluran seperti Internet, televisyen satelit dan telefon bimbit.
Tidak terkecuali, syarikat televisyen berbayar di negara ini, Astro sentiasa melakukan perubahan bagi memastikan kepuasan para pelanggan.
Baru-baru ini, Astro dan pembekal rancangan sukan terkemuka di Asia, ESPN Star Sports telah melancarkan ESPNEWS di rangkaian 818 untuk pelanggan khususnya peminat-peminat sukan di negara ini.
Disiarkan selama 24 jam sehari dan tujuh kali seminggu, ESPNEWS yang disiarkan sejak 1 Mei lalu memaparkan segala maklumat terkini dan perkembangan dunia sukan yang berlaku di dalam dan luar negara.
Saluran terbaru itu mempunyai empat ciri-ciri utama yang berbentuk interaktif.
Antaranya video yang memaparkan aksi dan klip video sukan semasa. Di bahagian kiri skrin menyediakan paparan grafik mengenai kedudukan dan statistik liga bola sepak profesional di seluruh dunia.
Sementara itu, terdapat juga grafik yang memaparkan berita-berita terkini dalam masa sebenar manakala di bahagian bawah skrin peminat sukan boleh mengetahui keputusan terkini dan jadual pertandingan akan datang.
Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Unit Jualan, ESPN STAR Sports, Adam Zecha berkata, Malaysia negara keenam yang menikmati siaran itu selepas Myanmar, Filipina, Kemboja, Vietnam dan Singapura.
Pada masa ini berita yang disiarkan pada saluran itu disiarkan dalam bahasa Inggeris, bagaimanapun pihaknya bercadang untuk menghasilkannya dalam bahasa Melayu dan bahasa Mandarin pada masa hadapan.
"Ini merupakan dedikasi kami kepada para peminat sukan di negara ini yang sentiasa dahagakan berita-berita sukan di hujung jari.
"Konsepnya lebih bersifat interaktif di samping penggunaan grafik dan untuk menyampaikan perkembangan dengan lebih pantas dan padat di samping memberi pilihan kepada mereka mendapatkan informasi selain daripada peranti-peranti sedia ada seperti Internet, telefon bimbit, Ipad dan sebagainya," katanya.
Sementara itu, Ketua Program Sukan Astro, Lee Choong Khay berkata, kewujudan saluran itu sekali gus menjadikan Astro sebagai penyiar rancangan sukan terbesar di negara ini.
"Astro sentiasa menyajikan rancangan sukan yang terbaik melalui siaran langsung dalam sukan pelbagai liga bola sepak, F1, tenis, golf dan sebagainya.
"Dengan kehadiran ESPNEWS, para pelanggan kami kini mempunyai sepuluh pilihan siaran sukan secara keseluruhan. Lebih penting tiada tambahan kos dikenakan kerana ia termasuk dalam pakej sukan yang dilanggan sebelum ini," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: