Wednesday, June 2, 2010

Visi sinematik Le Dan


MAYAT wanita dan kanak-kanak bergelimpangan akibat pembunuhan beramai-ramai di perkampungan My Lai, Selatan Vietnam.


DI DALAM visi sinematik Le Dan, seorang bekas leftenan tentera Amerika Syarikat (AS) yang terseksa kembali ke Vietnam untuk memohon keampunan secara peribadi kerana memulakan perang pembunuhan beramai-ramai.

Dan, 82, mengambil idea penyesalan William Calley yang dibuat di AS tahun lalu. Dia kini melangkah ke hadapan dengan produksi terbarunya, Nhung La Thu Tu Son My (Surat dari Son My) yang menceritakan mengenai mangsa perang yang terselamat.

"Saya rasa ini ialah filem paling penting di dalam hidup saya," ujar Dan melalui satu temu bual telefon dari selatan Vietnam.

Dia telah menghabiskan filem itu dan sedang dalam proses akhir produksi dengan harapan ia dapat ditayangkan pada tayangan perdana Vietnam September depan.

Calley adalah satu-satunya askar AS yang dihukum di atas pembunuhan di My Lai dan di beberapa buah dusun di kawasan yang dipanggil penduduk setempat sebagai Son My.

Ia adalah salah satu momen gelap perang Vietnam dan mendorong pandangan awam AS terhadap konflik berkenaan.

Jumlah sebenar mangsa pembunuhan pada 16 Mac 1968 itu telah dipertikaikan tetapi AS menganggarkan sekitar 504 penduduk telah dibunuh, jumlah yang diguna oleh Dan.

Lelaki tua, wanita dan kanak-kanak, semuanya tidak bersenjata telah dibunuh oleh platun Calley, walaupun askar AS lain cuba menghalang.

"Tidak ada sehari pun yang berlalu tanpa saya berasa menyesal ke atas apa yang berlaku pada hari itu di My Lai," kata Calley pada Ogos lalu.

"Saya kesal ke atas pembunuhan rakyat Vietnam, keluarga mereka, askar Amerika yang terbabit dan keluarga mereka. Saya sangat menyesal," katanya.

Dan, yang telah menerbitkan 45 buah filem dan program televisyen sepanjang empat dekad kariernya berkata, keinginannya untuk menerbitkan filem tersebut bukan sahaja diilhamkan oleh permohonan maaf Calley, tetapi reaksi rakyat Vietnam terhadapnya.

Pham Thanh Cong, seorang mangsa perang yang terselamat yang kini mengarahkan sebuah muzium kecil di My Lai berkata, dia mengalu-alukan permohonan maaf Calley tahun lalu, biarpun ia sudah terlambat.

Kembali ke Vietnam

"Saya mahu dia kembali...dan melihat keadaan di sini," katanya.

Calley tidak kembali ke Vietnam tetapi dia berbuat demikian di dalam filem Dan, melalui karakter Peter Cage.

"Dia telah menjadi obses. Dia bangun pada tengah malam selepas mendapat mimpi ngeri mengenai pembunuhan di Son My. Dia membuat keputusan untuk kembali ke Vietnam untuk meminta maaf secara peribadi," kata Dan.

Cage menghantar e-mel kepada isterinya setiap hari untuk menyatakan perasaannya sepanjang kunjungannya ke Vietnam.

"Di dalam filem ini, kehidupannya sangat menyedihkan, tetapi tiada siapa yang membencinya. Saya mendapat maklumat mengenainya di Internet, di media.

"Saya rasa karakternya di dalam filem ini adalah di antara 70 hingga 80 peratus daripada William Calley yang sebenar," kata Dan.


VETERAN Perang Vietnam, Lawrence Colburn (kiri), 51, dari Canton, Georgia, menyertai Do Ba, 42, rakyat Vietnam yang ditemui 33 tahun lalu meletakkan colok di tanah perkuburan mangsa pembunuhan beramai-ramai My Lai.


Kebanyakan pelakon filem itu berasal dari My Lai. Seperti pengarah muzium tersebut, hanya beberapa orang saja yang hidup selepas kejadian itu.

"Saya berasa sangat tersentuh apabila mempunyai peranan di dalam filem ini kerana ahli keluarga dan jiran tetangga adalah mangsa di dalam perang pembunuhan beramai-ramai itu," Kata Cong yang menyaksikan sendiri ibu dan abangnya dibunuh di My Lai.

Di dalam layar, Cong mengetuai sebuah muzium seperti yang dilakukannya di alam nyata.

"Di dalam watak saya, saya memberi persetujuan untuk kemaafan," katanya.

Dan juga berkata, dia berharap untuk melibatkan Calley dalam sebahagian produksi barunya itu tetapi tidak mempunyai banyak masa untuk menguruskannya.

"Saya mungkin akan berhubung dengannya kemudian," ujar pengarah itu.

Rakaman sepanjang 95 minit itu dilakukan di antara Disember sehingga akhir Februari lalu di My Lai dan persekitaran wilayah Quang Ngai serta di bandar Ho Chi Minh. Dan berkata, dia dan rakan-rakannya membiayai sendiri produksi itu dengan kos kurang daripada sepuluh bilion dong (AS$516,000)

Katanya, dia mengambil pelakon Frenchman Gerard Saub, 65, untuk memainkan peranan Cage selepas dia tidak dapat mencari lelaki Amerika di Vietnam yang sesuai dengan watak itu.

Saub, bekas jurukamera di Paris yang mengembara ke serata dunia berkata, dia pernah memainkan watak-watak kecil sehingga diberi peluang oleh krew filem berkenaan untuk meneraju watak utama.

"Ia sangat sukar, benar-benar sukar untuk melakonkan watak Calley," kata Saub yang tinggal berdekatan bandar Ho Chi Minh dan mempunyai seorang isteri berbangsa Vietnam.

Ketika Anugerah Akademi didominasi oleh filem The Hurt Locker, drama mengenai pengeboman oleh tentera AS di Iraq, Dan merasakan filem itu bakal mendapat tempat di AS.

"Sudah tentu, saya menjangkakan filem ini ditayangkan di AS," katanya.

Calley telah dipenjarakan seumur hidup tetapi menghabiskan kira-kira tiga tahun sebagai tahanan di rumah sebelum mendapat pengampunan oleh presiden Richard Nixon.

Vietnam dan AS mengikat hubungan diplomatik sejak 15 tahun lalu dan negara komunis itu kini adalah rakan kunci ekonomi kepada AS.

"Negara kami ingin melupakan apa yang telah berlaku dan memandang ke hadapan," kata Cong.

Dia mahu filem itu menjadi sebagai jambatan perdamaian tetapi masih berharap supaya Calley kembali ke My Lai untuk meminta maaf secara peribadi kepada mangsa-mangsa sambil bekerja untuk menghalang tragedi yang sama berulang di tempat lain di seluruh dunia.

"Saya rasa selepas filem ini tamat, saya akan menghantar DVD kepada Calley. Saya mahu dia menonton filem ini," kata Cong.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: