SEHINGGA saat ini, Ariel vokalis Peterpan masih bungkam. Tidak menelurkan kata-kata sahih walhal seluruh Indonesia sedang menyebut namanya. Panas tiba-tiba setelah lama suam, terakhir dia dan ahli kumpulannya muncul dengan album Hari Yang Cerah. Judul album yang kini sangat ironi dengan keadaan dirinya masa kini.
Manakan tidak, sejak 4 Jun lalu, Ariel atau nama sebenar Nazril Irham menimbulkan ledakan gunung berapi di seluruh Indonesia dengan video-video seksnya.
Lebih menjadi lahar apabila video itu kononnya mempertontonkan aksi Ariel bersama kekasihnya, pelakon Luna Maya. Kemudian menjangkit pula kepada Cut Tari, hos cantik yang dikatakan mirip si pelakon dalam video porno yang disebarkan tanpa henti kini.
Pihak Bareskrim (Badan Reserse dan Kriminal Umum) Polri dan Polis Indonesia (Polri) sudah mula mengambil tindakan penyebaran klip panas ini. Pihak berkuasa tersebut juga sudah mula memanggil saksi utama iaitu Ariel, Luna dan Cut Tari untuk di soal siasat dan berharap selebriti yang terbabit memberikan kerjasama penuh terhadap kes tersebut. Luna Maya khabarnya masih di Singapura dan bakal berangkat ke Amerika Syarikat.
Ariel mengambil sikap mendiamkan diri manakala Cut Tari hanya membenarkan suaminya bersuara bagi pihak dirinya.
Pihak polis akan melakukan sisatan terhadap penyebar video tersebut dan akan mencari punca sama ada selebriti yang terbabit dalam kes itu mempunyai niat untuk mengedarkan video panas tersebut.
Cakera keras hilang
Kekalutan tersebarnya video-video lucah yang dikatakan mirip Ariel itu kononnya berpunca daripada kehilangan cakera keras komputer riba milik penyanyi tersebut. Khabar angin turut menyatakan vokalis kumpulan yang berasal dari Bandung, Indonesia itu sebelum ini diperas ugut oleh individu yang menemui cakera tersebut. Sebanyak dua video disebarkan manakala 30 video yang dipercayai membabitkan sejumlah selebriti menunggu masa untuk edaran. Ratu Felisha, Aura Kasih, Andhara Early dan vokalis grup SHE, Melly Herlina turut 'muncul' dalam adegan-adegan panas .
"Video porno itu disimpan dalam cakera keras luaran milik Ariel. Tapi sekarang ia sudah hilang," ujar seorang individu yang mendakwa dirinya dekat dengan Luna Maya, lapor sebuah laman web Indonesia baru-baru ini.
Suasana menjadi hangat apabila video porno yang dikatakan mirip Ariel beredar dalam dua versi. Pertama, ia dilakukan 'Ariel' bersama wanita yang mirip dengan Luna Maya. Video itu mula dikesan pada Khamis 4 Jun lalu. Ini diikuti dengan video kedua, lelaki yang sama dengan seorang wanita mirip hos jelita, Cut Tari yang berdurasi 8 minit 45 saat pada Rabu lalu.
Prihatin' masyarakat
Ternyata sejak tersebarnya video porno yang mirip wajah Ariel dan dua selebriti cantik itu, topik berkenaan menjadi bahan perbualan utama masyarakat. "Sudah nonton?" dan "Betulkah?" adalah antara pertanyaan yang wajib ditanya selepas nama Ariel disebut.
Masing-masing berlumba-lumba menonton video itu untuk membuat analisis sendiri. Video porno itu turut dijual di pasaran terbuka dengan harga Rp.10,00 (RM3.56) hingga Rp.80,00 (RM28.49). Malah pemindahan klip video dari telefon bimbit menjadikan cerita itu semakin cepat tersebar.
Sejumlah peminat setia Ariel dan Luna dikenali sebagai Arlunerz berdiri keras di belakang mereka. Menolak khabar hitam mengenai cerita panas kedua artis ini, malah ada yang menangis mengenangkan nasib mereka. Rakan-rakan artis Indonesia turut menyuarakan rasa kesal terhadap penyebaran video porno itu walaupun pelaku sebenar hanya mirip rakan mereka.
Ada yang mula memanggil vokalis yang berusia 29 tahun sebagai Ariel Jon Duan dan Ariel Peterporn. Lebih daripada itu, ada pihak yang rajin mula menganalisis fizikal 'pelakon' yang terbabit dengan mencari persamaan. Kononnya jam yang dipakai di dalam video tersebut sama dengan Ariel. Begitu juga tahi lalat yang ada di lengan Cut Tari dan tatu kupu-kupu yang dinafikan oleh Luna Maya adalah miliknya. Masing-masing cuba mencari kebenaran dalam kesamaran sementara empunya badan masih berdiam tanpa tampil secara umum menjawab semua spekulasi.
Di satu sisi, Ariel sudah disamakan dengan pelakon hebat, Edison Chen. Keduanya dikatakan hebat dikelilingi wanita. Edison sudah pun mengumpulkan kekuatan dan mengakui kekhilafan diri. Kini hanya menunggu hari untuk Ariel berkata 'ya' atau 'tidak' sahaja. Secara umumnya, masyarakat sudah melemparkan segala rasa benci mereka kepada penyanyi kacak ini. Kadangkala kekecohan hari ini boleh menjadi hikmah untuk masa hadapan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: