TIGA vokalis kumpulan terkenal ini teruja sewaktu dihubungi untuk sesi fotografi. Hadir dengan baju menandakan sokongan terhadap pasukan yang bertanding di Piala Dunia tahun ini, Tam, Andy serta Neves mempunyai pasukan pilihan tersendiri.
Kata Andy, Piala Dunia ibarat hari raya yang disambut semua orang tidak kiralah dari mana mereka berasal. Malah vokalis Flop Poppy ini menyamakan perlawanan bola sepak itu sebagai klimaks semua perlawanan. Neves pula menganggap perlawanan tersebut sebagai kiblat bola sepak di mana semua terarah kepada perkara yang sama manakala Tam melihat acara itu sebagai kemuncak segala bola sepak yang mampu menyatukan satu dunia.
Sekadar informasi, Piala Dunia 2010 adalah Piala Dunia ke-19, kejohanan premier bola sepak antarabangsa. Ia berlangsung dari 11 Jun hingga 11 Julai 2010 di Afrika Selatan.
Ini merupakan kali pertama kejohanan ini dianjurkan oleh benua Afrika, selepas Afrika Selatan menewaskan Maghribi dan Mesir dalam proses pembidaan seluruh Afrika.
Apakah pasukan pilihan anda dan kenapa memilih pasukan tersebut?
NEVES (N): Saya pilih Brazil. Sebab utama adalah Pele yang merupakan pemain legenda pasukan tersebut. Lagi pun saya memang meminati sesuatu yang mempunyai unsur-unsur Latin. Mungkin kerana arwah ayah saya sukakan lagu-lagu Latin dan dibesarkan mendengar lagu-lagu tersebut, maka kecenderungan saya terarah ke sana.
ANDY (A): Saya pilih Argentina kerana memang saya minat pasukan tersebut daripada zaman Mario Kempes bermain. Bagi saya pasukan Argentina memang diminati dan dihormati ramai cuma tidak ramai yang sokong. Pasukan Argentina memang kuat daripada zaman 60-an. Khalayak lebih terarah kepada pasukan Brazil dan bagi saya ini adalah klise.
TAM (T): Saya pula setia dengan England! Sebab sejak kecil didedahkan dengan corak permainan kelab-kelab pasukan bola sepak dari England. Lagipun England hanya pernah menang sekali dalam sejarah Piala Dunia, jadi teruja nak tengok cara pasukan England bertarung, kalau setakat Brazil, pasukan itu sudah banyak kali menang, apa nak hairan.
|
|
Pemain pilihan anda?
N: Saya sukakan Cesc Fàbregas (Sepanyol) dan Lionel Messi (Argentina).
A: Untuk tahun ini saya belum nampak mana-mana pemain pilihan saya. Tapi kalau dulu saya memang sukakan permainan Zinadine Zidane. Piala Dunia tahun ini, bagi saya nama-nama besar tidak terserlah dan akan banyak pemain yang dinamakan 'unsung hero'. Selepas ketiadaan Zidane dalam pasukan Perancis, saya belum ada siapa-siapa untuk dijadikan pilihan.
T: Saya pilih Fernando Torres dari Sepanyol. Bagi saya, dia penyudah yang sempurna dan dia juga boleh bermain dalam berbagai sudut.
Namakan pemain legenda anda?
N: Pemain legenda bagi saya tetaplah Pele dan Zinadine Zidane.
A: Mario Kempes dan Diego Maradona.
T: Arthur pemain lama Brazil.
Piala Dunia yang paling terkesan buat anda?
T: Piala Dunia tahun 1986 yang diadakan di Mexico. Fenomena gelombang Mexico tercetus mulai tahun tersebut.
N: Piala Dunia empat tahun lepas di mana Zinadine Zidane telah menanduk pemain Itali Marco Materazzi, sewaktu perlawanan akhir Perancis bertemu Itali. Lagi pun waktu itu saya tonton di luar Kuala Lumpur iaitu di Johor Bahru dan saya dapat menyaksikan suasana yang berlainan.
A: Saya pilih Piala Dunia 1986 kerana Argentina menjuarai piala tersebut untuk kali kedua dan kalahkan pasukan Jerman dengan gol 3 berbalas dua. Tahun 1986 merupakan pilihan saya juga kerana wujudnya Gelombang Mexico yang dikatakan oleh Tam tadi.
Kebiasaannya, kalau tiba musim Piala Dunia manakah tempat pilihan anda untuk menonton? Lebih seronok ramai-ramai di luar atau menonton di rumah?
N: Saya lebih gemar menonton di di restoran mamak. Siap ada kacang dan minuman gelas besar. Bagi saya, kalau ramai-ramai lagi seronok. Kalau di rumah, kurang 'feel'. Seronok bila dapat jerit 'gol' ramai-ramai dan seakan berada di stadium. Lagi pun saya turut suka melihat karenah penyokong-penyokong setiap pasukan yang berlainan.
A: Saya suka tengok bola di rumah seorang. Isteri saya akan masakkan bihun goreng, cucur dan sediakan air teh 'O' panas buat saya. Ini kerana saya akan beri konsentrasi penuh terhadap perlawanan. Bila tengok di luar, banyak gangguan, nak pula kalau ada orang ajak bersembang sewaktu perlawanan. Tambah-tambah jika ada penonton yang sangat fanatik, ia akan mengganggu fokus menonton.
T: Saya tak memilih sangat, tapi tengok bola dengan kawan-kawan lebih seronok. Lebih ramai lebih kecoh, barulah bahang perlawanan terasa, macam di stadium! Tapi, disebabkan ada perlawanan yang bermula awal pagi, tonton di rumah atau di studio pun okey.
Pandangan kalian apabila kaum wanita turut meminati Piala Dunia ini. Terikut-ikut atau ada sebab tersendiri?
N: Ada yang terikut dan ada pula yang sokong sebab sukakan pemain yang kacak. Perempuan lebih cenderung untuk meminati pemain daripada melihat skil permainan. Lelaki kebanyakannya cenderung melihat skil perlawanan.
A: Ini seakan sudah jadi cara hidup. Seperti kata Neves, tidak ramai perempuan yang cenderung melihat skil pemain. Tetapi ada juga wanita yang tahu bab-bab tersebut.
T: Piala Dunia adalah satu acara besar, jadi ada perempuan yang tiba-tiba masuk dan tidak semena-mena jadi penyokong. Sebahagiannya pula sekadar jadi pemeriah tapi ada yang betul-betul tahu pasal bola.
Ramalan tahun ini, agak-agaknya siapa juara?
N: Sepanyol! Melihatkan pasukan yang akan berentap dengan Brazil, saya nampak Brazil berada dalam kumpulan maut.
A: Susah nak ramal tetapi mungkin juga Argentina.
T: Alamak, tapi saya harap England menang tahun ini. Sebenarnya susah cakap sebab banyak pasukan yang kurang popular tetapi mempunyai skil permainan yang dahsyat.
Ada buat pertaruhan dengan kawan-kawan?
A: Tak bertaruh, lebih-lebih setakat main-main, pernah.
N: Biasanya bertaruh dengan cara belanja makan.
T: Atau belanja kredit prabayar telefon bimbit atau rokok. Itu sahaja.
Pernah berangan untuk menjadi pemain bola sepak?
A: Saya rasa semua lelaki akan berangan untuk jadi pemain bola sepak, saya juga begitu. Tetapi bila saya dah berkenalan dengan gitar, angan-angan tersebut hilang.
N: Saya berangan jadi pemain tengah dalam pasukan bola sepak.
T: Pernah dan memang asalnya mahu menjadikannya kerjaya saya. Tapi bila dah main muzik lupa semua benda.
Bagaimana kesanggupan kalian yang menunjukkan keterujaan terhadap Piala Dunia?
A: Memang sanggup tidak tidur dan berjaga.
N: Sangguplah tidak tidur semata-mata untuk menonton perlawanan. Walaupun bukan pasukan pilihan saya tetapi saya tonton untuk kumpul informasi perlawanan.
T: Sebenarnya waktu kerja kami memang sudah membiasakan kami tidak tidur pagi. Macam saya, saya akan cepat habiskan kerja dan kemudian terus menonton perlawanan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: