Thursday, June 24, 2010

Bantuan untuk Nasom


Kakitangan P&G bersama kanak-kanak dari Nasom ketika kunjungan ke pusat kebajikan tersebut.


Saban hari, kita dipaparkan dengan laporan tentang bantuan yang dihulurkan syarikat korporat dalam meringankan bebanan golongan susah.

Laporan yang dipertontonkan itu menunjukkan bahawa kesedaran syarikat korporat bagi menjalankan tanggungjawab sosialnya untuk membantu individu yang memerlukan semakin tinggi.

Bukan kerana nama atau untuk kepentingan peribadi, bantuan dihulurkan itu bertujuan memberikan sinar keselesaan kepada penerima.

Justeru awal bulan ini, Procter & Gamble Malaysia (P&G) menganjurkan lawatan dikenali Open Minds P&G untuk kakitangannya ke bangunan ibu pejabat Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) yang terletak di Titiwangsa, Kuala Lumpur. Ia sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang diraikan bulan lalu.

Bangunan itu didirikan sebagai tempat penginapan bagi memberi perkhidmatan kepada 87 kanak-kanak yang mengalami autisme antara umur tiga hingga 14 tahun.

Seramai 30 orang kakitangan P&G menyertai lawatan berkenaan bagi meluangkan masa bersama 50 orang kanak-kanak autisme dan meraikan mereka dalam satu majlis makan tengahari istimewa.

Pada majlis itu juga P&G telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM33,307 kepada Nasom hasil kempen The Best of Beauty and Grooming by P&G yang dibuar dengan kerjasama rangkaian kedai Watsons.

Melalui kempen itu, sejumlah kecil daripada nilai setiap produk terpilih P&G yang dibeli pelanggan Watson akan disalurkan ke dana kebajikan.

Pada lawatan itu juga, kakitangan P&G turut berpeluang mempelajari secara menyeluruh tentang autisme yang dialami berjuta kanak-kanak di seluruh dunia.

Pengarah Eksekutif dan Prinsipal Nasom, Liew Yoon Liew berkata, organisasi itu sudah menubuhkan 16 Program Pengesanan Awal dan tiga pusat latihan untuk penghidap autisme.

"Kami menubuhkannya untuk memberi pendidikan, bantuan, penjagaan dan perlindungan kepada penghidap autisme dan kaum keluarga mereka.

"Selaku badan kebajikan bukan kerajaan yang tidak bertujuan untuk mengaut keuntungan, kami amat bergantung kepada sokongan dan kemurahan hati organisasi yang sudi membantu," katanya.

Sementara itu wakil P&G, Yuri Hermida memberitahu, dalam tempoh 10 tahun ini, bahagian Tanggungjawab Sosial Korporat Open Minds P&G berbangga kerana dapat membantu Nasom dan kanak-kanak penghidap autisme.

Katanya, kakitangan P&G sememangnya meminati program kebajikan seumpama itu dan ia akan terus komited untuk meneruskan usaha sama pada masa depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: