|
|
Biarpun diuji dengan pelbagai dugaan hidup, keluarga besar ini tetap bersatu dengan si ibu menjadi tunggak menaungi keluarga. Dalam keadaan serba kekurangan dan hidup yang penuh kesempitan, sisa-sisa kudrat terpaksa dikerah untuk memastikan nasib anak dan cucu kesayangan terbela.
Apa pun rintangan, Alimah Samad, 72, reda dengan ketentuan Ilahi. Malah hari demi hari ditempuh tanpa rungutan mahupun penyesalan.
Sudahlah hidupnya susah dan miskin, diuji pula dengan kehadiran cucu, Muhd. Izz Hakimi Mohd. Ilham, 4, yang menghidap sindrom down dan cacat anggota badan.
''Biarpun dalam kehidupan sebegini, kami tidak pernah menyesal dengan dugaan yang diberikan. Malah kami bersyukur kerana masih mempunyai tempat berteduh dan berkumpul,'' ujarnya yang juga menghidap penyakit jantung sejak beberapa tahun lalu.
Kata Alimah, biarpun dianugerahkan dengan cucu yang kurang sempurna tiada sekelumit rasa malu untuk berdepan dengan orang ramai.
Malah dia percaya ada hikmah di sebalik semua dugaan itu.
''Lagipun bukan susah menjaga Muhd. Izz sebab dia tidak banyak kerenah.
''Biasanya Muhd. Izz suka bersendirian dan tidak suka berada di tempat yang ramai orang.
"Jadi dia banyak menghabiskan masa bersama saya daripada keluar bermain-main,'' ujarnya ketika dikunjungi di kediamannya di Taman Salak Jaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kunjungan tersebut sempena lawatan kebajikan oleh Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Seputeh, Senator Datuk Azizah Abdul Samad.
Selain Muhd. Izz, rumah teres setingkat dua bilik tinggalan arwah suami Alimah itu turut menjadi tempat berteduh kepada tujuh lagi ahli keluarga wanita itu.
Ini termasuk ibu bapa dan seorang abang Muhd. Izz, serta seorang lagi anak perempuan Alimah, Norhayati Abu Chik bersama tiga anaknya.
"Memandangkan ibu bapa Muhd. Izz tidak mempunyai kerja tetap jadi saya mengajak mereka tinggal bersama saya.
"Begitu juga Norhayati yang baru kematian suami dan tidak bekerja. Sebagai ibu masakan saya sanggup melihat darah daging hidup tidak menentu
"Walaupun bersesak dalam rumah sempit ini yang penting ada tempat berlindung. Selagi terdaya saya tidak kisah menanggung mereka," katanya yang hanya bergantung hidup dengan wang pencen peninggalan suaminya berjumlah RM1,300 sebulan.
Dengan wang sebanyak itu dia menguruskan keperluan harian mereka sekeluarga termasuk perbelanjaan sekolah cucu-cucunya.
''Kadang-kadang terpaksa juga mencatu makanan, maklumlah sekarang semua barang sudah mahal.
"Setiap bulan saya peruntukkan sebanyak RM300 untuk ubat-ubatan saya manakala selebihnya saya serahkan kepada anak perempuan untuk menguruskan keperluan rumah,'' ujarnya
Dia yang sudah beberapa kali membuat pembedahan jantung, kini hanya bertahan dengan ubat-ubatan yang dibekalkan daripada hospital.
''Biarpun kehidupan kami sekeluarga susah tapi demi janji saya pada arwah suami saya akan pastikan terus bersama anak-anak walaupun ketika susah dan senang," ujarnya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: