Saturday, June 19, 2010

Aznil dilantik ikon 'Jom Ganyang Aedes'

Selebriti terkenal, Aznil Nawawi semalam dilantik sebagai ikon anti denggi dalam kempen terbaru Kementerian Kesihatan 'Jom Ganyang Aedes' bagi menangani wabak denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, Aznil dipilih untuk memikul tanggungjawab itu kerana beliau merupakan seorang pengacara televisyen dan radio berpendidikan dan popular, serta disenangi oleh pelbagai golongan masyarakat tanpa mengenal usia dan keturunan.

“Penglibatan beliau dalam kempen ini yang merupakan tanggungjawab sosial kepada negara diharap mampu menarik minat komuniti setempat khususnya golongan remaja untuk turut sama membanteras denggi,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara kedua-dua pihak, di Kuala Lumpur.

Dr Mohd Ismail berkata. kementerian juga mengadakan projek khas 'Jom Ganyang Aedes' khusus untuk membasmi demam denggi secara serius, konsisten dan bersungguh-sungguh.

Beliau berkata, kementerian sedang berusaha menyedarkan masyarakat bahawa kunci utama bagi mencegah demam denggi adalah dengan mengurangkan tempat pembiakan aedes sama ada di dalam atau di luar rumah kerana aktiviti semburan kabus atau fogging hanya membunuh nyamuk dewasa dan tidak membunuh jentik-jentik.

“Saya amat berharap agar projek 'Jom Ganyang Aedes' ini mampu membantu mengurangkan kes denggi di kawasan-kawasan dikategorikan sebagai kawasan panas denggi di sekitar Lembah Klang, terutama Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Sementara itu, Aznil berkata, beliau terpanggil untuk bekerjasama dalam kempen itu setelah kehilangan rakan baik yang juga rakan pengacara iaitu Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau lebih dikenali sebagai Din Beramboi, yang meninggal dunia pada 1 April lalu akibat demam denggi berdarah.

“Saya merasa amat berbesar hati kerana dipilih, kerana melalui aktiviti seumpama ini saya berpeluang untuk menunaikan tanggungjawab sosial saya dan sekali gus membantu usaha kerajaan menangani masalah denggi yang meragut banyak nyawa di negara ini,” katanya.

1 comment:

  1. salam,
    alhamdulillah,kalangan masyarakat kita hari ini sangat prihatin terhadap masalah2 sebegini. moga akan lebih ramai lagi akan tampil dan turut serta dalam kempen2 sebegini.

    Raihan;
    http://kelambu-payung-pelbagai-size.blogspot.com/

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: