Saturday, June 19, 2010

KWSP hantar penyata kepada 6.3j pencarum

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menghantar penyata akaun 2009 kepada 6.33 juta pencarum sebagai sebahagian daripada usaha memaklumkan status terkini simpanan mereka.

"Penyata akaun KWSP penting bagi membantu pencarum mengetahui status simpanan persaraan mereka," kata Nik Affendi Jaafar, Pengurus Besar KWSP bagi Perhubungan Awam dalam satu kenyataan semalam.

Beliau menggesa pencarum menyemak dengan teliti penyata mereka bagi memastikan simpanan adalah mengikut peraturan dan majikan menyerahkan caruman kepada KWSP tepat pada masa.

Nik Affendi juga mengingatkan pencarum sekiranya ada sesuatu yang tidak kena, mereka perlu mendapatkan penjelasan daripada majikan atau melaporkannya dengan segera kepada KWSP.

Penyata akaun diposkan ke alamat kediaman pencarum seperti yang didaftarkan dalam rekod KWSP.

Alamat boleh dikemaskinikan di mana-mana cawangan KWSP, menerusi i-Akaun yang merupakan akaun dalam talian khas yang diakses menerusi laman web myEPF atau mengisi borang KWSP 3 dan mengeposkannya ke cawangan berdekatan bersama dengan salinan kad pengenalan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: