Saturday, June 19, 2010

Diana sedia timang anak



Setiap pasangan yang telah berumah tangga pastinya mengimpikan kehadiran cahaya mata untuk menambah seri kehidupan rumah tangga, apatah lagi jika sudah puas berbulan madu.

Begitulah perasaan yang dirasakan Diana Rafar setelah setahun mendirikan rumah tangga bersama pelakon Zamarul Hisham pada 16 Mei tahun lalu.

Walaupun tidak pernah merancang, tetapi jauh di sudut hati Diana tetap mengharap kehadiran anak sendiri dalam hidupnya dan suami dan impian mereka menjadi kenyataan apabila Diana kini disahkan hamil lima bulan.

Diana pada mulanya tidak menyangka dirinya hamil hinggalah menyedari berat badannya naik mendadak sebanyak 9 kilogram (kg) dan sudah dua bulan tidak datang bulan.

“Saya langsung tidak mengalami sebarang alahan pada awal kandungan kerana itulah saya tidak menyedari saya mengandung tetapi bila masuk bulan kedua itu saya rasa semacam apatah lagi berat badan saya naik dari 46kg kepada 55kg,”

“Bila buat ujian di klinik, doktor sahkan saya telah hamil dua bulan dan apabila tahu saya sendiri tidak tahu tentang perasaan saya, gembira ke terkejut ke, bila sudah beberapa hari baru sama dapat menerima hakikat saya sedang hamil,” katanya kepada media selepas pelancaran drama Ilusi dan Dendam Orang Minyak.

Diana berkata, walaupun tidak mengalami sebarang alahan seperti muntah-muntah dan mengidam, Diana mengalami masalah ruam di muka pada permulaan kehamilannya dan ruam itu beransur pulih apabila usia kandungannya meningkat.

Ditanya media mengapa Diana dilihat seperti cuba menyembunyikan kandungannya apatah lagi Zamarul sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan “belum ada rezeki” ketika mengulas pertanya media, Diana menjelaskan kenyataan itu dikeluarkan sebelum mereka mengetahui akan menimang cahaya mata.

“Ketika wartawan itu bertanya kepada Zamarul memang kami masih belum mengetahui mengenai kehamilan saya, tetapi tidak lama selepas itu baru kami menerima khabar gembira ini dan berita itu pula keluar dahulu, jadi kami memang mencari peluang untuk menjelaskan perkara ini dan hari ini (kelmarin) masa yang sesuai buat kami.

“Lagi pun kami berpegang juga pada pesan orang tua-tua, jika mengandung anak pertama tidak elok dihebahkan, tetapi mengenangkan kami ini selebriti jadi saya tidak kisah untuk mengumumkan berita gembira ini pada semua,” katanya.

Demi memastikan kesihatan dirinya dan anak sulung yang bakal lahir ini, Diana mengambil keputusan untuk berehat dari industri sehingga tamat tempoh berpantang dan mahu memberi tumpuan kepada perniagaan salunnya.

“Memandangkan ini adalah anak pertama saya jadi saya mengambil keputusan untuk berehat dan drama Ilusi mungkin merupakan drama terakhir saya tetapi selepas ini jika ada tawaran lain dan bersesuaian dengan saya, saya mungkin akan menerima,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: