Wednesday, June 23, 2010

Awie mahu anak ramai


KELUARGA besar. Awie bersama lima anaknya termasuk dua daripada hasil perkahwinan terdahulu.


SUDAH mempunyai lima cahaya mata, tiga daripadanya perempuan, Puteri Aleeya Antasha, 10, Puteri Aleefa Antasha, 8, Puteri Qasseh Antasha, dua bulan dan dua lelaki, Putra Ahmad Merah, 3 serta Putra Ahmad Rezkki, 2 tahun, rockers dan aktor Awie dengan serius menyatakan dia masih mahu menambah bilangan anak lagi.

Kata Awie yang kini berusia 42 tahun, keseronokan mempunyai anak ramai sukar diungkap dengan kata-kata. Usia yang menginjak juga bukan faktor untuk dia tidak menambah anak.

"Saya suka kalau boleh memperoleh anak lagi. Meriah dan rumah selalu riuh dengan keletah mereka. Itu yang saya suka," kata Awie sewaktu ditemui pada majlis cukur jambul cahaya mata terbarunya, Qasseh yang dilahirkan pada 19 April lalu, berkongsi tarikh kelahiran dengan isterinya, Rozana Misbun, 31.

Mengaku tidak punya banyak masa dihabiskan dengan anak-anaknya kerana kesibukan bekerja, namun dia akan memastikan mereka mempunyai kualiti masa bersama.

"Prinsip saya, sewaktu bekerja, saya tidak akan membawa anak atau keluarga bersama. Tetapi, kalau saya pulang ke rumah selepas kerja, saya akan pastikan saya habiskan sedikit masa dengan mereka.

"Malah katakan kalau saya harus menghabiskan masa yang lama di set penggambaran, saya akan bawa keluarga datang pada hari yang tidak memerlukan saya di lokasi untuk menghabiskan kualiti masa bersama," katanya yang baru pulang bercuti dengan keluarga dan anggota Wings di Pulau Perhentian, Terengganu.

Masih bercerita tentang lima permata hatinya, Awie memberitahu mereka juga cukup rapat antara satu sama lain. Sebagai seorang bapa, dia sesekali tidak akan menyekat keinginan anak-anaknya apabila dewasa kelak. Pernyataan itu merujuk kepada jika anak-anaknya kelak mahu menjadi anak seni seperti dirinya.

Tidak melarang atau berasa bimbang jika ada di kalangan anaknya cenderung mahu menjadi artis, kata Awie yang dititikberatkan olehnya adalah ketahanan mental mereka dengan sepak terajang dunia hiburan.

"Kalau boleh, buat sama sekarang, saya lebih suka kalau mereka memberi fokus kepada pelajaran. Tetapi jika esok lusa bila mereka sudah besar dan mahu menjadi artis, saya tiada halangan.


AWIE memperkenalkan ahli baru dalam keluarganya, Puteri Qasseh Antasha, 2 bulan. Qasseh berkongsi tarikh lahir iaitu 19 April, sama dengan isterinya, Rozana.


"Cuma saya tidak mahu anak-anak melalui perkara yang sama saya lalui. Gosip atau jatuh bangun serta pergaulan. Saya tak tahu kalau mereka boleh bertahan dan tabah nanti," katanya yang turut memberitahu berbanding lima anaknya, Merah yang nampak cenderung gemar menyanyi.

Kos lepas

Sementara itu, bercakap tentang jadual seninya, Awie memberitahu, dia kini kembali sibuk menjalani sesi latihan untuk pementasan Cuci The Muzikal yang akan dipentaskan semula di Istana Budaya.

Kerana setia kawan dengan Hans Isaac dan Afdlin Shauki yang sama berlakon dana Cuci juga kata Awie, dia terpaksa menjadikan filem yang dibikin khas untuknya oleh sutradara Mamat Khalid, Apokalips sebagai kos lepas.

"Jadual filem tersebut bertembung dengan latihan Cuci. Jadi saya terpaksa melepaskan Apokalips walaupun ini merupakan filem yang sangat ingin saya lakukan kerana jalan cerita yang cukup menarik," kata Awie yang juga turut melepaskan banyak undangan nyanyian kerana mahu memberi fokus terhadap teater tersebut.

Dalam masa yang sama, dia juga harus memberi komitmen terhadap kontrak Konsert DT bersama Search yang akan meneruskan jelajah muzik mereka ke Limbang, Sarawak pada 23 dan Tawau, Sabah, pada 24 Julai depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: