Wednesday, June 23, 2010

Album dulu baru kahwin




SELAIN berdepan debaran bakal diijab kabul dengan tunangnya, Baizura Sabri, 26, pada 10 Oktober ini, ada debaran lain menghambat penyanyi dan pelakon, Aqasha. Melampias segenap cinta terhadap si dia bernama Qasha-Nova yang dipendam sejak dua tahun lalu, itu ingin direalisasi olehnya terlebih dahulu sebelum bergelar suami orang.

Qasha-Nova yang dimaksudkan adalah album ketiga jejaka berusia 28 tahun itu selepas membikin banyak jiwa terpesona dengan lontaran vokal jantannya menerusi album Cahaya Hati pada tahun 2001 dan Impian (2002). Tujuh tahun meninggalkan seketika kecintaan terhadap nyanyian, dia mahu muncul kembali menghibur. Itu bakal menjadi realiti tidak lama lagi.

"Benar, ramai peminat terkejut mendengarkan keputusan saya hendak muncul dengan album baru selepas lebih banyak melihat saya di kaca televisyen sebagai pelakon. Ingin dijelaskan, saya bukan pelakon yang tiba-tiba saya ingin jadi penyanyi. Cuma saya sudah lama tidak buat album dan menyanyi.

"Terus terang, ada banyak sebab saya ingin menyanyi kembali. Semasa menuntut di kolej (International College Of Music atau ICOM), saya yang mengambil jurusan Kejuruteraan Audio banyak melibatkan diri dengan pembikinan lagu-lagu kumpulan indie. Sejak itu, saya terfikir, sampai bila hendak duduk di belakang tabir.

"Sebaik saja tamat pengajian pada tahun 2008, saya mula ada keinginan untuk menghasilkan lagu sekali gus memunculkan ideologi tertentu mengikut kemahuan sendiri," kata Aqasha mengepalai pembikinan Qasha-Nova yang memuatkan lima buah lagu diterbitkan oleh Alex Tan di bawah payung Starmont Records Sdn. Bhd.


TAHUN 2010 menjadi tahun anjakan paradigma dalam kehidupan dan karier Aqasha.


Anak kelahiran Kuala Lumpur itu mengungkap ideologi Qasha-Nova sebagai meraikan lelaki kerana dia puas sudah dihidang dengan himpunan lagu kecewa selama ini. Tidak memikirkan soal lirik yang barangkali mampu menebarkan angin kontroversi, Aqasha berharap agar pendengar bersikap terbuka menerima hasil karyanya.

"Tiba masa saya buat pembaharuan dengan menghasilkan album berkisar lelaki. Kalau mereka mengalami patah hati serta putus cinta, mahu atau tidak, hidup harus diterus juga. Bahkan, banyak lagi perlu difikirkan selain ingin bersedih. Tema ini saya cuba angkat dalam Qasha-Nova agar ia tidak sama dengan album sedia ada di pasaran.

"Saya percaya, album yang ingin dihasilkan perlu ada arah sendiri. Kita tidak boleh buat album pakai masuk apa saja lagu di dalamnya ibarat rojak. Saya merupakan peminat muzik tempatan. Banyak pemuzik tersohor lama saya jadikan inspirasi disebabkan karya mereka ada konsep dan senang bersatu dengan pendengar.

"Untuk lagu-lagu dalam album ini, ia sudah disiapkan sejak dua tahun lalu. Pelbagai pengalaman dilalui dalam hidup terutama selepas melibatkan diri dalam dunia seni. Justeru, saya mahu berkongsi emosi dengan peminat khususnya golongan lelaki," terang Aqasha berpendapat lima lagu sudah mencukupi kerana dia benar-benar mementingkan aspek kualiti Qasha-Nova termasuk mendapat khidmat para pemuzik profesional.

Biarpun memperlihat konsep berbeza buat Qasha-Nova, pemilik nama sebenar Firdee Akasha Rosli yang menyertai gelanggang hiburan sejak berusia 19 tahun itu tetap muncul dengan imej biasa dan santai - kemeja tanpa kolar dan bercelana denim.


PASANGAN dalam drama. Aqasha dan Mellisa Mauren berganding dalam Dendam Orang Minyak.


"Kalau diikutkan, album ini sudah siap sepenuhnya. Hanya tunggu masa ia dilancarkan tidak lama lagi sambil saya mengadakan persembahan. Saya bercadang mahu keluarkan album tersebut sekitar bulan ini atau Julai. Cuma, sekarang saya masih cari lokasi sesuai untuk majlis pelancaran album ini," jelasnya yang menganggap diri sebagai aktor sentiasa bermain dengan imaginasi tatkala menghasilkan lagu.

Lima lagu yang dihimpunkan dalam Qasha-Nova atau meraikan cinta lelaki adalah Obsesiku, Rapsody Kekasih, Cinta Romeo Kota, Cantik dan Infatuasi.

Baizura istimewa

Muncul pada pelancaran Dendam Orang Minyak yang memperlihat bakat lakonan sebagai wartawan jenayah bernama Fendi, Aqasha tidak ketinggalan berkongsi cerita sebagai darah manis. Bakal menamatkan zaman bujang selang beberapa bulan lagi, dia berbicara tentang personaliti wanita berjaya menambat hatinya.

"Kami mengenali antara satu sama lain ketika umur saya awal 20-an. Perkenalan kawan atas kawan ini kemudian terjalin semula sekitar dua atau tiga tahun lepas. Dari situ, kami bertukar cerita dan rapat semula. Tidak ambil masa panjang, kami terus bertunang dan berhasrat mendirikan rumah tangga pada tahun ini.

"Menarik tentang Baizura, dia membiarkan saya jadi diri sendiri. Sebagai pelakon yang sentiasa ada sikap ekspresif, kadangkala saya cakap kurang berlapik dan tajam pada pendengaran sesetengah pihak. Tetapi, dia terima perangai saya dengan perasaan terbuka tanpa sebarang masalah.

"Biar orang ramai hendak bercakap saya sebagai kolot atau tipikal. Hakikatnya, saya gemar wanita yang rajin ke dapur. Saya suka makan manakala Baizura pula pandai memasak. Maka, saya lihat ia mampu melengkapkan hubungan kami," luah Aqasha yang begitu menggemari air tangan Baizura tatkala memasak sambal goreng berlada.

Dalam waktu sama, Aqasha sempat berseloroh: "Saya pilih Baizura sebagai bakal isteri sebab faktor geografi. Saya duduk di Shah Alam dan dia di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Jadi, senang sikit kalau mahu pulang beraya tanpa melibatkan pergaduhan."


AQASHA bersama barisan pelakon yang menjayakan drama berantai Dendam Orang Minyak.


Aqasha dan Baizura yang bertugas sebagai editor di stesen televisyen berbayar bertunang pada 23 Mei lalu di Sungai Besi. Diadakan dalam atmosfera sarat adat Melayu selepas waktu Zuhur, majlis mengikat pasangan itu disaksikan oleh 40 ahli keluarga kedua belah pihak dan kenalan terdekat.

"Sejujurnya, saya tidak merahsiakan tentang pertunangan ini. Tetapi, saya merancang hendak beritahu umum apabila hampir waktu berkahwin. Sebenarnya, saya berada dalam keadaan dilema. Jadi, lebih baik saya berdiam diri terlebih dahulu dan terus menguar-uarkan berita pernikahan.

"Insya-Allah, saya akan mengadakan majlis perkahwinan pada tarikh seperti dirancang walaupun belum buat sebarang persiapan termasuk dokumentasi dan juru nikah," jawab Aqasha sambil tergelak manis mengenang ikatan cinta dia dan Baizura hanya selangkah lagi menuju gerbang perkahwinan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: