Monday, June 14, 2010

Aura ke pejabat


RONA ungu menampilkan gaya maskulin.


LIRIKAN mata anda akan mudah terpandang apabila melihat si jejaka berpakaian kemas dari hujung rambut ke hujung kaki. Apatah lagi pakaian itu digosok rapi, sekali gus menambahkan lagi aura maskulin si pemakainya.

Biasanya fesyen lelaki tidak semeriah wanita dan ia agak terhad di pasaran. Ini terbukti apabila rata-rata ruang jualan pakaian di pusat beli-belah lebih didominasi kaum wanita.

Namun, kekurangan itu bukanlah satu masalah sekiranya anda bijak menyesuaipadankan pilihan yang ada untuk sentiasa tampil terkini.

Stailo yang berkesempatan menjenguk pembukaan butik Zara di pusat beli-belah Lot 10 baru-baru ini, terpesona apabila menuju ke tingkat dua butik tersebut.

Aras yang menempatkan ruang jualan fesyen lelaki itu disusun teratur dengan pelbagai seleksi gaya untuk sang jejaka sama ada untuk penampilan santai atau kasual.


KASUT kulit berharga RM459.


Malah, pilihan warna juga lebih tertumpu kepada palet terang dan natural. Himpunan koleksi Zara yang mencuit pandangan pasti gaya kasual yang terdiri daripada sut, tali leher, baju kemeja dan kasut kulit. Tarikan sut juga tidak tertumpu kepada warna stereotaip sahaja iaitu hitam.

Bagi menampakkan gaya lebih lelaki, seseorang itu boleh memilih sut yang berwarna seperti kelabu atau coklat.

Tidak perlu risau, meskipun menggayakan sut berwarna sebegitu kerana anda tetap boleh mendapatkan baju kemeja pelbagai warna untuk dipadankan.

Pastikan juga saiz yang dipilih benar-benar mengikut bentuk tubuh badan anda. Sekiranya sut tersebut bersaiz besar atau dipakai longgar, penampilan anda akan kelihatan sedikit selekeh.

Jika sudah bosan dengan mengenakan tali leher, Zara menyediakan pilihan tali bow pelbagai corak dan warna. Jika anda merasakan bow agak keterlaluan, padankan sut itu dengan bow yang bersaiz sederhana dan berwarna lembut.

Ia mengurangkan tarikan melampau terhadap aksesori itu.


KACA mata dan tali pinggang Zara menepati cita rasa jejaka.


Pemakaian kafling turut memberi kesan mendalam terhadap gaya si lelaki. Didatangkan dalam pelbagai bentuk, corak dan warna, pilihannya harus disesuaikan dengan aktiviti anda.

Sekiranya sekadar ingin ke pejabat atau menghadiri mesyuarat, kafling satu warna sahaja sudah memadai. Dalam pada itu, harus diingatkan bahawa tali bow mestilah sedondon dengan kafling anda untuk membuatkan penampilan lebih terurus.

Tidak lengkap rasanya kehebatan penampilan si jejaka tanpa kaca mata. Gaya kasual memerlukan anda memakai kaca mata yang berbingkai halus supaya ia tidak nampak terlalu sarat atau keterlaluan.

Sementara itu, ada juga segelintir kaum lelaki gemar menyarung sneakers ketika memakai sut. Fesyen sedemikian turut menarik tetapi ia kelihatan agak santai. Bagi menampakkan penampilan gaya macho yang diimpikan pilih kasut kulit sebagai sepatu acara rasmi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: