HINGAR-BINGAR di dalam bilik solek KL Live Centre di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada malam itu semakin kuat. Segenap ruang dalam sebuah bilik yang dikelilingi dengan cermin besar sesak seketika gara-gara menghimpunkan barisan jurusolek, pendandan rambut dan krew penari Showdown 2010 yang sedang dirias.
Tatkala sedang asyik memerhatikan barisan jurusolek mengaplikasi solekan pada wajah peserta, secara tiba-tiba kelibat seorang lelaki berbangsa Cina menarik menangkap pandangan mata. Penampilannya cukup stailo, berseluar harem bertakhta manik, berbaju-T rona hitam dan ves nuansa kelabu.
Tangannya pantas mengubahsuai dan menjahit kaki seluar jean yang bakal digayakan oleh salah seorang peserta pada pertunjukan malam itu. Namun apabila diamati, dia bukanlah tukang jahit yang diberi tanggungjawab khas untuk menyiapkan busana para peserta. Dia ialah jurusolek popular, Steven Sunny.
Pernah merangkul Anugerah Botan Brush 2006 iaitu anugerah berprestij di Jepun yang mengiktiraf pencapaian jurusolek, Steven banyak memberi sumbangan besar dalam perkembangan industri solekan. Steven juga dilabel sebagai salah seorang jurusolek dan pendandan rambut terbaik di Malaysia kerana memiliki kreativiti tinggi dan serba boleh dalam bidang kecantikan.
Jika tidak, masakan penampilan dan tata rias peserta Showdown 2010 cantik dan segak. Rupa-rupanya mereka mendapat sentuhan daripada perunding imej dan kecantikan yang hebat.
Menurut Steven yang pernah terlibat dalam pertunjukan Fesyen Stailo KL 2008, bagaikan suatu penghormatan apabila pihak produksi program realiti televisyen itu memberi tanggungjawab kepadanya untuk merias para peserta dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
"Cabaran menata rias peserta Showdown dan model yang bergaya di pentas peraga begitu berbeza. Sebelum pertunjukan fesyen berlangsung, saya hanya menumpukan perhatian pada teknik solekan dan dandanan manakala busana diuruskan sepenuhnya oleh pereka fesyen.
"Tapi program ini berbeza. Meskipun pakaian peserta mendapat tajaan daripada jenama Echo Park, tetapi saya tidak boleh lepas tangan begitu saja. Selain menitikberatkan soal solekan dan dandanan, saya turut turun padang menguruskan pemilihan pakaian, kasut dan aksesori mengikut tema persembahan," ujar Steven yang dibantu seramai 20 orang mekap artis dan pendandan rambut.
|
|
Paling ketara adalah ketika sesi persiapan cabaran mingguan yang berkonsepkan Michael Jackson. Menyedari bukan semua signatur fesyen selebriti berkenaan boleh disediakan oleh pihak Echo Park, maka Steven terpaksa berkunjung ke butik-butik yang lain.
Langkah itu bertujuan menyelongkar rak butik pilihan bagi memperoleh item fesyen yang bersesuaian dengan imej Raja Pop itu. Antaranya kot rona putih, seluar potongan tirus yang bertaburan labuci, tali leher dan kasut.
Hal yang sama turut berlaku pada minggu yang mempamerkan tema tarian retro. Bagi menyemarakkan mood dan suasana ala 1970-an, seluar berkaki besar, seluar sendat dan rambut afro disediakan.
Tambah Steven, jika penari ditugaskan menari tema tarian jalanan atau hip hop, ia memudahkan pihak Echo Park untuk menyediakan busana stail itu. Umum mengetahui bahawa jenama itu sememangnya banyak menawarkan pakaian sedemikian.
Namun bagi tema-tema istimewa dia perlu mencari dari jenama lain. Sebab itu, semua peserta wajib berbincang dan menunjukkan kepadanya tentang corak persembahan, tarian, dan penampilan yang diingini pada setiap hari Jumaat agar dia berjaya merealisasikan idea tersebut sebelum raptai penuh dijalankan.
Menyentuh mengenai solekan, Steven menjelaskan walaupun program disiarkan pada pukul 9.30 malam, tetapi proses solekan akan bermula sekitar pukul 2 petang dan perlu selesai pada pukul 5 petang.
"Peserta lelaki dan wanita perlu disolek. Setiap individu mengambil masa 30 minit untuk dirias wajah dan dandanan rambut. Memandangkan program ini disiarkan menerusi televisyen maka kami amat menitikberatkan sapuan krim dan bedak asas yang tebal.
"Begitu juga dengan olesan gincu dan pembayang mata tiga dimensi (3D) untuk wanita manakala shading buat peserta lelaki," terang Steven yang cukup mementingkan soal masa, disiplin dan kerja berkumpulan.
Sementara itu ketua kumpulan Floor Fever, Muhammad Nazir Fadzil @ Fathil, 28, memberitahu sebaik sahaja mendapat lagu tugasan, dia dan ahli kumpulan yang lain berbincang untuk menentukan corak persembahan dan konsep pakaian.
"Kami akan membuat kajian terlebih dahulu di Internet sebelum merujuk kepada Steven. Dalam perbincangan itu Steven akan memberikan nasihat dan stail pakaian dan solekan terbaik yang bersesuaian dengan identiti kumpulan kami," terang Muhammad Nazir atau lebih dikenali dengan gelaran Boojae.
Krew tarinya sentiasa berusaha menampilkan kelainan pada setiap minggu khususnya dari segi skil tarian mahupun penampilan.
Dalam pada itu ketua kumpulan Famous Crew, Ng Mun Wei, 30, pula menyatakan kerjasama antara penari dan penata gaya amat penting bagi menyerlahkan kesempurnaan sewaktu membuat persembahan.
"Tiada gunanya jika tarian yang dipersembahkan itu hebat tetapi celanya kelihatan apabila menggayakan pakaian yang tidak bersesuaian," ujarnya.
Sekiranya pada persembahan tersebut salah seorang daripada ahli grup perlu membuat lompatan atau pusing, Mun Wei akan berbincang bersama Steven supaya menyediakan pakaian yang memberi keselesaan tatkala mempratikkan teknik pergerakan lincah sebegitu.
Jelas sekali, bagi kesemua peserta yang masih berjuang dalam Showdown 2010, imej dan penampilan adalah kuasa penarik sehebat kilas tari mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: