Friday, June 4, 2010

Aktivis Gaza sangkal cerita Israel


SEORANG aktivis yang cedera selepas diserang komando Israel di perairan antarabangsa di Gaza duduk di atas kerusi roda semasa menghadiri pengkebumian seorang aktivis lain yang terbunuh di Istanbul semalam.


ISTANBUL - Saksi-saksi di atas sebuah kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza yang diserang oleh anggota-anggota komando Israel semalam menceritakan bahawa beberapa penumpang ditembak mati dan menafikan bahawa mereka melepaskan tembakan dengan menggunakan pistol-pistol yang dirampas daripada anggota komando itu.

Dalam insiden ganas melibatkan kapal misi bantuan ke Gaza, Mavi Marmara pada Isnin lalu di perairan antarabangsa dekat Gaza itu, seramai sembilan aktivis terbunuh.

Israel mendakwa anggota-anggota komandonya terpaksa mempertahankan diri kerana telah dipukul, ditikam dan ditembak oleh aktivis yang merampas senjata mereka.

Namun, seorang aktivis yang merupakan warga Kanada, Farooq Burney memberitahu, dia melihat seorang lelaki tua mengalami pendarahan akibat ditembak di dada yang kemudian meninggal dunia.

Dia menyatakan bahawa anggota-anggota komando Israel menunggu lebih sejam sebelum merawat aktivis-aktivis yang cedera.

Farooq dan Pengerusi Yayasan Hak Asasi Manusia, Kebebasan dan Bantuan Kemanusiaan (IHH), Bulent Yildirim menyatakan aktivis-aktivis tidak pernah melepaskan tembakan dengan menggunakan senjata yang dirampas daripada komando yang menaiki kapal berkenaan menerusi helikopter.

"Kami merampas pistol, mengeluarkan peluru dan membuangnya. Tiada siapa pun yang melepaskan tembakan," kata Farooq yang juga Pengarah Inisiatif Pendidikan Qatar.

Bulent turut menafikan dakwaan Israel bahawa aktivis-aktivis menggunakan pistol.

"Ya, kami ada merampas pistol mereka. Jika kami tembak pun, ia adalah sebagai tindakan mempertahankan diri. Tetapi kami buang semua senjata ke laut," kata Bulent.

Menurutnya, kami memberitahu rakan-rakan kami di atas kapal: "Kita akan mati, menjadi syahid tetapi jangan tunjukkan bahawa kita sebagai orang yang menggunakan senjata," katanya.

Kedua-dua mereka menceritakan pengalaman tersebut di sebuah lapangan terbang di Istanbul selepas dibebaskan pihak berkuasa Israel kelmarin.


BEBERAPA aktivis yang dibebaskan Israel menunjukkan isyarat keamanan semasa tiba di sebuah lapangan terbang di Istanbul semalam.


Bulent telah ditahan dan disoal siasat selama tiga hari. "Kami menyerahkan sembilan mayat dan ada senarai lebih panjang mereka yang hilang," katanya.

Menurutnya, seorang doktor warga Indonesia ditembak sebanyak lima kali di perut ketika dia sedang membantu seorang askar Israel yang cedera.

"Ketika pertempuran berlaku di dek, kami cuba menjaga seorang askar Israel di tingkat bawah.

"Semasa kami memberi mereka (beberapa askar Israel) air, kami diberitahu bahawa rakan-rakan mati ditembak," katanya.

Beliau juga menjelaskan bagaimana seorang jurugambar ditembak di dahi dari jarak satu meter manakala seorang aktivis lain ditembak ketika dia sedang menyerah diri.

"Saya menanggalkan baju dan mengibarkannya sebagai bendera putih. Kami ingat bahawa serangan akan berhenti tetapi mereka terus membunuh aktivis. Seorang rakan memberitahu ada melihat dua mayat di dalam bilik air," kata Bulent.

Salah seorang yang terbunuh ialah remaja lelaki berusia 19 tahun, Furkan Dogan yang merupakan warga Turki dan memiliki pasport Amerika Syarikat (AS).

Agensi berita Anatolia melaporkan mangsa ditembak empat kali di kepala dan sekali di bahagian dada.

Atlet taekwondo kebangsaan Turki, Cetin Topcuoglu yang juga menjadi aktivis misi bantuan ke Gaza itu turut mati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: