Friday, June 4, 2010

Enam orang dikurung 520 hari


ENAM orang sukarelawan melambaikan tangan sebelum mereka memasuki pusat kemudahan Mars500 untuk dikurung.


MOSCOW - Seramai enam orang sukarelawan semalam dipisahkan daripada dunia luar selama setahun setengah atau 520 hari dan ditempatkan di sebuah makmal eksperimen yang dibina mirip impak misi ke planet Marikh.

Seorang lelaki warga China, Itali, Perancis serta tiga orang dari Rusia akan menjalani hidup di dalam kubik di bangunan Institut Masalah Perubatan Bio Rusia (IBMP) seluas 550 meter untuk diuji bagaimana tubuh dan minda mereka bertindak balas semasa dikurung.

Memakai seragam berwarna biru, semua peserta memberikan tanda bagus dan tersenyum ke arah kamera kepada yang tersayang sebelum mereka memulakan misi berkenaan.

Tidak jauh bezanya dengan misi sebenar ke Marikh, mereka semua perlu hidup bersama dengan jumlah makanan yang terhad seperti seorang angkasawan.

Komunikasi dengan dunia luar hanya melalui e-mel yang 'tertangguh' selama 40 minit.

Kemudahan itu hanya akan dibuka selepas eksperimen tamat atau sekiranya seorang peserta terpaksa menarik diri.


GAMBAR menunjukkan pusat kemudahan Mars500 yang menempatkan enam orang di Moscow semalam.


Tiada seorang wanita pun dalam eksperimen yang diberi nama Mars 500 itu.

Para sukarelawan tersebut berusia di antara 27 hingga 38 tahun termasuk seorang ahli program angkawasan dan jurutera awam.

"Ini bukan program seperti Big Brother (program realiti televisyen popular di Barat). Kami tidak memasang kamera pengawasan di semua tempat. Kami berharap tidak timbul sebarang pergaduhan atau skandal," kata Pengurus Program Mars 500, Jennifer Ngo-Anh.

Para krew diperuntukkan masa lapan jam untuk tidur, lapan jam bekerja dan masa bersantai selama lapan jam.

Satu pasukan yang dianggotai seramai tiga orang akan menghabiskan masa selama sebulan di dalam pesawat yang dikatakan mendarat di Marikh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: