Wednesday, June 16, 2010

2 maut, pesawat kecil terbakar rempuh kereta


GAMBAR menunjukkan lokasi sebuah pesawat ringan terhempas di sebuah kawasan kediaman di Sydney semalam.


SYDNEY - Dua orang yang berada di dalam sebuah pesawat ringan maut apabila pesawat yang mereka naiki merempuh sebuah kawasan kejiranan semalam dan turut mengakibatkan beberapa orang lain cedera.

Menteri Pengangkutan Australia, Anthony Albanese memberitahu Parlimen, polis mengesahkan juruterbang dan pembantunya terkorban. Pesawat yang terbakar itu juga nyaris merempuh sebuah rumah dan sekolah rendah berdekatan.

Kapal terbang itu hangus terbakar selepas melanggar sebuah kereta yang dinaiki seorang dewasa dan tiga kanak-kanak, sebelum merempuh tiang elektrik, menyebabkan polis pada mulanya gagal mengenal pasti bilangan mangsa di dalam pesawat.

Dua kanak-kanak dan pemandu kereta itu antara tujuh yang cedera serta dimasukkan ke sebuah hospital. Pasukan kecemasan segera memindahkan 80 orang murid, guru dan ibu bapa apabila banyak minyak daripada pesawat itu mulai tumpah.

Nahas tersebut turut mencetuskan satu siri kebakaran yang merebak pantas melibatkan beberapa buah kereta yang diletakkan berhampiran. Insiden itu turut menyebabkan bekalan elektrik untuk beribu-ribu buah rumah di barat Sydney terputus.

Satu rakaman menerusi laman web LivaATC menunjukkan, juruterbang sempat menghubungi menara kawalan trafik udara Lapangan Terbang Bankstown dan memaklumkan bahawa mereka menghadapi masalah untuk mengesan lokasi pendaratan.

Pihak pengawal trafik mengarahkan pesawat itu membuat pendaratan kecemasan di sebuah lebuh raya berhampiran. Tetapi, juruterbang memberitahu dia tidak dapat melihat dengan jelas sebelum perbualan itu terputus.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: