JOHANNESBURG - Ketika ramai penonton televisyen di seluruh dunia merungut mengenai bunyi bingit vuvuzela sepanjang perlawanan Piala Dunia 2010, serunai tradisi masyarakat Afrika Selatan itu mulai popular di seluruh dunia.
Jualan serunai panjang yang mampu membuat bising 144 decibel atau menyamai bunyi mercun itu semakin laris selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam menolak gesaan mengharamkan vuvuzela di dalam stadium.
Di Britain, permintaan alat tiupan itu bertukar menjadi demam vuvuzela apabila banyak pasar raya mendakwa 22,000 buah serunai tersebut dijual dalam tempoh 12 jam menjelang perlawanan England bertemu Amerika Syarikat Ahad lalu.
Beberapa rangkaian pasar raya besar menempah 25,000 alat itu setelah mendapati setiap unit vuvuzela berjaya dijual setiap dua saat. Sementara itu, laman web runcit talian Amazon menyatakan jualan serunai tersebut meningkat sehingga 1,000 peratus.
Carta popular iTunes Apple pula merekodkan beberapa laman muat turun bunyi daripada alat muzik itu. Antaranya, satu laman web yang dikenali sebagai Vuvuzela 2010 telah mencatatkan muat turun lebih 750,000 kali.
Firma Van Schalkwyk pula memberitahu, mereka telah menjual vuvuzela yang diubah suai daripada asalnya tanduk lembu kepada serunai plastik. Ia dijual pada harga semurah £2.50 (RM12) di seluruh Eropah sejak Oktober tahun lalu.
Setakat ini, lebih 1.5 juta unit vuvuzela berjaya dijual di seluruh benua tersebut. Di Afrika Selatan sahaja, jutaan unit alat tersebut sudah dijual sebelum kejohanan bola sepak terbesar di dunia itu berlangsung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: