
BUKAN mudah untuk menilai kekuatan dan kelebihan yang ada dalam diri seorang seniman. Tapi apabila Datuk Syed Ahmad Jamal dianugerahkan Seniman Negara, sudah pasti ada sesuatu yang istimewa yang membuatkan insan seni yang menjangkaui usia 80 tahun itu benar-benar hebat.
Menjadikan kerjaya pelukis sebagai satu landasan perjuangan yang hakiki, sudah pasti ia benar-benar memberikan satu keterujaan kepada seniman ini.
Kehebatan Syed Ahmad Jamal dalam bidang seni bukan sahaja terletak dalam bidang lukisan semata-mata. Malah kehebatan beliau merangkumi catan, poster, arca, tekstil, lakaran, foto bersejarah dan barangan peribadi yang menjadi koleksinya.
Bertempat di Balai Seni Lukis Negara (BLSN) kini berlangsungnya pameran Syed Ahmad Jamal: Pelukis 31 Januari depan.
Menariknya pameran yang dirasmikan oleh Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ini menghimpunkan 300 buah koleksi lukisan Syed Ahmad Jamal yang bernilai RM10 juta.
Ia bukanlah sebuah pameran yang biasa, sebaliknya lebih merungkaikan apa dan siapa sebenarnya Syed Ahmad Jamal melalui koleksi karya-karya yang dihasilkan sejak tahun 1950-an lagi.
Karya-karya yang dihasilkan termasuklah yang ada pada seniman tersebut dan dipinjamkan kembali daripada semua kolektor-kolektor yang menyimpan hasil tangannya.
Syed Ahmad Jamal bukan sahaja terkenal sebagai seorang pelukis, malah peranannya sebagai guru, pereka, penulis, kurator dan pentadbir membuatkan insan seni ini berada dalam kelasnya yang tersendiri.
Pada tahun 1975, BSLN pernah mengadakan pameran retrospektif beliau yang memperlihatkan karya-karya abstrak ekspressionisme seperti Mandi Laut (1975), Chairil Anwar (1959), Umpan (1959), Jendela Di Angkasa (1969), Eureka (1968) dan Sidang Roh (1970).
![]() |
| Syed Ahmad Jamal |
Kesemua ini merupakan karya-karya yang hebat dan terpenting yang pernah dihasilkan oleh Syed Ahmad Jamal sehinggakan ada yang menganggap ia sebagai permulaan sejarah seni lukis moden di Malaysia.
Keunikan Syed Ahmad Jamal sudah pasti terletak kepada penerokaan dan idea-idea kreatif yang bukan sahaja dikagumi oleh masyarakat tempatan tetapi juga antarabangsa.
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan Syed Ahmad Jamal sejak dahulu lagi pastinya dapat merasai sendiri imej Gunung Ledang / Tanjung Kupang seakan menjadi identiti kepada dirinya.
Biarpun sudah berpuluh tahun melukis, masih tiada tanda-tanda yang Syed Ahmad Jamal akan berehat daripada memegang berus. Ini kerana dia baru sahaja menyahut cabaran negara dengan menyertai pertandingan Antarabangsa Mural Mekah 2009.
Menyorot pembabitan awal pelukis bertaraf dunia ini, beliau yang dilahirkan pada 19 September 1929 di Bandar Maharani, Muar, Johor melanjutkan pelajaran di Birmingham School Of Architecture pada tahun 1950 dan seterusnya ke Chelsea School Arts, London (1951-1955).
Selain itu beliau juga menyambung pengajian ke School of Art Institute, Chicago, Illinois, Amerika Syarikat (1963-1964), University Of Hawaii, Honululu (1973), Harvard University, Cambradge, Amerika Syarikat (1974).
Antara jawatan yang pernah disandang termasuklah menjadi guru di High School, Batu Pahat (1956-1957), pensyarah Maktab Perguruan Harian, Kuala Lumpur (1957), Malayan Teacher's Collage, Kirkby, Lanc., England (1958-1959) dan menjadi Pengetua di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras (1964).
Bagi peminat lukisan yang datang ke pameran ini pasti akan dapat melihat sendiri karya Senyuman dan 99 yang dihasilkan khusus untuk pameran ini. Juga saksikan lukisan yang dihasilkan pada tahun 1948, karya yang jarang dipamerkan pada khalayak.
Antara sedar dan tidak, Syed Ahmad Jamal merupakan warisan yang masih hidup dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Watak hebat dan karisma yang ada dalam diri seniman ini bakal menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berkarya.
Bagi mereka yang berminat untuk untuk menyaksikan sendiri pameran Syed Ahmad Jamal: Pelukis, boleh datang ke Aras Satu Galeri 1A, Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: