Wednesday, October 7, 2009

Sonata Labu Labi di Astro Warna

Istimewa Oktober ini, Astro WARNA dengan bangganya membawakan sebuah lagi drama bersiri menarik dengan pengisian yang segar dan terkini khusus untuk santapan para pelanggan Astro yang berjudul Sonata Labu Labi.

Drama ini dijayakan oleh barisan pelakon popular tanah air seperti Nabil Ahmad yang membawa watak Labu dan juga Fizz Fairuz sebagai Labi. Selain itu, Emelda Rosmila sebagai Manisah serta pelakon yang cukup terkenal dengan kebolehannya untuk meniru suara para pelakon veteran di era P Ramlee, S Azly sebagai Tuan Bakhil. Drama hebat ini telah pun memulakan siarannya menerusi Astro WARNA di saluran 132 dalam pakej Mustika setiap Isnin bermula 5 Oktober 2009 lalu, jam 9 malam.

Drama komedi ringan 26 episod yang pasti mengundang tawa ini ini diarahkan oleh pelakon, penulis skrip, penggiat teater dan artis serba boleh yang cukup sinonim dengan watak Sultan Mahmud dalam persembahan Teater Puteri Gunung Ledang dan pernah muncul di layar perak menerusi pelbagai drama dan filem termasuklah Gubra, Bilut, Los & Faun iaitu Adlin Aman Ramlie.

Drama Sonata Labu Labi ini mengisahkan suka-duka dua orang pekerja kedai perabot, Labu dan Labi yang sering berangan-angan untuk mengubah nasib mereka agar lebih mewah dan cemerlang. Sikap suka berangan mereka telah menjejaskan banyak hal ehwal tugasan mereka. Selain kuat berborak dan selalu bangun lewat, Labu dan Labi sering juga curi tulang untuk menonton wayang di dalam waktu bekerja kerana boleh dikatakan mereka berdua terpaksa bekerja hampir sepanjang masa di premis perniagaan tauke bernama Tuan Bakhil Bin Kedekut yang memang bakhil dan kedekut.

Manisah pula lain ceritanya. Manisah sering menipu bapanya untuk mengejar cita-cita sebagai peragawati dan pelakon sambilan. Penipuan Manisah akhirnya diketahui oleh Labu dan Labi, lantas menjadikan mereka bertiga sebagai ‘teman sepenipuan’ di sisi Tuan Bakhil.

Jangan lepaskan peluang untuk mengetahui kesudahan drama hebat Sonata Labu Labi yang penuh warna-warni pada setiap hari Isnin, bermula pada 5 Oktober ini, jam 9 malam, hanya di Astro Warna (saluran 132) dalam pakej Mustika. Selamat menonton!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: