Wednesday, October 7, 2009

Imran rai rakan media sempena Syawal



Jejaka yang tidak lekang dengan senyumannya, Imran Ajmain, menggunakan sebaik-baiknya peluang di bulan Syawal ini dengan meraikan rakan-rakan media yang selama ini banyak membantu menaikkan kariernya menerusi publisiti yang diberikan oleh pihak media.

Majlis sambutan Aidilfitri bersama artis kelahiran Singapura itu diadakan di pusat hiburan karaoke terkenal, Red Box The Gardens turut dihadiri teman rapat penyanyi lagu jiwang Seribu Tahun dan Selamat Ulang Tahun Sayang itu.

“Ada tiga sebab saya mengadakan majlis ini. Pertama sekali adalah untuk meraikan sambutan Aidilfitri bersama rakan-rakan media. Kedua, bulan ini (Oktober), saya dipilih oleh pihak Red Box sebagai ‘Artist of the Month'.

“Sebab yang terakhir adalah sempena tayangan perdana dua video klip yang baru sahaja selesai pembikinannya pada Julai lalu. Video klip tersebut ialah untuk lagu Selamat Ulang Tahun Sayang dan Jika Kau Pergi yang menjadi lagu tema drama bersiri Yusof di TV3,” katanya.

Terbaru, Imran akan menampilkan lagu Jika Kau Pergi sebagai single terbarunya selepas lagu Radio yang kini ligat diputarkan di stesen-stesen radio tanah air dan Singapura.

“Ketika drama Yusof disiarkan tidak lama dulu, saya mendapat maklum balas yang positif mengenai lagu Jika Kau Pergi. Tapi ketika itu saya tidak berkesempatan untuk mempromosikan lagu tersebut sebab sibuk menumpukan perhatian pada pelancaran album baru,” ulas Imran yang bernaung di bawah syarikat pengurusan artis Metadome. Kedua-dua lagu tersebut dipetik daripada album terbarunya, Punca & Tindakan.

Menurut Imran, ketika beliau mula-mula ingin memperkenalkan lagu Jika Kau Pergi, ramai yang beranggapan susunan muzik yang diketengahkan menerusi lagu itu agak ketinggalan.

Namun, setelah acap kali didengarkan kepada peminat menerusi drama Yusof, nyata persepsi tersebut disangkal sama sekali. Imran sekali lagi membuktikan menerusi lagu tersebut apabila beliau memenangi pingat emas bagi kategori Gubahan Lagu Original Terbaik di World Championship of Performing Arts (WCOPA) yang berlangsung di Los Angeles baru-baru ini. Selain itu, Imran turut memenangi dua pingat gangsa menerusi kategori R&B dan Soul serta Jazz dan Broadway.

Kini, Imran sibuk mengadakan siri jelajah mempromosi album terbarunya.

Hanya tinggal dua lokasi sahaja lagi yang bakal dikunjungi Imran ialah Terengganu dan Melaka.

Dalam perkembangan lain, pada Disember akan datang, Imran akan mengadakan sebuah lagi siri jelajah promosi yang akan melibatkan pub, bar, lounge, kafe dan kelab sekitar Lembah Klang. Yang terbaru, Imran mendapat tawaran sebagai jurucakap mempromosi Singapura kepada masyarakat Melayu Islam di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: