![]() |
| GERAI Bahagian Radio dengan juadah istimewa sate, nasi impit dan kuah kacang menjadi tumpuan ramai. |
SEPERTI biasa, setiap syarikat akan menganjurkan rumah terbuka bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Kebiasaannya, sesebuah rumah terbuka itu dimeriahkan dengan pelbagai hidangan juadah raya.
Sambil menikmati makanan, mereka dihiburkan dengan lagu-lagu raya untuk menghidupkan suasana raya.
Namun, berbeza dengan Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang diadakan di Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini yang berkonsepkan 1 Malaysia dengan tema Mesra Aidilfitri RTM 2009.
Majlis diserikan dengan gimik pembukaan persandingan dua pekerja RTM bak majlis perkahwinan yang sebenar. Lengkap dengan majlis tepung tawar persembahan kompang.
Menariknya lagi, majlis yang diacarakan oleh dua personaliti RTM, Eisha dari Selamat Pagi Malaysia dan Muazzanazudin (Diva@1), turut disertakan dengan aktiviti tarian poco-poco oleh warga RTM.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang dan Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) Datuk Norhyati Ismail.
Menurut Norhyati, ini adalah kali pertama acara sebegini diadakan yang melibatkan keseluruhan bahagian di RTM.
"Jelas di sini komitmen yang ditunjukkan dengan kerjasama dalam setiap bahagian dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara kakitangan jabatan selain pelanggan radio dan TV sebagai tujuan asas acara.
"Dengan adanya beberapa kategori pertandingan antaranya gerai tercantik, gerai mesra, gerai terbersih selain pakaian terbaik Hari Raya diharap ianya dapat memeriahkan suasana sambutan hari raya dan tradisi ini dapat diteruskan setiap tahun selaras dengan konsep 1 Malaysia," ujarnya ketika ditemui di majlis Terbuka Aidilfitri Jabatan Penyiaran RTM di sini, baru-baru ini.
Joseph dan Norhyati turut meluangkan masa melawat gerai-gerai makanan selain turut menyempurnakan acara memotong kek hari raya yang telah ditaja khas oleh Chef Liza Zainol dari Akademi Memasak Chef Liza.
Riang ria acara tradisi tahunan di jabatan kerajaan itu juga berbeza tahun ini apabila setiap bahagian diminta menyediakan gerai makanan bagi memeriahkan rumah terbuka itu.
Antara gerai-gerai yang menjadi perhatian di acara itu adalah gerai Bahagian Reka Bentuk yang menyediakan hidangan istimewa kambing panggang dan gerai Bahagian Radio dengan juadah istimewa sate bersama pelengkap hidangan seperti nasi impit dan kuah kacang.
Gerai-gerai lain yang turut menjadi tumpuan antaranya Bahagian Kejuruteraan, Bahagian Berita Ehwal Semasa, Bahagian Penerbitan TV serta Bahagian Siaran, Pemasaran, Khidmat Pengurusan dan Strategik.
Pelbagai juadah wajib hari raya seperti ketupat, lemang, rendang dan persembahan nyanyian dan tarian dari bahagian-bahagian dalam jabatan turut menjadi santapan mata pengunjung yang juga warga kerja Jabatan Penyiaran Malaysia.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: