![]() |
| KENANGAN...Teong Hin sewaktu di lokasi penggambaran filem Puteri Gunung Ledang pada tahun 2001. |
SELEPAS filem kedua arahannya Apa Kata Hati (AKH) ditayangkan tahun lalu, nama Saw Teong Hin seakan-akan sepi dari dunia perfileman tanah air.
Filem komedi romantik yang membariskan pelakon baru dan lama seperti Farid Kamil, Raja Farah, Awal Ashaari, Fauziah Ahmad Daud, Harun Salim Bachik dan Awie itu hanya sekadar mencatatkan kutipan RM1 juta sahaja.
Ramai beranggapan dia kecewa dan sedih dengan penerimaan masyarakat terhadap filem tersebut apabila ia tidak mencapai kutipan pecah panggung (box-office).
Saat diajukan pertanyaan kepada pengarah yang terkenal dengan sikap ramah ini, sambil melemparkan sekuntum senyum dia langsung tidak menafikannya.
Tetapi, dia melihat perkara itu sebagai pembakar semangat untuk dia terus melahirkan karya-karya berkualiti selepas ini.
"Bagi saya, pengalaman mengarahkan filem AKH adalah sesuatu yang cukup indah dan manis sekali kerana ia berbeza dengan apa yang pernah saya lakukan sebelum ini.
"Tetapi saya tidak perlu untuk terus berasa sedih sehingga perlu membawa diri dan sebagainya.
"Sebaliknya, saya cuba mencari kesilapan serta kelemahan untuk saya perbaiki.
"Dalam masa yang sama, saya cuba menyelusuri akar umbi saya sendiri untuk saya curahkan dalam karya saya yang seterusnya," katanya penuh makna dalam satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.
AKH telah pun ditayangkan buat pertama kalinya di televisyen menerusi Astro Citra (saluran 131, Astro) pada bulan Syawal lalu dan kini masih lagi ditayangkan di saluran yang sama.
Berbicara dengan pengarah yang lebih mesra disapa Teong Hin ini, untuk filem seterusnya dia akan mencari serta memberikan satu kelainan dalam subjek filemnya.
Tidak lagi mengarahkan filem Melayu sebaliknya Teong Hin akan menghasilkan sebuah filem berbahasa Hokkien dengan skrip tulisannya sendiri.
Katanya, filem yang mengisahkan tentang sebuah keluarga di Pulau Pinang sedikit sebanyak cuba menonjolkan sisi lain dirinya dalam berkarya.
"Inilah yang saya lakukan dan cari selepas filem AKH ditayangkan. Saya fikir sudah tiba masanya untuk saya melakukan sesuatu yang berbeza.
"Apatah lagi, saya boleh dikatakan seorang yang agak selektif apabila mengarahkan filem. Bukan kerana sombong mahupun berlagak, tetapi saya mahu menghasilkan karya yang berbeza dan tidak statik," ujar Teong Hin yang mula mengorak langkah sebagai pengarah filem cereka menerusi filem pertamanya, Puteri Gunung Ledang pada tahun 2001.
Dengan penuh rendah diri, pengarah filem berusia 47 tahun ini memberitahu dia masih lagi menganggap dirinya umpama seorang budak yang baru belajar biarpun sudah 25 tahun dalam bidang seni.
Kerana itu juga, dia masih dan mahu terus mencari peluang untuk mengembangkan lagi skil pengarahan dan dalam diam, dia mengimpikan untuk mengarahkan sebuah filem muzikal.
Saat diajukan kepadanya, mengapa genre itu yang dipilihnya kerana pasaran untuk filem sebegitu di negara ini terlalu kecil.
Apatah lagi untuk mengaut kutipan pecah panggung adalah satu perkara yang memang mustahil.
"Saya sukakan cabaran dan kalau saya diberi peluang untuk mengarahkan sebuah filem muzikal, ia umpama bulan jatuh ke riba," katanya yang pernah merangkul gelaran Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-18 menerusi filem Puteri Gunung Ledang .
Selain daripada filem Hokkien yang dijangka menjalani penggambaran tahun depan, Teong Hin yang juga terkenal sebagai pengarah muzik video ini sudah kembali sibuk di lokasi penggambaran.
Menariknya, kali ini Teong Hin juga menonjolkan bakatnya dalam pengarahan drama bersiri berjudul Tangkal Besi sebanyak lapan episod untuk tayangan di Astro Citra.
Diilhamkan daripada kisah sekumpulan perompak yang cukup terkenal dengan aktiviti rompakan mereka, Tangkal Besi menampilkan Adlin Aman Ramlie, Radhi Khalid dan Hasnol Rahmat sebagai teraju utama.
"Saya memang teruja dengan projek terbaru yang diusahakan bersama syarikat Red Communications Sdn. Bhd., kerana ia adalah sesuatu yang baru untuk saya terokai.
"Memang mencabar mengarahkan drama bersiri ini kerana ia berlatar belakangkan tahun 70-an yang pastinya memerlukan ketelitian dan kesabaran yang cukup tinggi," ujarnya tentang drama yang akan menjalani penggambaran di sekitar bandar-bandar utama di Perak.
Dalam masa yang sama, Teong Hin turut memuji langkah Astro mewujudkan Astro Citra yang disifatkannya sebagai platform terbaik untuk menayangkan filem-filem tempatan serta drama berkualiti yang lain.
Mengakui pernah mengikuti karya seperti 10, Rosli Dhoby, Darah Suci Darah Putih dan yang terbaru, Korban 44, Teong Hin ternyata bangga dan kagum dengan penghasilan drama-drama seperti itu.
generasi baru
"Setidak-tidaknya ia membuka peluang kepada pengkarya generasi baru untuk mempamerkan hasil kerja mereka sekali gus membuktikan kepada umum bahawa negara kita tidak pernah ketandusan karyawan yang berbakat.
"Tetapi, kalau mahu terus menarik perhatian orang ramai menonton Astro Citra, tidak salah kalau pakej itu dijadikan percuma.
"Kerana jika dilihat pada harganya dan jika dicampur dengan pakej yang sedia ada ia boleh dikategorikan sebagai mahal," ujar Teong Hin meluahkan pandangan peribadinya.
Sudah menceburi bidang seni selama suku abad, pastinya pengalaman Teong Hin sudah cukup untuk menjadikannya sebagai seorang pengarah yang cukup disegani.
Biarpun hanya mengarahkan dua filem cereka, tetapi dengan pengalaman luasnya itu sudah cukup melayakkannya untuk berbicara tentang industri perfileman tanah air masa kini.
"Saya nampak semakin ramai pembikin filem muda yang memiliki kreativiti dan idea yang cukup menarik dalam mempersembahkan cerita mereka.
"Dalam hal ini, saya cukup suka dengan hasil kerja Syamsul Yusof yang saya lihat memiliki tenaga dan kelebihan yang luar biasa dalam mengarahkan filem-filemnya," katanya yang baru sahaja selesai mengarahkan muzik video E.R.T. (Ekonomi Rumah Tangga) nyanyian Farah Asyikin.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: