Monday, October 5, 2009

Polis AS akui guna meriam bunyi


BEBERAPA anggota polis menggunakan 'meriam bunyi' yang diletakkan di atas bumbung sebuah trak polis di Pittsburgh baru-baru ini.


PITTSBURGH - Polis Amerika Syarikat (AS) mengaku pihaknya menggunakan meriam yang mengeluarkan bunyi bising bagi menyuraikan penunjuk perasaan di sini baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Senjata yang dikenali sebagai Alat Akustik Jarak Jauh (LRAD) itu menyebabkan anggota-anggota penunjuk perasaan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) terpaksa beredar kerana mengalami gangguan pendengaran.

Alat berukuran 60 sentimeter panjang yang mudah dibawa itu mampu mengeluarkan bunyi yang lebih kuat daripada kebisingan sebuah enjin jet.


SEORANG penunjuk perasaan menutup telinganya kerana tidak tahan mendengar bunyi bising 'meriam bunyi.'


Menurut polis, pihaknya buat kali pertama menggunakan alat itu bagi mengawal satu tunjuk perasaan besar di sini.

Alat itu dicipta oleh firma American Technology Corporation.

Namun 'meriam' tersebut pernah digunakan polis untuk menyuraikan demonstrasi di New York pada 2004.

"Anda perlu meletakkan tangan untuk menutup kedua-dua belah telinga jika menjadi sasaran meriam ini," kata Timbalan Pengarah Agensi Kecemasan Bandar Raya Pittsburgh, Ray DeMichiei.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: