Wednesday, October 21, 2009

Permohonan cerai cara baik ditolak


SHAZLIN hadir di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya semalam bagi mendengar kes permohonan bercerai dengan suaminya, Mohd. Radhi.





PETALING JAYA - Permohonan vokalis Kumpulan OAG, Mohd. Radhi Razali (gambar kecil) untuk bercerai secara baik ditolak Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam ekoran terdapat dakwaan isterinya, Shazlin Shariff bahawa artis itu pernah melafazkan cerai talak tiga terhadapnya.

Perkara itu diputuskan oleh Hakim Syarie, Ghazali Ahmad yang mendengar prosiding kes itu semalam.

Terdahulu, peguam syarie, Rubiah Jaafar yang mewakili Shazlin, 31, memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah mencapai perjanjian penyelesaian untuk bercerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Sehubungan itu, Rubiah memberitahu, plaintif memohon untuk menarik balik permohonan pengesahan lafaz cerai talak tiga yang didakwa telah dilafazkan Radhi, 32, terhadap Shazlin pada pukul 11.40 pagi 25 Februari lalu menerusi panggilan telefon.

Lafaz tersebut berbunyi: "Aku ceraikan kau dengan talak tiga terus."

Permohonan pengesahan lafaz cerai itu difailkan Shazlin mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2002.

Bagaimanapun Ghazali berkata, mahkamah perlu mendengar terlebih dahulu permohonan pengesahan lafaz cerai tersebut kerana perlu menentukan sama ada pasangan itu telah sah bercerai dan berapa jumlah talak yang dilafazkan.

Ghazali kemudian menetapkan tarikh perbicaraan pada 3 November depan dan turut mengarahkan defendan untuk memfailkan pembelaan terhadap permohonan pengesahan lafaz cerai pada tarikh akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: