Monday, October 19, 2009

Nostalgia Black Dog Bone


Undang Jay Jay jayakan konsert pada 31 Oktober di Pusat Konvensyen Persada Johor

SELEPAS kejayaan persembahan di Istana Budaya (IB) Mei lalu, kumpulan legenda Black Dog Bone (BDB) sekali lagi akan menghiburkan peminatnya dalam sebuah konsert diberi nama Konsert Malam Kenangan BDB. Kali ini, persembahan kumpulan yang sudah lebih tiga dekad menghiburkan peminat itu dibawa ke Pusat Konvensyen Persada Johor, Johor Bahru.

Mengekalkan muzik iringan secara orkestra, kumpulan enam anggota itu juga sekali lagi mengundang rakan seperjuangan, Jay Jay sebagai artis tamu pada konsert anjuran Offshore Entertainment Production Sdn Bhd berkenaan.

Dijangkakan, persembahan yang mengambil masa kira-kira dua jam itu menyaksikan kumpulan terbabit menyampaikan kira-kira 30 lagu dan sebahagiannya ialah lagu yang tidak dipersembahkan pada konsert mereka di IB.


Maka pada 31 Oktober ini, mulai jam 8.30 malam, peminat kumpulan terbabit akan dapat menikmati deretan lagu popular mereka termasuk Khayalan, Geram, Hatiku Luka Lagi, Bahagia Dan Derita, Si Gadis Ayu, Kisah Kisah Lama dan Cahaya Aidilfitri.

Kata penyanyinya, Jatt, Cahaya Aidilfitri sentiasa menjadi lagu wajib mereka. Tidak kiralah persembahan diadakan pada musim Hari Raya atau sebaliknya, lagu itu tetap diminta peminat.

"Lagu yang dipopularkan pada 1979 itu ialah satu-satunya lagu raya yang pernah kami rakamkan sepanjang karier kumpulan ini," cerita Jatt sambil memberitahu, mereka lebih suka menyampaikan lagu secara penuh, berbanding secara medley yang mungkin tidak akan memuaskan hati peminat.

Pada pertanyaan mengapa konsert kumpulan itu dibawa ke Johor Bahru, pemain trompetnya, Masron Ali, berkata, apabila konsert mereka dilangsungkan di IB, ramai juga peminat dari Selatan tanah air yang merungut kerana mereka tidak dapat sama-sama menyaksikan persembahan berkenaan.

"Lalu, kami memilih Johor Bahru sebagai lokasi konsert seterusnya. Insya-Allah, jika konsert ini mendapat sambutan memberangsangkan, kemungkinan untuk konsert ini menjelajah ke tempat lain tetap ada," kata anggota paling senior (Masron dilahirkan pada 1944) kumpulan terbabit.

Difahamkan, selepas menghangatkan Johor Bahru, BDB akan muncul pula dalam acara serupa di Sabah dan Pulau Pinang.

Mengenai kelompok sasaran konsert terbabit, anggota kumpulan ini berkeyakinan peminat daripada semua peringkat akan tampil memberikan sokongan apabila mereka muncul di dewan pusat konvensyen yang boleh memuatkan kira-kira 3,000 orang itu. Ia juga pastinya menarik minat penonton dari Singapura.

Kemunculan di Johor Bahru nanti tentunya peristiwa cukup bermakna buat kumpulan ini dan peminat mereka, apabila BDB tampil sekali lagi dengan anggota asalnya. Selain Jatt dan Masron, BDB turut dianggotai Izzar Masrom, Hamid Ahmad, James Chai dan Michael Heng.

Muncul dengan album pertama, Sindir Sindir Sayang, 33 tahun lalu, kumpulan itu mengambil masa kira-kira 18 tahun untuk kembali mengadakan persembahan bersama anggota asal. Anggotanya membawa haluan sendiri pada dekad 80-an sebelum kembali bersatu untuk beberapa persembahan kecil pada 2004.

Ditubuhkan sebagai kumpulan muzik untuk persembahan kelab, BDB bagaimanapun akhirnya dilabel sebagai artis rakaman apabila komposer S Atan mencetuskan idea untuk mereka menghasilkan album.

Bersama komposer yang sama, baru-baru ini BDB mengadakan perbincangan mengenai kemungkinan kumpulan terbabit merakamkan lagu baru untuk dimuatkan dalam album mereka yang ke seterusnya.

"Jika rancangan ini terlaksana, kami juga bercadang untuk mengundang Jay Jay merakamkan lagu bersama kami. Jika ada persembahan seterusnya, bolehlah kami berdua sama-sama mempromosikannya," kata Jatt.

Jelasnya, melihat keadaan industri yang kian suram ketika ini, kemunculan mereka diharap sedikit sebanyak dapat menyemarakkan kembali suasana persada muzik Melayu.

"Kami bersikap terbuka mengenai lagu yang bakal dimuatkan di dalam album itu. Kami boleh menghasilkan sendiri sebahagiannya, manakala sebahagian lagi boleh diambil daripada komposer lain," ujarnya.

Ingin mengekalkan konsep yang sering kali ditampilkan mereka menerusi album terdahulu, namun sudah tentu susunan muziknya nanti menyaksikan sedikit perubahan, sesuai peredaran waktu.

Memperjuangkan muzik berteraskan rhythm & blues, kumpulan itu turut mengetengahkan elemen funk, soul dan disko dalam album mereka.

Paling penting, kata Jatt, melodi yang dihasilkan perlu kedengaran sederhana serta mudah menangkap pendengaran peminat. Lebih utama, elemen muzik dan irama Melayu perlu wujud dalam sesebuah lagu, untuk memastikannya kekal lebih lama dalam khazanah muzik negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: