Haliza Misbun yang sedang sibuk dengan filemnya Andartu Terlampau.... 21 Hari Mencari Suami mengaku tidak takut dengan gelaran itu
DI usia 36 tahun, Haliza Misbun kini hanya mahu bersenang lenang saja menikmati bidang seni yang cukup dicintainya. Pelakon yang pernah dilabel bermulut laser atau bercakap lepas ini mungkin sudah meniti pengalaman yang bukan calang orang mampu melaluinya.
Seperti wanita lain, pemilik tubuh montok yang sudah 18 tahun berkecimpung di arena seni ini juga berdepan dengan situasi yang sama apabila cinta yang diharap berpanjangan kecundang di tengah jalan. Malah gelaran sinikal atau label andartu (anak dara tua) yang diberikan kepadanya tidak sesekali menjadi kudis.
Pelakon yang kali terakhir muncul di layar perak menerusi filem Scoop pada 1996 ini juga memberi pendedahan menarik mengenai tiga lelaki yang pernah bertakhta di hatinya sebelum ini turut berlakon di dalam filem terbabit. Malah difahamkan ada yang masih menjalinkan hubungan intim dengan Haliza.
Persoalan siapa tiga lelaki yang dimaksudkan itu, semuanya dibiarkan rahsia. Mungkin jika anda peminat setia Haliza yang sering mengikuti perkembangan ceritanya dapat mengagak siapa gerangan yang dimaksudkan itu.
| HALIZA tidak menafikan filem sulung terbitannya adalah kisah pengalamannya sendiri. |
"Memang saya andartu dan kenapa perlu saya takut dengan gelaran itu. Tak saya nafikan filem itu diadaptasi daripada pengalaman saya sendiri namun secara dasar saja dan selebihnya ditokok tambah. Memang ada watak pelakon lelaki yang diwujudkan pernah hadir dalam hidup saya.
"Menariknya ia dilakonkan insan sebenar yang pernah saya cintai. Mujur mereka sporting dan supaya tidak nampak jelas, nama mereka ditukar lain. Selain itu ada juga watak lelaki lain yang turut dikekalkan namanya dan ironinya memang pernah wujud dalam hidup saya," kata Haliza lewat pertemuannya dengan Hip di Balai Berita baru-baru ini.
Kata Haliza yang hadir dengan dua persalinan rekaan Aidawati Saidin lengkap dengan but, filem yang menelan belanja keseluruhan sekitar RM1.1 juta itu dijangka menemui peminat wayang tempatan pada Mac 2010. Sambil berseloroh, Haliza memberitahu tajuk lain yang sesuai diberikan kepada filem ini ialah Inilah Lelaki Yang Ada Di Muka Bumi.
Ternyata filem ini mungkin cebisan sisi pengalaman yang pernah dilalui Haliza dan mungkin golongan wanita lain juga. Ia mampu membuat sesiapa pun yang menontonnya akan ketawa terguling-guling dan harapnya mampu membuat penonton datang lagi ke pawagam untuk menontonnya.
| Apakah jejaka Perancis bernama Cedric Lemaitre ini yang sedang bertakhta di hati Haliza? |
"Ketika saya membawa kawan perempuan untuk sesi suntingan lagi, dia sudah ketawa besar. Itupun suntingan tanpa suara, inikan pula kalau nanti ditayangkan dengan suara. Berat badan saya turun mendadak kerana filem ini dan diharap tuah filem ini akan berpanjangan kelak selepas ditayangkan.
"Dengan bantuan kawan dan rakan wartawan melalui hebahan mulut ke mulut, nescaya ia mampu menjadi strategi pemasaran terbaik untuk mengajak penonton ke pawagam. Dalam soal bajet membabitkan kewangan pula, memang saya sangat tegas. Kalau terlebih satu ringgit pun, saya akan tanya kepada pengurus produksi (Norrehan Yakob).
"Bukan senang nak dapatkan duit dan sebab itu saya terlalu berkira dalam soal kewangan. Mujur saya bekerja dengan Norrehan yang saya kenal sejak di usia 19 tahun lagi. Lalu, dia sudah faham cara kerja saya termasuk sikap 'garang' saya," katanya yang pernah berlakon filem Abang 92.
Mengajak Haliza berbicara lanjut mengenai status andartu yang dipegangnya, signifikan kenapa filem itu dibikin juga bertitik tolak kepada usaha untuk membuka mata masyarakat Melayu terutama terhadap golongan sepertinya yang memilih untuk hidup menyendiri.
"Tak boleh saya menidakkan bahawa ada golongan andartu yang takut dan fobia dengan gelaran itu. Saya sendiri berpengalaman balik kampung atau menghadiri kenduri kendara dan sering ditanya soal bila lagi nak kahwin. Memang ada masyarakat yang memandang pelik jika ada anak dara yang kahwin lambat.
"Di usia saya kini, saya sudah cukup matang dan rasional untuk memikirkan kehidupan mendatang. Mungkin juga saya terlalu mengikut budaya wanita Barat yang memilih untuk berkahwin lambat. Bagi saya semuanya berbalik kepada soal jodoh. Bukan kehendak kita untuk memilih jalan hidup begini.
"Saya bangga untuk menjadi andartu dan barangkali itu pilihan saya. Lihat saja aktres Hollywood, Halle Berry sendiri melahirkan anak di usia 41 tahun. Soal kahwin bukan sesuatu yang boleh dirancang. Kebahagiaan terletak pada pandangan mata masing-masing. Kalau berkahwin atas tekanan orang lain pun tiada gunanya juga," kata Haliza yang memegang watak sebagai Nikki di dalam filem terbitan sulungnya.
Beberapa tahun kebelakangan ini juga, lelaki yang sering hadir di dalam hidupnya bukan dari kalangan orang Melayu. Sebaliknya, jejaka Mat Salih, lalu apa kurang benarkah kualiti lelaki Melayu hingga lelaki Inggeris saja yang menjadi pilihan Haliza?
Ungkap Haliza sambil tersenyum, dia percaya kepada simbolik magnet. Semakin dekat kita kepada satu rangsangan atau yang terdetik di kotak minda, makin semakin jelas tarikan itu hadir. Hip mendapat tahu lelaki Perancis bernama Cedric Lemaitre yang turut berlakon di dalam filem itu cukup intim dengannya. Benarkah?
"Saya sebenarnya tidak pernah meletakkan syarat dalam bercinta atau mencari kekasih. Namun pada akhirnya lelaki Inggeris juga yang singgah dalam hidup saya. Saya sendiri sering mempersoalkan diri, ada tak lelaki Melayu yang boleh menerima keterbukaan saya ini. Sekalipun ada lelaki Melayu yang boleh menerima saya, bagaimana pula dengan orang tua mereka," ungkap Haliza mengharap pengertian semua.
Dan dalam ramai pelakon kenapa perlu ada Ari Wibowo dari Indonesia? Apakah sudah tandus pelakon Melayu di negara kita? Kalau ada yang masih ingat, beberapa tahun dulu, Haliza pernah mengeluarkan kenyataan hero Malaysia kebanyakannya lembik.
Bukan berniat membuka cerita lama, namun bagi Haliza, Ari diundang berlakon sama atas dasar persahabatan yang dibina selama ini. Lagipun filem ini tidak mempunyai hero sebaliknya, Haliza sendiri yang menjadi tunggak utama penceritaan.
"Saya tidak mahu dikatakan seperti kata pepatah, kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan. Selain Ari, saya tampilkan hero Malaysia seperti Datuk Rahim Razali, Azhar Sulaiman, Fahrin Ahmad, Awie, Azizi Chunk dan Fizo Omar.
"Saya memilih Ari sekali lagi selepas kerjasama VCD Rohayah Roy sebab faktor ketampanannya, pelakon yang berbakat dan dia seorang yang sangat baik. Kejayaan VCD itu dijual sebanyak 14,000 unit pada hari pertama dilancarkan sudah meyakinkan saya bahawa pelaburan memilih Ari sesuatu yang sangat berbaloi.
"Ari juga sebagai tarikan untuk mengajak orang Indonesia termasuk golongan amah di negara kita menonton filem ini di pawagam. Kalau nak tengok Datuk Rahim Razali berlakon watak komedi pun satu alasan kenapa anda perlu menonton filem ini," kata Haliza yang menganggap Rahim Razali sebagai mentornya.
INFO: Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami
- Turut dilakonkan Erra Fazira, Fara Fauzana, Abby Abadi, Maimun Talib dan Datuk Jalaluddin Hassan.
- Skripnya ditulis oleh Sofia J Rhyland. Ia memaparkan titik tolak kehidupan Haliza ketika mengenali beberapa lelaki yang pernah singgah di hatinya.
Rejim kecantikannya
- Gemar berjoging empat kali dalam seminggu. Malah akui Haliza, joging sudah menjadi sebahagian inti pati gaya hidupnya hingga sudah jadi ketagih.
- Buat masa sekarang, kata Haliza, belum terlintas di hatinya untuk melakukan pembedahan plastik atau suntikan seumpamanya. Kata Haliza lagi, dia bukan seperti sesetengah artis seangkatannya yang memilih untuk mengubah wajah asli.
- Ungkap Haliza, dia bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang. Sekalipun Haliza melakukan perkara terbabit, masyarakat sudah mampu menilai sama ada artis itu melakukan operasi wajah atau sebaliknya.
- Berasakan dirinya seperti berusia 25 tahun atau dalam erti kata lain 'perasan muda'.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: