Tuesday, October 27, 2009

Nikmat kapal layar mewah




SAYA lebih selesa tinggal di laut. Berada terlalu lama di darat boleh menyebabkan saya pening,” ujar gadis Perancis berusia 23 tahun itu ketika membuka bicara mengenai dunia pelayaran.

Sebelum itu, Coralie Imbert bersama juragan kapal, Martin Cancelleri tekun melengkapkan segala keperluan untuk menampung pelayaran selama empat hari di perairan Pulau Tioman, Pahang.

Pada masa yang sama mata penulis sibuk menyelongkar segenap sudut kapal, mengenal pasti ‘rumah baru’ yang akan menjadi tempat makan dan tidur selama tempoh itu.

Pelayaran menaiki katamaran (kapal badan berkembar) bermula sebaik sahaja Martin menghidupkan enjin dan membawa keluar Hemingway sepanjang 14 meter itu dari Jeti Marina di Kampung Tekek.

Tanpa berlengah, Coralie mengeluarkan perkakas dan memulakan tugasnya sebagai tukang masak. Kira-kira 15 minit kemudian, Martin, 39, mematikan enjin kapal dan mencapai segulung kertas lalu membentangkannya di depan kami.

“Ini adalah carta pelayaran di perairan Teluk Mahkota. Berdasarkan tiupan angin sekarang, perjalanan ke Pulau Tulai akan memakan masa kira-kira tiga jam pada kelajuan lima hingga tujuh knot,” ujar lelaki berketurunan Argentina itu.

Martin dan Coralie ialah pelayar yang ditugaskan syarikat percutian kapal mewah, Dream Yacht Charter untuk mengendalikan pakej pelayaran di perairan negara ini.

Pada hari-hari biasa, pasangan itu tinggal di dalam kapal bluewater mereka di perairan Tioman selepas berpindah dari Telaga Harbour, Langkawi beberapa bulan lalu.

Martin bingkas meninggalkan meja yang dikongsi bersama penulis. Tangannya ligat memutar beberapa set winch di bahagian belakang (kokpit) dan sejurus selepas itu layar utama mula mengembang.

Selepas mengikat kemas dua batang jorannya, Martin masuk ke bahagian saloon (ruang tamu dalam) kapal untuk membantu sebahagian tugas Coralie menyediakan makanan pada petang itu.

Ketika Hemingway ditolak jauh ke tengah laut dan tiupan angin mula menghembus ke muka, pasangan pelayar itu merapati kami untuk menyambung semula cerita yang dimulakan sebelum itu.

“Mengendalikan kapal layar bukan perkara yang mudah kerana setiap hari kita berdepan dengan cabaran di laut.

“Navigasi, cuaca, keselamatan dan peraturan di perairan negara orang adalah sebahagian rencah kehidupan,” ujar Martin.

Kemahiran asas termasuk menentukan tahap kembang layar dengan menegang dan mengendurkan tali layar bersesuaian mengikut kelajuan tiupan angin.

Pendek kata seorang pelayar harus mengenali sepenuhnya kapal yang digunakan termasuk arif dalam tugas berkaitan penyelenggaraan dan juga peralatan tambahan pada sesebuah kapal.

“Kemahiran seperti itu adalah kemestian kerana bukan mudah untuk mendapatkan pertolongan di tengah laut jika berlaku kerosakan atau kemalangan,” jelas Martin yang berpengalaman 20 tahun berlayar ke serata pelosok dunia.

Selain kemahiran teknikal mengenai kapal, beliau juga membuktikan dirinya seorang pengkaji cuaca yang baik apabila cuaca pada petang itu berubah tepat mengikut ramalannya.

Kebolehan itu katanya hanya dikuasai selepas seseorang itu menghabiskan banyak masa di laut. Ia juga kemahiran penting ketika berlayar secara solo.

Namun beliau mengakui tidak sukar untuk mempelajari ilmu asas pelayaran, cuma untuk seseorang menguasai bidang itu biasanya akan mengambil masa bertahun-tahun. Beliau juga memberitahu sifat paling penting dalam pelayaran adalah kepimpinan dan keupayaan membuat keputusan.

Dilanda puting beliung

Pada hari kedua, hasrat kami untuk ke Pulau Aur terpaksa dibatalkan kerana tiupan angin tidak sehaluan. Walaupun pelayaran masih boleh dilakukan dengan pergerakan secara zig-zag tetapi untuk tidak membazirkan banyak masa, Martin membawa kami ke pinggir Pulau Renggis untuk bersnorkeling.

Tidur kami pada keesokkan harinya dikejutkan hayunan kuat yang dirasai dari dalam kabin. Di luar hujan turun dengan lebat diiringi gelombang dan angin kencang.

Tanpa banyak pilihan kami menikmati sarapan pada pagi itu dengan kedua-dua belah tangan sentiasa bersedia untuk menadah pinggan dan cawan daripada menggelungsur ke lantai.

Tetapi apa yang dialami kami pada pagi itu hanyalah cebisan daripada pengalaman mereka yang berlayar di laut luas.

Coralie mencelah, ketika ribut berterusan selama berhari-hari, mereka bukan sahaja tidak dapat berdiri di dalam kapal bahkan ada masanya mereka terpaksa tidur secara bergilir-gilir untuk menentukan arah navigasi tidak tersasar.

“Semasa pelayaran dari Pulau Langkawi ke sini (Pulau Tioman) kami berdepan dengan empat pusaran puting beliung yang ‘mengelilingi’ kapal bluewater kami,” jelasnya menceritakan saat paling cemas sepanjang lima tahun berlayar.

Walaupun memiliki kapal layar mungkin sesuatu yang besar bagi kebanyakan orang. Namun ada masanya mereka mengakui berasa cukup kerdil di tengah laut, terutama ketika berselisih dengan kapal-kapal kargo.

“Dengan saiz beratus meter panjang, nisbah saiz kami boleh diibaratkan hanya seperti kotak mancis dengan kotak kasut.

“Kemalangan boleh berlaku tanpa mereka menyedari ‘kewujudan’ kami. Saya juga dengar bahawa ramai nelayan maut di Selat Melaka akibat dirempuh kapal kargo.

“Di selat paling sibuk di dunia itu, kita tidak boleh menukar laluan sesuka hati kerana trafiknya juga sama seperti di lebuh raya,” akui Martin.

Orang laut

Bagi Martin dan Coralie, kemudahan bergerak dari satu tempat ke tempat lain memberi peluang kepada mereka untuk mengenali individu dan budaya masyarakat yang berlainan.

Selain itu, beliau juga mengakui kemahiran yang dimiliki juga membuahkan pulangan, hasil kontrak sebagai jurulatih pasukan perahu layar lumba tentera laut negara Peru.

Keindahan hidup dikelilingi air juga diakui Coralie yang sanggup menggadaikan kerjayanya sebagai peluncur layar angin (windsurf) dan peluncur layang-layang (kiteboard) bertaraf profesional untuk menjadi ‘orang laut’.

“Minat dalam pelayaran bermula selepas saya mengikut seorang rakan berlayar selama seminggu di Perancis.

“Selepas itu saya mencari pekerjaan di salah sebuah syarikat penyewaan kapal layar untuk mencari pengalaman,” ujarnya yang juga seorang jurugan kapal.

Sepanjang tugas itu, beliau pernah ditugaskan menjadi jurugan untuk penghantaran kapal layar dari Perancis ke Sychelles. Secara kebetulan, kapal pertamanya juga adalah kapal layar milik Dream Yacht- yang kini berpangkalan di Langkawi dan Tioman.

Namun, kehidupan di permukaan laut bagi dirinya tidak banyak berbeza dengan darat. Jika tidak berlayar, Coralie menghabiskan masa sekurang-kurangnya tiga jam sehari berenang dan melakukan selaman bebas.

Ketika topeng selam milik Jenna Colbourne, 26, warga British yang mengikuti pelayaran bersama kami jatuh dan tenggelam 20 meter ke dasar laut, Coralie hanya memerlukan beberapa kali cubaan untuk mendapatkannya semula.

Dan pada hari yang mempunyai tiupan angin kencang, Coralie akan menghabiskan waktu lapangnya dengan terbang menggunakan kitesurfnya.

“Sejak dari kecil saya dibesarkan di tepi laut dan sekarang saya kembali kepadanya,” ujarnya pada malam terakhir pelayaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: