Kewujudan persatuan ini bukan untuk mengaut keuntungan atau menempah populariti serta glamor. Sebaliknya, ia beroperasi dengan berpaksikan beberapa objektif yang ditetapkan.
PADA petang itu, dia kelihatan begitu riang. Senyumannya tidak pernah lekang di bibir. Saat sesi temu bual berlangsung sehingga menutup bicara, pereka fesyen Hazwani Osman, 27, masih tersenyum. Sesekali dia membetulkan jaket hitam yang dipadankan dengan kemeja putih polos. Penampilannya seiring dengan statusnya yang bertindak sebagai pereka fesyen, dan penata gaya.
"Siapa yang tidak gembira. Sekiranya anda bertanyakan soalan yang sama kepada pereka fesyen yang hadir pada hari ini, pasti jawapan yang diberikan sama seperti saya," luah Hazwani ketika ditemui Kosmo! selepas sidang akhbar memperkenalkan barisan pereka fesyen naungan Persatuan Pereka Bumiputera (BDA) yang bakal beraksi di pertunjukan fesyen BDA-M-IFW pada November ini di Kuala Lumpur baru-baru ini.
|
|
Luahan rasa gembira itu ada relevannya. Jika sesebuah syarikat mempunyai persatuan pekerja, kawasan perumahan pula sibuk dengan aktiviti anjuran persatuan penduduk, manakala di institusi pengajian tinggi, para pelajar aktif dengan persatuan pelajar, kini tiba pula giliran pereka fesyen tempatan khususnya bumiputera. Mereka kini menarik nafas lega kerana sudah memiliki BDA yang memayungi karier mereka.
Bicara Hazwani yang dilahirkan dan dibesarkan di Taiping, Perak, sejak dia menyertai BDA pada tahun lalu, corak perniagaan fesyennya semakin berkembang dan positif. Koleksi busana sentuhannya mula mendapat perhatian golongan ternama, selebriti mahupun orang ramai.
Kadangkala tidak menang tangan dibuatnya untuk menyiapkan tempahan pelanggan. Kesibukan semakin dirasai apabila dia terpilih memperagakan koleksi fesyen terbaru di pertunjukan fesyen yang dikendali oleh pihak BDA.
|
|
"BDA benar-benar membantu mempromosikan rekaan saya kepada khalayak ramai. Secara tidak langsung, ia memberi peluang kepada saya mendapat kenalan dan pelanggan baru. Walaupun baru setahun bersama, saya melihat BDA sentiasa berusaha memartabatkan pereka bumiputera supaya terus berdaya saing dengan pereka fesyen bangsa asing.
"Kewujudan BDA bagaikan memberi sinar harapan kepada kelompok pereka fesyen bumiputera. Terutamanya bagi pendatang baru yang masih tercari-cari platform yang sesuai untuk mempamerkan bakat seni reka yang dimiliki," tambah Hazwani yang meminati bidang rekaan sejak di bangku sekolah rendah lagi.
Apabila direnung kembali curahan rezeki yang diperoleh pada hari ini, ia sama sekali berbeza sewaktu Hazwani baru mula bertatih dalam industri fesyen kira-kira empat tahun lalu.
|
|
Promosi diri
Pada waktu itu, kekuatan Hazwani untuk menerokai dan memperjuangkan kreativiti rekaannya hanya berbekalkan ketabahan dan kesabaran yang tinggi. Biarpun mengerti terpaksa bersaing dengan barisan pereka fesyen yang sedia ada, namun anak keenam daripada tujuh adik-beradik itu tetap cekal.
Dia menyifatkan sesuatu pekerjaan yang bermula dari bawah bakal membuka sinar kegembiraan kelak.
"Tamat sahaja pengajian dalam jurusan Ijazah Rekaan Fesyen di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, perasaan gusar mula menghimpit. Pernah juga terdetik di dalam hati saya, 'boleh ke... aku berjaya mengharunginya'.
"Ketika itu, saya melihat langkah terbaik untuk mempromosikan diri saya adalah dengan banyak menaja busana selebriti yang bakal menghadiri majlis anugerah atau parti yang berhubung kait dengan industri hiburan," imbas Hazwani yang berharap semoga BDA sentiasa tampil dengan idea dan program terbaru agar menarik lebih ramai pereka bumiputera menyertai BDA.
Apa itu BDA? BDA yang ditunjangi oleh Mahani Awang selaku presiden dilancarkan secara rasmi pada tahun 2007. Kewujudan persatuan itu bukan mengaut keuntungan atau menempah populariti serta glamor. Sebaliknya, ia beroperasi dengan berpaksikan beberapa objektif yang ditetapkan.
|
|
Antaranya adalah untuk membantu memenuhi kepentingan masyarakat Bumiputera dalam industri fesyen. Pada masa yang sama, ia menjamin kesejahteraan masa depan mereka yang melibatkan diri dalam bidang seni.
Ini termasuklah bidang kecantikan, fesyen, kraf, grafik, fotografi, penulisan dan penerbitan bahan cetak, hiasan dalaman serta keseluruhan produksi yang berkaitan seni.
Berkhidmat di kota fesyen
Sementara itu, Mohd. Jasmi Mohd. Rejab, 31, atau nama komersialnya Jasmi Rejab tidak ketinggalan memuji penubuhan BDA. Dia yang kerap menghasilkan busana yang diilhamkan daripada pelbagai genre muzik menyarankan pereka-pereka bumiputera yang baru menyertai atau bernaung di bawah BDA.
|
|
Katanya, ia bukan sahaja memudahkan perjalanan karier pereka fesyen yang baru hendak bermula, malah sedikit sebanyak di dalam BDA, para pereka mendapat bimbingan dan didikan daripada tenaga pengajar yang bertauliah.
|
|
"Bagi pereka baru, jangan terburu-buru membuka butik dan menjalankan bisnes fesyen walaupun anda mempunyai modal yang mencukupi. Sekurang-kurangnya, anda perlu tamat pengajian dan menimba ilmu daripada pereka profesional tempatan mahupun antarabangsa.
"Apa yang terbaik adalah 'terbang' seketika ke kota fesyen seperti Milan dan London untuk berkhidmat di rumah fesyen terkemuka di sana. Sejurus meraih pengalaman dan pembelajaran yang mencukupi, segera pulang ke Malaysia dan ciptalah rekaan fesyen menarik yang boleh meningkatkan nama negara di peringkat antarabangsa," ujar pensyarah Akademi Fesyen SML, Kuala Lumpur dan Kolej Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya dalam jurusan Fesyen itu dengan ikhlas.
Tambah anak jati Balik Pulau, Pulau Pinang itu lagi, dengan menyertai BDA, pereka-pereka bumiputera berpeluang menampilkan koleksi fesyen di pentas peragaan bertaraf antarabangsa seperti Malaysian International Fashion Alliance (MIFA) dan Malaysia International Fashion Week (M-IFW)
Kenyataan Jasmi Rejab disokong penuh oleh pereka baru, Rico Rinaldi Tono, 22, yang baru sahaja mencatat nama sebagai ahli BDA pada bulan lalu. Minat yang mendalam untuk mencipta nama di pentas fesyen Malaysia telah mendorong anak kelahiran Kajang, Selangor itu memilih BDA yang disifatkan antara platform yang ideal.
"Saya bersyukur kerana pada 8 November ini, BDA memberi peluang kepada saya mempamerkan busana rekaan saya di pentas M-IFW '09. Pada hari istimewa itu, saya akan menampilkan dua pasang busana yang memiliki teknik perincian terbaik.
"Apa yang pasti, teknik lipatan (dripping) menjadi pilihan utama kerana ia merupakan signatur bagi label Rico Rinaldi," jelas graduan Diploma Fesyen dan Rekaan lulusan Universiti Limkokwing, Cyberjaya itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: