Benarkah amalan-amalan ketika berpantang semakin sukar diterapkan memandangkan faktor mendapatkan seorang penjaga yang berpengalaman?

DULU, sebut sahaja tempoh berpantang bagi wanita bersalin, ramai yang sudah memikirkan amalan-amalan tradisonal termasuk pantang larang yang perlu dipatuhi.
Bertangas, bertungku, berurut, bertuam dan berbengkung antara amalan yang perlu diterapkan sepanjang tempoh 44 hari atau hingga ke-100 hari dari mula bersalin.
Malah, wanita berpantang juga tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja berat, mengambil makanan yang sejuk dan keluar rumah sepanjang tempoh berkenaan.
Namun, amalan-amalan tersebut semakin dilupakan. Selain alasan diri sendiri yang tidak berminat, ada juga alasan tidak mahu membebankan ahli keluarga atau ibu yang sudah berusia untuk mengawasi pantang.
Pandang remeh
Menurut pemilik pusat rawatan Shadira Post Natal & Beauty House, Hazeera Banu Ramjan Din, 37, aspek penjagaan diri bagi ibu-ibu bersalin semakin dipandang remeh oleh golongan wanita hari ini.

Tidak dinafikan katanya, amalan-amalan berpantang semakin sukar untuk diterapkan memandangkan faktor mendapatkan seorang penjaga yang berpengalaman.
"Berbanding dahulu, mereka begitu mengharapkan bantuan penjagaan daripada si ibu sepanjang tempoh berpantang. Ini kerana si ibu lebih mendalami selok-belok amalan dan budaya berpantang mengikut tradisi turun-temurun.
"Kini, faktor perubahan masa, kesihatan dan usia si ibu mempengaruhi urusan penjagaan si anak. Hakikatnya hari ini mereka terpaksa melupakan amalan tradisi turun-temurun, sebaliknya melakukan perkara-perkara yang dianggap penting sahaja," katanya.
Menyedari masalah itu, timbul ilham kepada Hazeera Banu untuk membuka sebuah pusat rawatan bagi ibu bersalin dan penjagaan dalam pantang bagi ibu dan bayi sejak tahun 2007.
Pakej
Mempunyai 25 orang pekerja yang terlatih, pusat rawatan tersebut menyediakan empat pakej Pengurusan Ibu dan Anak Dalam Pantang Bersalin iaitu pakej seminggu (tujuh hari), dua minggu, tiga minggu dan sebulan.

Selain memberikan rawatan di spanya, bertempat di Jalan Scott, Brickfields, Kuala Lumpur, pelanggan boleh menempah untuk rawatan yang diberikan di rumah. Petugas spa akan tinggal di rumah pelanggan bagi tempoh yang dikehendaki.
Setiap pakej meliputi urutan tradisional, bertungku, mandi herba hinggalah kepada memasak masakan pantang, mengemas bilik, menukar lampin, memandikan dan mengurut badan bayi serta mencuci pakaian ibu serta anak pada harga antara RM900 hingga RM3,600 bergantung pada pakej.

Bagaimanapun kata ibu kepada empat cahaya mata itu, menjaga wanita yang baru bersalin bukanlah satu tugas mudah. Banyak pantang larang yang perlu dipatuhi.
"Semua yang dilakukan ialah demi kebaikan dan kesihatan wanita tersebut di kemudian hari.

"Sekiranya penjagaan diri semasa berpantang diabaikan, kesannya mungkin tidak berlaku serta-merta. Hakikatnya ia akan berlaku apabila melalui kelahiran yang seterusnya dan usia mula meningkat.
![]() |
| |
"Waktu itu mulalah badan terasa lenguh, sakit urat, sendi, pinggang dan kebas tangan," seloroh wanita itu.
Tiada pembantu
Sementara itu, Anis Salwati Hamidun, 29, yang merupakan pelanggan pusat rawatan tersebut memberitahu, ketiadaan pembantu untuk menjaganya semasa berpantang memaksanya mengambil seorang penjaga.
"Disebabkan ibu saya masih bekerja, saya mengambil keputusan untuk berpantang bersama seorang penjaga dari pusat rawatan tersebut.
"Bagi saya, wanita yang baru melahirkan anak memerlukan penjagaan yang sempurna ketika dalam jangka masa pantang bersalin. Inilah sahaja waktu yang sebenar dan sesuai bagi merehatkan badan yang penat bertungkus-lumus selama ini.
"Dengan bantuan penjaga pantang, sedikit sebanyak mengurangkan bebanan saya selama tempoh berpantang," katanya pakej seminggu yang ditawarkan di situ cukup membuatkan dirinya berasa begitu selesa.
Kesan
Jelasnya, perkhidmatan yang ditawarkan di pusat-pusat rawatan tersebut sememangnya memberi kesan mendalam terhadap kesihatannya.
"Berpantang mengikut amalan turun-temurun antara perkara yang perlu diterapkan sehingga ke hari ini. Dengan mengikuti rutin yang disediakan oleh penjaga pantang, saya berpeluang mewarisi dan mengekalkan amalan tradisional masyarakat Melayu," katanya.
Mengenai perbezaan berpantang bersama ibu sendiri dengan penjaga jelas Anis: "Tiada bezanya, cuma mereka begitu menitikberatkan pengurusan masa yang tepat.
"Mereka ibarat seorang ibu. Setiap layanan yang diberikan mampu membuatkan anda tersenyum pada setiap masa," tambahnya wang bukanlah masalah utama bagi seorang bakal ibu mendapatkan perkhidmatan penjaga pantang, kesihatan adalah faktor utama yang perlu diterapkan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: