Friday, October 23, 2009

Dikenali hanya keindahannya

Walaupun agak terpencil dan kurang membangun, pulau-pulau di Kepulauan Pasifik mempunyai ekonomi dan sosio budaya tersendiri yang berjaya menarik jutaan pelancong.




Tsunami yang membadai beberapa buah pulau di Lautan Pasifik akhir bulan lalu seolah-olah mengingatkan semula warga dunia tentang kewujudan negara-negara pulau tersebut.

Jika bukan kerana bencana yang meragut ratusan nyawa di Samoa, American Samoa dan Tonga itu berlaku, mungkin ramai antara kita masih tidak tahu atau sekadar tidak ambil tahu mengenai kawasan yang dipanggil Pasifik.

Harus diakui apa yang berlaku di bahagian dunia sebelah sana kurang mendapat liputan media antarabangsa. Kalau ada pun, sedikit cerita tentang pergolakan politik beberapa buah negara pulau itu.

Bakinya, ia lebih berkisar tentang keindahan pantai dan pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan oleh syarikat- syarikat penerbangan atau agensi pelancongan berkaitan.

Wilayah

Menyentuh mengenai 'wilayah' Pasifik sebenarnya terdapat dua istilah yang sering digunakan iaitu Kepulauan Pasifik dan Asia Pasifik. Penggunaan perkataan yang sama (Pasifik) menyebabkan wujud pertindihan kefahaman mengenainya.

Menurut pensyarah kanan Program Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Ahmad Nidzamuddin Sulaiman, Asia Pasifik merujuk kepada negara-negara di tepi Pasifik yang turut meliputi Malaysia, Jepun, Korea, Hong Kong dan Indonesia. Menjangkau lebih jauh ke Pasifik kita akan bertemu dengan Australia, selain New Zealand dan banyak pulau berhampirannya.

Sementara Kepulauan Pasifik pula merangkumi gugusan pulau yang berada di Lautan Pasifik yang sangat luas. Setakat ini, belum ada angka rasmi mengenai bilangan pulaunya. Anggaran yang diberi ialah sekitar 20,000 hingga 30,000 buah pulau. Di sana, boleh dikatakan tiada pulau yang boleh dianggap besar saiznya. Lihat sahaja kepada Vanuatu, Tonga, Fiji dan Samoa.

Pulau-pulau itu mengalami tahap pembangunan yang tidak setara antara satu sama lain. Namun, ada juga yang sudah agak bagus pembangunannya. Misalnya, Cook Island yang terletak hampir dengan New Zealand.


PANTAI Samoa dianggap sebagai salah satu destinasi pelancongan yang sempurna.


"Mereka terpencil jauh dan kurang pembangunan. Selain itu, ciri penting pada pulau-pulau ini ialah ada yang bebas merdeka, memiliki kerajaan sendiri dan bertukar pemerintah misalnya di Fiji dan Tonga.

"Tetapi ada juga pulau-pulau yang masih berada di bawah jajahan negara kuasa besar seperti Britain, Perancis, Amerika, Belanda, Portugal dan Sepanyol," kata Nidzamuddin.

Sebab itulah jika dilihat pada peta dunia, pulau yang belum merdeka masih menggunakan bendera negara penjajahnya. Mungkin sedikit terbiar, namun ia masih tetap dipantau, diberi bantuan dan diuruskan dari jauh.

Mundur

Kemunduran negara-negara pulau ada masanya mendapat perhatian daripada negara gergasi ekonomi seperti China. Buktinya, ketika dikunjungi oleh rakan sejawatnya dari Papua New Guinea, Michael T. Somare di Beijing, Perdana Menteri China, Wen Jiabao menyatakan sokongannya terhadap usaha mewujudkan pembangunan yang berterusan, menangani isu perubahan iklim dan melibatkan diri dalam urusan antarabangsa.

"Negara-negara kurang maju di Kepulauan Pasifik tertekan apabila berdepan krisis kewangan global. Maka, China akan melaksanakan janji tentang amalan Matlamat Pembangunan Millenium (MDG) PBB. Selain meningkatkan kerjasama dengan negara-negara berkenaan untuk meringankan beban mereka," kata Wen Jiabao.

Somare menyatakan pihaknya amat mengalu-alukan syarikat China untuk melabur, memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, sumber tenaga serta pembinaan infrastruktur.

Bercerita tentang sejak bila pulau-pulau ini diduduki manusia, Nidzamuddin memberitahu ia telah dihuni oleh penduduk natifnya sejak sekian lama. Ini termasuklah masyarakat Maori di New Zealand atau kaum orang asli di Australia. Biasanya, mereka berkulit gelap dan berambut kerinting.


MASYARAKAT Orang Asli Maori antara ikon yang mempopularkan New Zealand ke mata dunia.


Keunikan sosiologi pulau-pulau itu turut terletak pada keberagaman budaya, bahasa dan kepercayaan penduduknya. Buktinya, pada abad ke-18 dan 19 sudah ada pengembaraan para pelaut dari negara Eropah dan Amerika yang kemudiannya berhijrah ke sana. Maka, tidak hairanlah jika ada sebilangan pulau itu mempunyai masyarakat kulit putih.

Budaya

Dari aspek budaya, majoritinya dipengaruhi oleh elemen tempatan. Sebagai contoh, Hawaii yang merupakan salah sebuah negeri Amerika Syarikat (AS) juga mempunyai masyarakat berbangsa Cina dan Jepun. Tetapi mereka sudah jadi macam orang peribumi Hawaii dengan gaya pakaian, budaya dan tarian geleknya.

"Boleh nampak percampuran budaya yang jelas. Banyak pulau yang dekat dengan Amerika atau Eropah, masyarakatnya agak kebaratan (Hawaii, Cook Island). Namun, orang Fiji dan Tonga masih tebal dengan nilai tradisionalnya.

"Malah wujud juga proses migrasi para imigran dari bahagian utara India. Bilangan mereka semakin ramai sehinggakan di Fiji sudah ada yang menubuhkan parti politik, mendapat sokongan dan menang dalam pilihan raya di sana," tambahnya.

Kebanjiran pendatang itu turut membawa dilema kepada penduduk asal sesebuah pulau di Kepulauan Pasifik. Contoh paling jelas ialah polemik yang melanda Fiji.


PARA pelancong yang teruja untuk melihat aksi paus di Pulau Maui, Hawaii.


Isunya ialah antara golongan natif dan bukan natif. Sekitar tahun 1988, parti yang ditubuhkan oleh masyarakat India memenangi pilihan raya umum. Secara logiknya, mereka berhak untuk menubuhkan kerajaan.

Malangnya, rampasan kuasa oleh pihak tentera telah berlaku. Alasannya, Perdana Menteri Fiji mestilah terdiri daripada rakyat tempatan dan bukannya orang asing.

Selepas memegang tampuk pemerintahan selama beberapa tahun, kerajaan dipulangkan semula kepada pemimpin tempatan. Lebih menarik lagi, mereka akan memastikan pilihan raya dimenangi oleh parti natif. Isu tersebut sering dibangkitkan di Fiji. Namun, kebanyakan masa mereka tinggal dalam suasana yang aman.

Keistimewaan negara-negara pulau itu berfokus kepada sumber alam yang dimilikinya. Ia disifatkan sebagai lokasi pelancongan sempurna berikutan pantai yang cantik, laut bersih, selain lokasi memancing, meluncur dan menyelam yang mengagumkan.

Tetapi ia juga menjadi faktor kelemahannya yang paling ketara. Alasannya mudah, pulau-pulau itu terdedah kepada bencana alam seperti tsunami dan gempa bumi.

Impak iklim

Kenyataan itu diakui oleh seorang wartawan veteran dari Fiji, Samisoni Pareti. Dalam seminar Pembangunan Luar Bandar dan Pertanian Pusat Teknikal EU- Afrika, Caribbean dan Pasifik di Belgium Khamis minggu lalu, dia menyatakan kawasan Pasifik amat mudah terkesan terhadap impak perubahan iklim global.

"Kami cuba melakukan yang terbaik untuk membuat laporan berkaitan perubahan iklim. Justeru, kami merayu para pakar dan saintis untuk bekerjasama supaya keadaan sebenar di Kepulauan Pasifik diberi perhatian sewajarnya," ujar Pareti.




Perubahan iklim ialah isu yang multi dimensi. Di Pasifik, ia berhubung kait dengan kenaikan paras laut, kemasukan air laut ke kawasan pertanian, pencemaran air dan hakisan pantai.

Apa yang menarik, oleh kerana kedudukan geografinya yang jauh, negara-negara di Kepulauan Pasifik seakan-akan 'terselamat.'

"Maksudnya, ia tidak diganggu oleh perkembangan politik dunia semasa. Sama ada insiden-insiden keganasan, al-Qaeda, pergolakan di Afghanistan, isu nuklear Iran dan sebagainya.

"Kita dapat lihat Kepulauan Pasifik agak aman. Ia berkembang secara semula jadi dan terpelihara daripada gangguan. Katakan kalau Osama hendak melancarkan serangan, adalah tidak berbaloi untuk membuat kacau di sana.

"Lebih baik mereka ganggu tempat lain yang mempunyai lebih banyak kepentingan Barat," jelas Nidzamuddin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: