Sekuel Mertua VS Menantu kembali gandingkan Aqasha dan Erra Fazira
SEBENARNYA banyak kisah menarik yang boleh dikongsi mengenai kesinambungan drama Mertua VS Menantu musim kedua ini terutama mengenai gandingan sulung teraju utama drama yang mencatatkan jumlah rating tertinggi dalam sejarah kewujudan stesen TV berbayar, Astro ini.
Tahniah kepada syarikat milik David Teo, Metrowealth (MIG) Production Sdn Bhd kerana berjaya meraih rating 2.7 juta penonton termasuk siaran ulangan bagi musim pertama. Penggambaran musim kedua drama arahan Mohammed Feroz Kader ini sedang giat dijalankan ketika ini.
Semuanya berpunca daripada telefon bimbit model PDA HTC dimiliki aktor kacak itu yang dicuri orang. Mujur, Aqasha cepat bertindak dengan mendapatkan kembali nombor lamanya daripada syarikat telekomunikasi berkaitan dan terus berurusan dengan MIG bagi tindakan selanjutnya.
“Kejadian telefon bimbit saya dicuri ini ketika kita semua nak sambut raya. Ia berlaku atas kecuaian saya sendiri kerana keluar kereta dengan meninggalkan telefon itu di dalam kereta. Selang beberapa minit saya kembali ke kereta, habis cermin kereta rongak dipecahkan orang,” kata Aqasha lewat pertemuan di Restoran Lemon, Mines, Seri Kembangan ketika acara pemberian bonus atas kejayaan drama Mertua VS Menantu 1 daripada saluran Astro Prima diadakan baru-baru ini.
Ditanya mengenai sekuel drama yang turut dilakonkan Erra Fazira, Rozie Othman, Farid Kamil, Lisa Surihani dan ramai lagi, Aqasha berkata, musim kali ini lebih kepada masing-masing yang ingin menegakkan prinsip dan pendirian.
“Konflik baru itu akhirnya akan menjerat diri Rosyam sendiri yang tersepit antara Nurul Ain (Erra) dan Datin Faridah (Rozie Othman). Skop musim terbaru juga lebih luas kerana lebih kepada soal dalaman dan berbeza sekali dengan musim pertama,” kata Aqasha yang terlebih dulu menerjah persada seni sebagai penyanyi.
Mengenai gandingannya dengan Erra Fazira, bekas kekasih Tasha AF4 itu menjelaskan bahawa dia senang sekali dapat bekerjasama dengan pelakon yang pernah dilabel sebagai primadona filem Melayu itu.
“Biarpun drama ini yang julung kali menyatukan kami sebagai teraju utama, saya sendiri tidak ada masalah berlakon dengannya apatah lagi Erra sangat profesional dalam kerjayanya. Dengan status isteri yang dimilikinya, ia tidak langsung menjadi halangan untuknya terus mempamerkan lakonan hebat.
“Saya menghormati tahap profesionalisme yang dimilikinya. Erra akan memberikan yang terbaik ketika di set penggambaran. Malah, Erra juga bersikap terbuka dan kami sering mencetuskan idea tersendiri serta masing-masing boleh bertukar pandangan tanpa rasa kecil hati,” kata Aqasha.
Teruja kembali sibuk di lokasi
SEMENTARA itu, Erra pula sempat berkongsi cerita mengenai usikan pelakon drama ini termasuk Aqasha yang tidak yakin bahawa dirinya akan kembali langsing selepas melahirkan Engku Aleesya. Malah ada antara pelakon itu kuat menyakat Erra yang kuat makan. Kalau ada yang masih ingat, musim pertama drama ini menyaksikan Erra melunaskan baki penggambaran dengan berbadan dua.
Ternyata Erra berjaya membuktikan dirinya boleh menguruskan badan, itupun selepas enam bulan melahirkan anak sulungnya itu.
Kata Erra, sangkanya paling cepat pun dia boleh kurus dalam tempoh tiga bulan. Namun, semuanya silap apatah lagi tempoh berpantang sering membuatkannya cepat lapar dan sentiasa makan.
“Alhamdulillah, Erra berjaya membuang lemak tepu yang tidak diingini. Berat badan Erra sekarang ialah 58 kilogram. Namun berat badan ideal yang Erra impikan ialah 55 kilogram. Lalu, berat badan sekarang belum sampai lagi ke tahap yang dikehendaki. Selagi Erra tak dapat sarung baju kurung lama, selagi itu Erra akan berasakan diri masih gemuk.
“Bayangkan baru kini Erra dapat memakai kembali seluar jeans. Erra lambat kurus sebab amalan berpantang dan menyusu anak antara punca diri ini asyik nak makan saja. Mungkin juga Erra tak serius nak kuruskan badan. Bimbang badan semakin naik, Erra terus habis-habisan diet hingga berjaya,” katanya yang dipuji ramai rakan media ketika acara ini berlangsung kerana sudah kembali berbadan cantik.
Selain mendapat tajaan jenama pelangsingan popular, Slim World, jelas Erra, dia memilih untuk diet secara karbohidrat (karbo). Namun, lumrah manusia, Erra sambil berseloroh berkata ada kalanya dia turut melanggar pantang dan makan apa saja.
“Macam hari ini datang makan di Restoran Lemon, Erra makan saja apa yang diingini. Apa yang penting, Erra makan satu hidangan dalam sehari. Erra namakan diet yang diamalkan kini sebagai diet karbo sedang-sedang saja. Sebelah malam, selalunya Erra hanya makan buah,” katanya yang besar kemungkinan akan menyambung kontrak sebagai Wajah Eksklusif Astro untuk beberapa tahun lagi.
Seperti Aqasha yang menyenangi dirinya, Erra juga selesa ‘berdampingan’ dengan aktor muda itu. Sekuel drama Mertua VS Menantu ini memperlihatkan dirinya sebagai Nurul Ain yang tidak lagi secomot musim pertama.
“Aqasha sangat berdisiplin dan selalu datang awal ke lokasi penggambaran. Saya sebenarnya suka berlakon dengan pelakon yang tidak hanya berdiam diri tanpa memberi maklum balas. Aqasha sering terbuka dalam memberi idea dan kami boleh bertukar-tukar pendapat untuk mewujudkan keserasian sesama sendiri.
“Nurul Ain masih aktif seperti musim pertama dan dia memang tidak suka diperkotak-katikkan orang lain termasuklah mentuanya. Konflik dia dengan mentua berterusan kerana masing-masing berbeza pendapat. Dia degil dalam diam. Penampilannya musim ini lebih cantik sesuai dengan pangkat Rosyam namun tidaklah terlalu vogue sangat,” kata Erra yang baru saja muncul dengan telefilem Bonanza baru-baru ini.
Kembali berlakon bermakna sekarang Erra terpaksa berjauhan dengan anak kesayangannya. Drama Mertua VS Menantu 2 menjadi tugasan pertama Erra selepas Aidilfitri. Erra juga sedang mempertimbangkan sebuah watak dalam filem dan masih belum memberi kata putus sama ada mahu terbabit atau sebaliknya.
“Mujurlah Erra sudah menghabiskan masa yang panjang dengan Aleesya sejak Ramadan hinggalah raya lalu. Tapi sekarang nampaknya dalam tempoh dua bulan Erra akan berenggang dengannya. Bayangkan sekarang ini pun bukan main bijak lagi Aleesya sampai selalu merengek apabila Erra keluar rumah. Tak tahulah macam macam mana gelagatnya tanpa Erra,” kata Erra sambil memberitahu Aleesya dijaga pembantu rumah dan mak mentuanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: