Wednesday, October 21, 2009

Gegaran gugat ketenangan

Janda Baik di Bentong, Pahang terkenal sebagai lokasi percutian hujung minggu dan nilai hartanah yang tinggi namun bagaimanakah masa depan penduduknya apabila diancam dengan beberapa kali gegaran?




RIAK wajah pemilik Kedai Makan Masakan Minang di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang, Oktarina Rosli, 40, seolah-olah tiada apa-apa yang mengganggu fikirannya.

Tatkala cuaca mendung atau kampungnya kecoh dengan kejadian gempa bumi, Oktarina tetap menjalankan perniagaannya seperti biasa.

Malah, Oktarina begitu sibuk menyediakan masakan yang mahu dijualnya pada hari tersebut. Itulah rutin Oktarina.

Sedang kami berbual bersama beberapa penduduk kampung berhubung gegaran yang menjejaskan Kampung Janda Baik kebelakangan ini, sambil melipat lengan bajunya, Oktarina menarik kerusi untuk duduk bersama kami.

Mungkin ada sesuatu yang ingin diluahkan oleh ibu kepada lapan cahaya mata itu.

"Penduduk di kampung ini sejak dulu lagi tidak tunjuk yang mereka sebenarnya takut dengan apa yang terjadi. Bagaimanapun dalam hati siapa tahu, kalau asyik memikirkan soal takut memang kerja pun tidak jalan," tegas Oktarina yang mengusahakan kedai makan untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anaknya.

Hidup seperti biasa

Oktarina yang mempunyai seorang pembantu merasakan belum ada lagi penduduk di Kampung Janda Baik yang mengambil keputusan untuk meninggalkan rumah.

Setiap hari Oktarina membuka kedai makannya bermula dari pukul 7.30 pagi sehingga pukul 10.30 malam.

Seawal pukul 5 pagi, dia mula sibuk menguruskan anak-anak ke sekolah kemudian barulah mula memikirkan soal punca rezekinya.

Begitulah kehidupan yang dijalani bersama suami, Zaid Abd. Rahman, 44, yang bekerja melakukan kerja-kerja kampung.

Namun, naluri seorang ibu sentiasa menghantui dirinya. Detik paling menakutkan wanita itu ialah ketika anak-anak tiada di sampingnya dan menjelang tengah malam apabila penduduk kampung termasuk dirinya sekeluarga mula lena dibuai mimpi.

"Waktu anak ke sekolah memang saya risau kerana jika apa-apa yang terjadi mereka tidak bersama saya. Tetapi saya hanya mampu berdoa agar mereka selamat pergi ke sekolah dan pulang ke rumah," ujarnya.


SUASANA Kampung Janda Baik bukan sahaja menenangkan fikiran malah nilai tanahnya begitu tinggi.


Cerita Oktarina, antara detik-detik cemas yang pernah dialaminya akibat gegaran gempa bumi ialah keadaan tanah yang beralun dan berombak. Malah pokok juga bergoyang dengan begitu kuat dan air minuman di kedainya juga turut berkocak.

"Selepas kejadian itu keluarga memang ada tanya juga tak mahu pindah ke? Saya rasa tahap untuk berpindah belum lagi, lagipun kami mahu tinggal di mana?" soalnya.

Sementara itu Ketua Kampung Janda Baik, Zahari Arop menjelaskan, sejak kebelakangan ini kampung tersebut kerap mengalami gegaran kecil yang dipercayai berpunca daripada kejadian gempa bumi yang berlaku di Indonesia.

Akibat gegaran-gegaran kecil itu beberapa rumah penduduk mengalami keretakan di dinding.

"Ada penduduk mula merancang berpindah ke tempat lain disebabkan takut perkara yang lebih buruk berlaku tetapi mereka tidak tergesa-gesa.

"Kami bimbang terdapat pergerakan tanah dari bawah yang mungkin boleh mengakibatkan berlaku tanah runtuh atau tanah jerlus," ujarnya.

Pelancongan terjejas

Jelas beliau yang juga seorang pengusaha calet, sejak kejadian itu sambutan pelancong ke tempat-tempat menarik di kampung itu mula berkurangan.

"Ekopelancongan di sini memang semakin kurang mendapat sambutan. Mungkin orang ramai mula risau dengan keselamatan mereka. Tambahan pula satu-satunya laluan ke kampung ini runtuh.

"Itu juga antara penyebabnya. Bagaimanapun, pihak berkuasa sentiasa memantau perkembangan semasa kedudukan kampung tersebut sama ada keadaan serius atau sederhana," ulasnya.


OKTARINA (kiri) bersama anaknya Zaharah Zaid tetap meneruskan perniagaan mereka meskipun Kampung Janda Baik dilanda gegaran.


Di Kampung Janda Baik terdapat enam buah calet iaitu tiga buah resort dan 35 homestay di Kampung Sum-Sum, Kampung Chemperok, Janda Baik dan Kampung Cheringin.

Sementara itu, Nor Rashid Awang Ngah, 75, yang lebih mesra dengan panggilan Pak Lang mengakui gegaran yang berlaku baru-baru ini cukup membimbangkannya.

Apatah lagi, kejadian tersebut berlaku bukan sekali malah dalam sehari ia berlaku di antara dua hingga ke tiga kali.

"Setiap kali negara jiran kita Indonesia mengalami gempa bumi memang penduduk di sini berada dalam kebimbangan. Risau kerana kami turut merasai kesan daripada kejadian itu.

"Boleh dikatakan sudah dua tahun berturut-turut penduduk kampung dihimpit dengan masalah ini. Selama 75 tahun saya tinggal di sini, inilah kejadian yang paling membimbangkan berlaku, dulu-dulu memang tidak ada," jelas Pak Lang yang merupakan penduduk asal kampung tersebut.

Gegaran pertama berlaku pada 30 November 2007 dengan ukuran 3.5 pada skala Richter. Terbaru, pada 8 Oktober baru-baru ini sebanyak lapan gegaran kecil berukuran antara 1 hingga 2.8 pada skala Richter.

Keadaan tersebut cukup mencemaskan lebih 2,950 penduduk yang tinggal di kawasan dengan keluasan 3,573 hektar.

Pembangunan

Sambung Pak Lang, kejadian yang berlarutan itu mungkin disebabkan pembangunan di sekeliling kampung tersebut. Boleh dikatakan Kampung Janda Baik kini sedang pesat dalam pembinaan rumah-rumah dan resort.

Mungkinkah penduduk kampung tersebut berpindah atau berhijrah ke negeri lain untuk mencari rezeki?


NOR RASHID AWANG NGAH (tengah) sentiasa memberi ingatan kepada penduduk-penduduk di Kampung Janda Baik supaya sentiasa berwaspada.


"Macam mana hendak pindah keluarga semuanya di sini, punca rezeki penduduk kampung juga di sini. Tetapi kalau Kampung Janda Baik ini memang sudah teruk dan penduduk terpaksa berpindah, mungkin arahan ini akan diterima.

"Penduduk sama sekali tidak akan meninggalkan kampung yang sudah sebati dengan kehidupan mereka," sampuk Abdul Rahman Mat, 82, sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Kata Abdul Rahman, sejak kebelakangan ini ia hanya melibatkan gegaran kecil sahaja tetapi memandangkan keadaan geografi Kampung Janda Baik berbukit-bukau pemantauan pihak berkuasa perlu dijalankan sentiasa.

Malah setiap kejadian yang berlaku mestilah diumumkan kepada seluruh penduduk kampung supaya mereka tidak ketinggalan mengetahui perkembangan semasa.

Sejak akhir-akhir ini cuaca di Malaysia tidak menentu. Jadi, kemungkinan besar struktur tanah tidak selamat kemudian akan mengancam nyawa penduduk.

"Mulanya memang biasa tapi selepas ini siapa tahu. Jadi pihak berkuasa seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu sentiasa membuat pemantauan dan tidak tunggu sehingga ada kes serius barulah ada tindakan.

"Ini kerana gegaran yang berlaku sepintas kilat iaitu dalam beberapa saat sahaja. Minggu lalu ada kejadian tanah runtuh di laluan utama menghala ke kampung ini, jadi selepas ini kita tidak tahu apa pula yang bakal berlaku," tegasnya.

Tanah RM1.2 juta

Selain itu, kampung itu turut memuatkan 15 buah banglo yang dijadikan kediaman sementara milik golongan kenamaan untuk beristirehat terutama pada hujung minggu.

Sejak dulu lagi Kampung Janda Baik sememangnya terkenal dengan kedudukan yang amat strategik untuk kediaman lebih privasi.

Memandangkan ia berada di tanah tinggi jadi cuaca di situ begitu nyaman dengan aliran beberapa anak sungai membuatkan orang ramai gemar datang berkelah.


KEBANYAKAN penduduk di Kampung Janda Baik enggan meninggalkan kampung halaman mereka melainkan mendapat arahan daripada pihak berkuasa.


Meskipun orang ramai mengetahui berhubung bencana yang sering berlaku di kampung tersebut, Zahari mendakwa sehingga kini nilai tanah di situ tetap tinggi.

"Permintaan orang ramai untuk mendapatkan tanah di sini memang sentiasa ada. Bahkan mereka sanggup membelinya pada harga yang tinggi," ujarnya yang dilantik menjadi ketua kampung sejak lima tahun lalu.

Lokasi yang sering mendapat perhatian pembeli ialah berdekatan dengan sungai atau berada di atas bukit.

"Harga yang ditawarkan mengikut lokasi iaitu di tepi sungai, dusun atau atas bukit. Bagi 1.2 hektar tanah harganya mampu memcecah RM1.2 juta.

"Bagi tanah yang mempunyai kedudukan biasa ia dijual dengan harga serendah RM100,000 sehektar," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: