Monday, October 5, 2009

Fauzi pakar atap rumbia

Lelaki yang berusia 28 tahun itu mahu mewarisi kepakaran membuat atap rumbia kerana menyedari tidak ramai anak muda yang minat menceburinya.


MOHD. FAUZI memilih daun pokok rumbia yang matang untuk dibuat atap.


BUKAN semua orang mempunyai kemahiran untuk membuat atap rumbia lebih-lebih lagi kepakaran itu dimiliki oleh orang muda.

Apatah lagi, proses untuk mencari daun rumbia dianggap rumit dan memerlukan seseorang itu meredah paya untuk mendapatkannya.

Seorang penjual ikan di Pasar Borong Jalan Putra di Alor Setar, Kedah, Mohd. Fauzi Hassan, 28, sedar kemahiran pembuatan atap itu semakin dilupakan terutama oleh golongan muda. Lantaran itu, beliau mengambil inisiatif membuka perniagaan membuat atap rumbia secara sambilan.

"Memang tidak ramai orang muda yang tahu buat atap rumbia hari ini dan disebabkan saya memiliki kepakaran itu, secara tidak langsung saya menjadi pelapis kepada generasi terdahulu.

"Walaupun hanya secara sambilan, namun tempahan yang diterima setakat ini sangat memberangsangkan," kata Mohd. Fauzi ketika ditemui di rumahnya di Kampung Masjid Lama Mukim Lepai, Alor Setar.

Mohd. Fauzi menambah, untuk menyediakan bahan-bahan asas atap rumbia itu, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mengambil daun rumbia menggunakan dua jenis parang.

"Kita perlu menggunakan parang yang agak besar untuk memotong dahan daun rumbia dan parang kedua agak kecil sedikit serta perlu tajam untuk merintis daun rumbia agar tidak rosak.

"Untuk memudahkan pengumpulan daun-daun rumbia yang telah dirintis ini, pancangan perlu dibuat dengan dahan daun rumbia supaya senang untuk diangkat," katanya.




Tiga minit

Bagi proses pembuatan atap rumbia, hanya tiga minit sahaja diperlukan untuk menyiapkan sebuah atap atau orang tempatan memanggilnya sebagai satu mengkawan.

"Apa yang diperlukan ialah buluh sebagai bahan asas dan kayu bemban sebagai jarum merangkap benang untuk menjalin setiap daun bemban," katanya.

Kata Mohd. Fauzi, kerja-kerja membuat atap itu menjadi lebih mudah apabila kesemua bahan-bahan asas daun rumbia, kayu bemban dan buluh ada di sekitar kawasan rumah.

"Memang tidak susah untuk mendapatkan bahan-bahan ini kerana dibelakang rumah saya semuanya ada," katanya.

Namun begitu, kini tidak ramai orang yang ingin menggunakan atap rumbia sebagai atap dan tempahan kebanyakannya adalah untuk mendirikan kedai-kedai makan atau pondok wakaf bagi mencantikkan kawasan rumah.

"Kalau hendak diikutkan, atap rumbia ini boleh tahan sehingga 40 tahun selain ia juga boleh menyejukkan rumah. Kalau hujan, rumah tidak akan dimasuki air, cuma pantangnya hanya satu iaitu api.

"Kalau mahu atap rumbia ini tahan lebih lama, selepas siap menjalinkannya ia perlu direndam dalam air selama seminggu supaya ia tidak dimakan ulat atau bubuk," katanya yang pernah bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Sungai Petani.

Bagaimanapun, beliau tidak pernah menyesal bergelumang dengan kerja-kerja kampung.

"Kerja kampung pun rezeki juga asalkan benda yang dibuat ini dapat menambahkan pendapatan kami sekeluarga," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: