Monday, October 5, 2009

Sentuhan solekan artistik untuk Muzikal Gamat


Sebahagian pelakon teater Muzikal Gamat bergambar bersama jurusolek yang bertanggungjawab merubah wajah pelakon mengikut watak masing-masing.


SOLEKAN teater tempatan tidak pernah sebegini artistik dengan sentuhan istimewa jenama solekan legenda artistik Jepun yang dikenali sebagai perintis kecantikan Asia, Shu Uemura.

Buat julung-julung kalinya jenama alat solek dari Jepun itu memperkenalkan konsep solekan teater hidupan dasar laut menerusi Muzikal Gamat terbitan CTRA Production yang dipersembahkan di Istana Budaya dari 2 hingga 8 Oktober ini.

Pementasan teater pertama seumpamanya itu dijangka mencapai tahap produksi bertaraf tinggi dengan menggabungkan elemen keindahan, kreativiti dan seni solekan artistik Mode yang diilhamkan oleh pengasas Shu Uemura sendiri.

Mode mencabar prinsip eksplorasi, menjangkaui trend fesyen bermusim dan meluahkan falsafah estetika unik dalam rekaan keindahan pada kesan solekan.

Solekan Mode dicipta dengan gaya Flaggy pada tahun 1968. Ia merupakan ekspresi rekaan solekan dengan menggunakan imaginasi semata-mata.

Bebas daripada had dan sekatan, ciptaan artistik itu berjaya mengiktiraf penciptanya sebagai 'lelaki yang mengubah solekan kepada karya seni'.

Edisi solekan Mode ke 129 tahun ini digelar Primetribe - dicipta oleh Pengarah Artistik Antarabangsa Shu Uemura, Kakuyasu Uchiide.

Beliau meneruskan pesona legasi itu dengan memberikan keseronokan cabaran dalam menghasilkan kesan solekan artistik tetapi menyerlahkan keindahan sebenar dalam setiap wanita.

Warna-warna artistik Primetribe yang digunakan dalam pementasan Gamat termasuk kuning citrine, firus, merah jambu spinel dan pembayang mata Primal Color Stick dalam warna blazed gold, misty grove, rich earth dan night maroon.

Untuk Muzikal Gamat seramai tujuh hingga lapan jurusolek berpengalaman telah dipilih untuk menghasilkan kesan solekan artistik yang rumit tetapi perlu siap dalam tempoh yang singkat bagi menampung jumlah pelakon yang ramai.

Kolaborasi unik antara jurusolek Blackbook Shu Uemura dan pasukan kreatif Istana Budaya menghidupkan lagi senario kehidupan dasar laut dengan watak-watak seperti gamat, penyu, todak, tiram, ketam, belut, udang kara, kuda laut dan sotong kurita.

Pada demonstrasi solekan Shu Uemura ke atas sebahagian pelakon Muzikal Gamat di Mid Valley Megamall baru-baru ini menunjukkan transformasi Natasha Hudson sebagai ikan buntal, Aidil Solehin (anak gamat), Anith Aqilah (gamat betina) dan Farah Idayu (obor-obor).

Demonstrasi dilakukan oleh jurusolek Blackbook Shu Uemura iaitu Taisu, Surya Zainul dan Emma Mustafa dan Istiadzah Ishak (penyelaras solekan Istana Budaya).

Pada masa yang sama, tema pementasan yang penuh kilauan dan bulu mata (Glitters & Lashes) rekaan Istiadzah diserikan dengan bulu mata palsu ciptaan Taisu.

"Saya menghasilkan 80 rekaan bulu mata palsu berdasarkan setiap watak dalam muzikal ini bersesuaian dengan persona dan usia yang dibawakan oleh para pelakon," kata Taisu yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang solekan.

Falsafah alam semula jadi, sains dan seni mentransformasi setiap pelakon juga menerusi teknik-teknik khas mengikut watak hidupan marin yang dilakonkan.

Menggunakan ratusan jenis dan warna, Shu Uemura membuktikan bahawa ia bukan sahaja menawarkan gaya natural malah menyediakan pilihan untuk kesan solekan avant garde seperti Muzikal Gamat.

Sebanyak 108 warna pembayang mata digunakan dengan empat tekstur berbeza dan 93 warna bibir daripada warna komersial biasa hinggakan rona artistik seperti biru, ungu dan kuning.

Warna-warna terang ini menjadikan solekan lebih realistik terutama apabila ditambah kesan bagi menyerlahkan tekstur unik hidupan laut seperti duri pada wajah ikan buntal atau bulu kening panjang untuk membentuk sesungut udang kara.

"Mesej utama dalam Muzikal Gamat adalah untuk menyebarkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar dan kehidupan secara sihat.

"Ini sejajar keutamaan kami terhadap alam dengan menawarkan nilai tertinggi pada bahan-bahan semula jadi lembut dalam produk solekan kami," kata Taisu lagi.

Seperti contoh, air laut yang kaya dengan mineral digunakan dalam kebanyakan produk dalam produksi teater berkenaan.

Sementara itu, jenama tersebut turut menaja minyak pembersih solekan sesuai digunakan oleh para pelakon yang berusia antara 3 hingga 45 tahun.

Memandangkan semuanya akan disolek dengan tebal, minyak pembersih itu mampu menanggalkan solekan dengan berkesan tanpa menjejaskan kulit walaupun yang paling sensitif.

Produk yang digunakan dalam Muzikal Gamat adalah sama dengan yang digunakan oleh jurusolek dan bintang Hollywood di lokasi penggambaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: