Friday, October 2, 2009

Dalami ranjau percintaan




BERBEKAL wajah kacak dan badan yang sasa, imej playboy sememangnya sangat sinonim dengan aktor, Jehan Miskin. Apatah lagi, pernah kecoh satu Malaya hubungan cintanya dengan aktres, Jue Aziz, Jehan juga selalu dilihat berkepit dengan wanita cantik.

Terbaru aktor berusia 30 tahun itu, dikhabarkan menjadi orang ketiga yang menjadi penyebab retaknya hubungan pasangan sejoli pelakon Scha, 26, dengan kekasih hatinya, Fahrin Ahmad, 30.

Sementelah kenyataan berani mati hero filem Qaisy dan Laila itu bahawa dia sanggup melakukan apa sahaja waima meredah lautan api demi memenangi hati Scha yang dicintainya. Ia menguatkan lagi gosip Jehan sebagai perampas hati pelakon jelita tersebut.

Asalkan dapat memenangi jiwa Scha, bagi Jehan, ia ibarat kemenangan terhebat untuk dirinya.

Soal melabur wang ringgit pula dilihat tidak menjadi isu yang perlu dibangkitkan di sini. Paling penting, sasaran untuk menakluk hati Scha pasti menemui penyudah yang membahagiakan.

"Saya sanggup buat berbagai-bagai perkara termasuk sengaja melanggar kereta dia semata-mata mahu bertentang mata dan berkenalan dengannya.

"Tidak terkecuali, saya rela menggunakan segala kemewahan yang dimiliki untuk mendekati wanita jelita ini," katanya ringkas tanpa malu-malu walaupun menyedari si dara sudah bertemankan cinta dengan Fahrin.

Sampai begitu sekali angau Jehan terhadap Scha. Bagaimanapun, menyedari perbuatan diri yang cuba mendekati Scha itu adalah salah, Jehan pantas menolak dosa itu sekali gus menepis tohmahan bahawa dia penyebab keretakan hubungan Scha-Fahrin.

Bagaimanapun kenyataan berani mati cinta Jehan itu sebenarnya bukan dalam dunia realiti, sebaliknya antara babak yang disatukan dalam drama bersiri terkenal, Awan Dania.

Diam tak diam, drama tersebut kini sudah melangkau musim kedua. Drama sudah pun bertandang di kaca televisyen peminat minggu ini.

Dalam drama tersebut, Jehan memegang peranan sebagai Benjy yang cukup menggilai Dania lakonan Scha. Bagai ada tarikan magnet, Benjy sanggup mengharungi pelbagai kerenah serta ragam Dania yang awal-awal lagi sudah tidak menunjukkan minat terhadap lelaki itu.

"Benjy merupakan seorang lelaki yang hidup dalam kemewahan dan sanggup membuat pelbagai perkara tidak masuk akal demi mendapatkan cinta daripada Dania.


JEHAN menjadi pasangan cinta baru Scha.


"Dia (Benjy) menggunakan bermacam-macam taktik dan helah walaupun mengetahui Dania merupakan seorang yang bersikap kasar tidak seperti wanita lain.

"Sikap Dania yang sederhana dan tidak terlalu mengawal keperibadian diri ibarat wanita-wanita yang pernah dikenalinya sebelum ini membuatkan Benjy tidak mudah mengalah walaupun dihadapkan dengan satu-persatu dugaan.

"Ada juga adegan pergaduhan di antara kami yang membuatkan drama bersiri Awan Dania kelihatan lebih menarik untuk ditonton oleh peminat," katanya semasa sidang media drama berkenaan di ibu negara baru-baru ini.

Terang jejaka kelahiran Pulau Pinang itu, Benjy dan Dania belum mengikat sebarang hubungan istimewa pada permulaan drama bersiri itu kerana pada awalnya Benjy hanya bertepuk sebelah tangan.

"Memang menarik apabila kami sering tidak bersefahaman dalam drama ini lantas membuatkan Benjy terus berusaha sedaya-upaya untuk memenangi hati Dania yang sememangnya keras.

"Saya suka melakonkan watak Benjy yang dilihat cukup gila-gila dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu yang diimpikan dalam hidupnya. Watak Benjy memang lain sikit daripada mana-mana peranan yang pernah saya pegang sebelum ini.

"Kalau hendak tahu lebih lanjut tentang Benjy dan Dania maka jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Awan Dania musim terbaru ini," jelasnya sambil tersenyum manis.

Tidak terkecuali, adik kepada bekas gimnas negara, Faiznur Miskin itu turut membahas keputusannya melibatkan diri dalam penggambaran drama bersiri Awan Dania.

"Saya berlakon dalam drama ini disebabkan pengarahnya sendiri iaitu Azizi Chunk Adnan. Sudah lama sebenarnya saya mengenali dia. Perasaan untuk bekerjasama dengan Azizi memang sudah lama ada dalam diri.

"Azizi merupakan seorang pengarah yang penuh dengan kreativiti apabila bekerja. Bahkan saya cukup bersyukur kerana diberikan sepenuh kebebasan oleh Azizi untuk menjayakan watak Benjy.

"Saya juga boleh menyuarakan sebarang idea apabila bekerja di bawah Azizi apatah lagi apa saja boleh berlaku sepanjang proses penggambaran drama ini berjalan.

"Kebiasaannya kami akan berbincang di antara satu sama lain tentang watak saya atau mana-mana adegan demi memperlihatkan kelainan kepada Awan Dania musim baru," ujar Jehan tanpa berselindung.

Awan Dania musim kedua turut mengekalkan barisan pelakon asal seperti Scha, Irma Hasmie dan Mustapha Kamal selain membawa masuk wajah baru seperti Fizo Omar, Jehan Miskin, Aida Aris, Yasmin Khanif, Wany Mustafa, Eyta Mahmud dan Enny Ridwan.

Ia berkisar kehidupan seorang gadis bernama Dania yang berjaya mencapai impiannya untuk menjadi pramugari di sebuah syarikat penerbangan sebelum ini.

Disebabkan menghormati persahabatan dengan rakannya, Diana bagaimanapun nekad mengambil keputusan untuk berhenti daripada syarikat penerbangan lama dan menganggur untuk tempoh seketika.

Walaupun begitu, angan-angan Dania untuk terbang di awan tidak sedikitpun pernah luntur. Akhirnya dia berpeluang menyertai sebuah lagi syarikat penerbangan yang menawarkan peluang pekerjaan sebagai pramugari.

Kepada peminat setia Awan Dania, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan musim kedua drama itu yang kembali menemui peminat sejak 28 September lalu pada pukul 10 malam di Astro RIA (saluran 104).

Seronok bergelar pengacara

Selain galak bercerita tentang lakonannya dalam Awan Dania, Jehan tidak ketinggalan berkongsi isi hatinya bergelar seorang pengacara. Dia mengendalikan program Jom Santai yang disiarkan di TV1 sejak September lalu.

Rancangan bual bicara 13 episod yang ditayangkan setiap Sabtu pada pukul 11 malam itu mengenengahkan pelbagai topik baik yang ringan mahupun berat untuk dikongsi dengan penonton. Ia dipancarkan terus dari menara tinjau, Menara Kuala Lumpur.

Menggulung hujah tentang Jom Santai, Jehan memberitahu, program bual bicara itu memberikan pengalaman baru untuknya yang sebelum ini lebih terarah kepada bidang lakonan.




"Menarik sekali apabila ada sebuah rancangan yang dapat mempersembahkan satu-satu isu yang relevan dengan formatnya tersendiri berbeza dengan program bual bicara lain.

"Saya dapat berdiskusi dengan golongan penyanyi mahupun pelakon secara terus sambil disaksikan oleh audiens di rumah.

"Sepanjang mengendalikan Jom Santai, saya dapat perhatikan bahawa artis senior selalunya memberikan idea ataupun pandangan yang bernas tentang sesebuah topik.

"Tidak dinafikan, mereka sudah berpengalaman dalam bidang seni lantas sudah tentu individu-individu ini punya banyak pengetahuan untuk dikongsi dengan orang lain.

"Dalam pada itu, saya masih belajar selok-belok dunia pengacaraan. Memanglah pihak produksi program ini ada beri skrip untuk saya mengelolakan Jom Santai. Tetapi ada waktunya saya menggunakan dialog sendiri secara spontan agar tidak terikat dengan format skrip rancangan ini.

"Cuma pihak RTM tidak membenarkan saya bertutur dalam bahasa Inggeris. Biarpun begitu, ada jugalah beberapa kali saya terlepas menyebut bahasa ini.

"Rasa bersyukur apabila produksi Jom Santai mengamalkan sikap bertimbang-rasa dan bertolak-ansur dalam soal ini," tutur Jehan sambil menarik nafas lega.

Kalau sesetengah hos terkadang lebih gemar mengemudikan program yang bercirikan rakaman, Jehan pula tanpa berselindung mengaku menyukai rancangan kendaliannya dilaksanakan secara langsung.

"Memanglah orang cakap program bual bicara yang disiarkan secara terus kepada penonton di kaca televisyen ini sukar namun saya lebih selesa dengan rancangan siaran langsung.

"Nasib baik Jom Santai bukan program rakaman lalu ia membantu saya untuk menjadi lebih santai dalam set serta sentiasa bersiap-sedia dengan kesilapan yang boleh menimpa pada bila-bila masa.

"Pernah jugalah saya berdepan dengan masalah sebelum ini. Tetapi saya cuma berkelakuan seperti biasa agar tidak terlalu dilihat oleh penonton bahawa saya sedang melakukan kesalahan.

"Alhamdulillah, saya berjaya mengawal kejadian memalukan yang berlaku semasa bersiaran secara langsung mengendalikan program ini. Setelah melibatkan diri dalam bidang ini, hati saya sudah jatuh cinta untuk bergelar seorang hos selepas ini. Selain berlakon dalam drama mahupun filem, saya juga berharap dapat mengembangkan bakat sebagai pengacara," ikrar Jehan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: