
RANTAU PANJANG - Hasrat lima lelaki untuk mendapat keuntungan lebih dengan menyeludup gula ke negara jiran tidak kesampaian apabila terserempak dengan sepasukan anggota Batalion 1 Rejimen Sempadan berpangkalan di Markas Tok O yang membuat rondaan.
Pegawai Pemerintah Batalion 1 Rejimen Sempadan, Leftenan Kolonel Hamdan Othman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi 14 Oktober itu, seramai 10 anggota melakukan rondaan biasa di kawasan pangkalan haram Perahu dekat sini.
"Selepas menyedari kehadiran anggota kita, kesemua lelaki tersebut terus melarikan diri dengan berenang menyeberangi Sungai Golok menuju ke negara jiran.
"Hasil pemeriksaan kita mendapati terdapat bungkusan plastik mengandungi gula pasir yang dianggarkan seberat 2,400 kilogram dan bernilai RM3,400 yang cuba diseludup keluar," katanya ketika ditemui semalam.
Tambah beliau, rampasan itu merupakan yang terbesar membabitkan barangan kawalan setakat ini dan pihaknya akan terus menggandakan operasi bagi mengesan cubaan menyeludup barangan ke negara jiran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: