Wednesday, October 28, 2009

Bicara tanpa Karadzic


BEBERAPA wanita Bosnia menunjuk perasaan berikutan tindakan Karadzic memulaukan perbicaraan di The Hague, Belanda.



KARADZIC


THE HAGUE, Belanda - Bekas pemimpin Serb Bosnia, Radovan Karadzic merupakan 'pemerintah tertinggi' kempen penghapusan etnik semasa era perang Bosnia pada 1992 hingga 1995, menurut keterangan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk Bekas Yugoslavia (ICTY) semalam.

"Perbicaraan ini adalah mengenai 'pemerintah tertinggi' tersebut (Karadzic) iaitu seorang lelaki yang menanam semangat nasionalisme, kebencian dan ketakutan semata-mata untuk merealisasi visinya bagi membentuk sebuah negara Bosnia yang berbeza etnik," kata pendakwa raya, Alain Tieger.

Karadzic membela dirinya sendiri berhubung 11 pertuduhan melakukan pembunuhan besar-besaran, jenayah perang dan jenayah kemanusiaan ketika Perang Bosnia yang menyebabkan 100,000 orang terbunuh manakala 2.2 juta lagi terpaksa menjadi pelarian.

Bekas pemimpin Serb-Bosnia berusia 64 tahun itu mengaku tidak bersalah berhubung semua tuduhan terhadap dirinya.

Perbicaraan jenayah penghapusan etnik terhadap Karadzic bersambung tanpa kehadirannya semalam selepas dia memulaukan perbicaraan itu untuk hari kedua berturut-turut.

Karadzic memberi alasan dia memerlukan lebih banyak masa untuk meneliti dan melakukan persediaan kesnya.

Hakim ICTY, O-Gon Kwon menyatakan kekesalannya berhubung tindakan Karadzic itu sambil menambah, mahkamah akan menimbang untuk melantik seorang peguam bagi mewakili penjenayah perang itu sekiranya dia terus memulaukan perbicaraan tersebut.

Kwon turut memberi amaran kepada Karadzic bahawa dia perlu menerima padah kerana enggan menghadiri perbicaraan itu.

Hakim itu memberitahu, beliau dan dua lagi hakim akan memutuskan bagaimana untuk meneruskan perbicaraan itu pada minggu depan selepas pihak pendakwa raya mengemukakan hujah pembukaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: