Monday, October 5, 2009

Berikutan perang mulut Norman KRU - David Teo - Perang atau promosi percuma?

"Seboleh-bolehnya saya sejak dulu lagi tidak mahu bercakap tentang kadar kutipan yang diperoleh kerana enggan dikatakan riak ataupun mahu menunjuk-nunjuk" – NORMAN





NORMAN



DAVID TEO


PERTELAGAHAN Pengarah Urusan Metrowealth Movies Production, David Teo dengan adik-beradik KRU bukanlah satu perkara baru yang perlu diungkitkan semula. Rasanya satu Malaysia sudah mengetahui David pernah bikin kecoh apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) lewat mengemas kini jumlah kutipan filem terbitannya, Jangan Pandang Belakang.

Pada waktu itu, filem Cicakman arahan Yusry menjadi filem paling sengit bersaing dengan kutipan tiket yang diraih Jangan Pandang Belakang. Sempatlah juga kedua-duanya berperang mulut menyatakan filem masing-masing lebih box-office sebelum Finas mengumumkan Jangan Pandang Belakang lebih box-office dengan kutipan RM6.1 juta.

Lantaran itu, bagi mengelakkan pertikaian tentang jualan kutipan itu terus menjadi berulang sekali gus membunuh persahabatan mereka serta orang kuat industri seni lain tanah air selepas ini, Norman mencadangkan agar sistem automatik laporan diwujudkan.

Menurut Norman, sistem canggih itu dilihat berperanan sebagai sumber maklumat yang tepat sekali gus dikemaskini dengan pantas terutama berkaitan dengan kutipan semasa tayangan sesebuah filem. Lantaran itu, tiada lagi timbulnya sebarang keraguan mahupun tersasar daripada memberikan kenyataan sebenar kepada khalayak.

Menggunakan 'kuasa' yang dimilikinya sebagai Setiausaha Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Norman mengakui saranan sedemikian sebenarnya sudah dihantar kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada penghujung Ogos lalu.

"PFM sedang berusaha untuk mendapatkan geran daripada MITI menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan bagi menjalankan sistem laporan jualan semasa tiket yang dapat digunakan sepenuhnya oleh penggiat seni tempatan.

"Sistem yang dianggarkan bernilai RM1 juta ini berupaya melaporkan terus daripada pemamer mahupun pihak pawagam kepada para penerbit filem melalui sistem khas di Internet mahupun khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung jualan tiket yang diperolehi dari semasa ke semasa," katanya ketika ditemui selepas majlis mempromosikan filem terbarunya, Jin Notti di Golden Screen Cinema, Mid Valley di sini kelmarin.

Turut hadir ialah dua pelakon utamanya, Mawi dan Fara Fauzana yang sempat menghabiskan waktu selama 45 minit beramah-mesra dengan peminat sebelum berangkat ke tiga pawagam utama di ibu negara, Berjaya Times Square, Pavillion dan KLCC pada hari sama.

Sambung Norman, dia percaya sistem yang menggunakan sepenuh kemudahan teknologi maklumat itu mampu menunjukkan data terkini dan informasi lengkap tanpa adanya sebarang unsur-unsur penipuan.

"Tiada yang lebih membahagiakan PFM dan para penerbit di negara ini kalau idea tersebut berjaya direalisasikan secepat mungkin. Oleh itu saya berharap agar pihak MITI dapat memberikan perhatian terhadap usul yang diketengahkan oleh PFM ini," jelasnya.

Walaupun pemilik-pemilik pawagam di seluruh Malaysia tidak lagi diberitahu tentang kewujudan sistem tersebut, jelas Norman, dia percaya mereka dapat memberikan sepenuh kerjasama terhadap cadangan PFM.

"Saya pasti tuan punya pawagam sudah mendapat perkhabaran tentang saranan kami yang ingin mewujudkan sistem laporan jualan semasa tiket di premis masing-masing.

"Kami mohon agar mereka menerima idea PFM ini sekali gus menjadikan sistem laporan pengiraan jualan semasa tiket ini sebagai penggerak untuk meningkatkan perkembangan industri perfileman di Malaysia," tambah Norman.

Dalam waktu sama, Norman turut membidas sikap David yang tidak berhati-hati memberi kenyataan kepada pihak media sebelum ini.

Minggu lalu David mencanangkan bahawa kutipan filem edarannya, Momok The Movie (Momok) sudah mengatasi kutipan Jin Notti yang ditayangkan pada 1 Syawal lalu.

Sikap David yang bersuara tanpa merujuk kepada fakta terlebih dahulu tentang kejayaan Momok dalam waktu sama mengelirukan banyak pihak di luar sana sekali gus menjejaskan jumlah penonton untuk datang ke pawagam menyaksikan Jin Notti.

Beritahu Norman, kontroversi itu juga menyedarkan empunya diri supaya lebih bersedia pada masa akan datang disebabkan ada dua filem keluaran KRU Studio sekali lagi bakal bersaing dengan filem terbitan Metrowealth.

"Pada November nanti kami akan mengedarkan filem animasi komedi, Planet 51. Pada masa sama, filem Senario The Beach Boys juga akan ditayangkan kepada umum. Pada Disember pula, dua filem kami juga akan bersaing di pawagam.

"Kami menayangkan filem My Spy arahan Afdlin Shauki manakala filem Santau juga masuk panggung. Justeru itu, persaingan dilihat menjadi berterusan.

"Saya harap apa yang berlaku ini menjadi satu pengajaran kepada setiap produser filem lain supaya berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan terutama apabila memperkatakan filem pesaing kerana kita sama-sama cari rezeki dalam bidang ini," ungkapnya.

Ketika ditanya tentang jumlah kutipan sebenar Jin Notti, Norman memberitahu, filem tersebut sudah mencapai kutipan sebanyak RM2 juta sejak kelmarin.

"Seboleh-bolehnya saya sejak dulu lagi tidak mahu bercakap tentang kadar kutipan yang diperoleh kerana enggan dikatakan riak ataupun mahu menunjuk-nunjuk.

"Saya tidak kisah kalau wartawan yang hendak membanding-bandingkan jumlah kutipan semasa ini. Tetapi apabila David yang buat kenyataan sendiri maka saya harus bangkit menjelaskan perolehan sebenar kerana ini melibatkan soal maruah Jin Notti dan pelakon-pelakon yang terlibat.

"Biarpun begitu, saya malas hendak membesar-besarkan perkara ini. Saya anggap tindakan David ini sebagai satu cabaran kepada saya untuk terus menghasilkan produk yang lebih bermutu selepas ini. Tidak wujud istilah saya mahu serang ataupun sabotaj dia kerana kami berada dalam cabang sama.

"Terus-terang, saya menghasilkan Jin Notti bukan disebabkan hendak pecah rekod dan memenuhkan panggung. Bahkan tidak terlintas pada fikiran untuk capai kutipan berjuta-juta ringgit.

"Kalau dapat sekitar RM3 hingga RM5 juta sekalipun, ia sudah memadai kepada saya dan seluruh tenaga produksi Jin Notti," akui Norman enggan berselindung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: