Monday, October 19, 2009

1Malaysia bukan retorik - Najib


NAJIB bersama Muhyiddin, Rais dan Zambry memukul gendang sebagai gimik merasmikan program sambutan 1Malaysia di Ipoh malam tadi.


IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mahu gagasan 1Malaysia dilihat sebagai satu retorik, gimik politik atau slogan semata-mata sebaliknya ia adalah satu perjuangan untuk berlaku adil kepada setiap rakyat, merentasi batas kaum dan agama.

Katanya, ia merupakan satu prinsip keadilan yang akan menjamin keharmonian semua kaum di negara ini dan ia adalah pengiktirafan terhadap segala sumbangan yang dicurahkan setiap kaum untuk membangunkan negara.

"1Malaysia sebenarnya turut menekan konsep keadilan sosial kepada semua kaum dan kerajaan memberi jaminan tiada satu kelompok masyarakat akan terpinggir.

"Melalui gagasan ini, hak sesuatu kaum itu tidak akan diberikan kepada kaum lain dengan begitu sahaja kerana ia masih berlandaskan kepada perlembagaan negara," katanya.


LEBIH 50,000 orang membanjiri Stadium Perak semasa program sambutan 1Malaysia peringkat negeri Perak di Ipoh malam tadi.


Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan program 1Malaysia Bersama Rakyat peringkat negeri Perak di Stadium Perak di sini semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: