Sunday, July 3, 2011

Wajah bayi 3 dimensi


Teknologi imbasan terkini mampu menghasilkan imej 3D dan 4D.


KESERONOKAN dan rasa teruja apabila seorang wanita disahkan hamil merupakan perasaan yang biasa dialami pasangan suami isteri. Walaupun kehamilan itu berlaku seratus tahun atau seribu tahun yang lalu, namun rasa tidak sabar-sabar mahu melihat paras rupa bayi yang dikandung tetap sama.

Nenek moyang kita dahulu tidak mempunyai pilihan selain menunggu bayi dilahirkan untuk melihat bagaimana paras wajahnya. Sebarang kecacatan juga tidak dapat dikesan kerana teknologi ketika itu amat terbatas untuk melihat proses perkembangan janin.

Maka terpaksalah pasangan suami isteri bersabar menunggu saat kelahiran, sambil meneka-neka jantina bayi menerusi cara tersendiri. Misalnya kalau perut wanita hamil itu bulat, maka anak yang dikandung dikatakan lelaki.

Apabila teknologi ultrasound imbasan diperkenalkan, maka era berteka-teki semakin kurang mendapat tempat. Menerusi imbasan, jantina bayi dapat dilihat. Namun tidak seratus peratus tepat lantaran hasil paparan pada skrin komputer tidak begitu memuaskan. Selalunya jika jantina bayi dikenal pasti lelaki, maka ia boleh dianggap 99.9 peratus tepat. Hasil imbasan yang dicetak pula hanya berwarna hitam dan putih.

Selain menentukan jantina, teknologi imbasan juga membantu mengesan kecacatan jika ada. Begitu juga kehamilan kembar atau masalah-masalah lain dapat dilihat secara kasar. Teknologi tidak membataskan rasa teruja manusia untuk mengetahui lebih terperinci lagi akan makhluk ciptaan Tuhan.

Maka lahirlah ultrasound imbasan 3 dan 4 Dimensi (3D dan 4D) yang memberi lebih kepuasan dari segi penampilan rupa dan bentuk anggota bayi. Poliklinik Penawar Semenyih antara klinik yang menawarkan teknologi imbasan 3D buat ibu-ibu mengandung yang ingin mengetahui tentang bayi yang dikandung.

Bukan itu saja teknologi canggih itu membantu meredakan kebimbangan ibu-ibu yang mempunyai masalah kesihatan semasa mengandung.

Misalnya, ibu yang mengalami masalah kandungan gula tinggi semasa mengandung tentunya ingin memastikan saiz bayi tidak terlalu besar atau terlalu kecil.

Begitu juga dengan ibu yang mempunyai sejarah melahirkan bayi tidak sempurna seperti sumbing. Dengan adanya imbasan 3D, mereka dapat melihat sama ada masalah tersebut turut berlaku pada bayi yang dikandung. Jika keadaan itu dapat dikenal pasti lebih awal, ibu bapa boleh membuat persediaan mental dan fizikal untuk menyambut kelahiran bayi itu.

Tentunya bagi pengendali poliklinik tersebut, Dr. Rushmini Maris Ismai teknologi yang mula memasuki Malaysia tahun lepas memberi kelebihan kepada doktor sakit puan untuk membuat analisis jika terdapat sebarang keperluan berbuat demikian.

``Imej janin atau bayi juga boleh dilihat dari 3 dimensi oleh itu sebarang masalah atau keadaan yang luar biasa dapat diakses dengan lebih tepat,’’ katanya.

Malah, dengan imbasan 3D, ukuran yang lebih tepat seperti anggaran berat bayi dapat dibuat.

Menurut beliau, bermula dengan minggu kehamilan ke-13, imbasan 3D boleh dilakukan, manakala ada juga pendapat ia sesuai dimulakan pada minggu ke-22 hingga ke-30 kehamilan.

Dengan imbasan 3D dan 4D, anda akan dapat melihat kulit bayi melitupi organ dalaman bayi selain bentuk mulut, hidung selain gerak menguap atau menggeliat.

Ia juga selamat seperti imbasan biasa kerana paparan imej dihasilkan menerusi bahagian-bahagian pada imej dua dimensi yang ditukar dalam bentuk gambar.

Imej yang lebih menyakinkan dan mampu diagnosis sebarang tanda-tanda luar biasa seperti sumbing pada bibir atau kecacatan pada telinga dan wajah. Begitu juga jika terdapat ketidaksempurnaan pada tulang belakang selain kecacatan jantung.

Yang pasti, imbasan 3D turut mewujudkan ikatan psikologi antara ibu bapa dan bayi yang belum dilahirkan. Semasa imbasan dilakukan, mereka boleh melihat pelbagai ekspresi wajah bayi seperti sedang menghisap ibu jari dan membuka mulut. Untuk maklumat lanjut hubungi 03-8723 1719.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: