Friday, July 22, 2011

TUNGGANG BASIKAL HEBAH MESEJ HIJAU


KEPUASAN dan kegembiraan terlukis di wajah 60 kakitangan City berhad selepas berjaya menamatkan kayuhan sejauh 20 kilometer.


SEDANG semua orang sibuk memulakan tugas di pejabat, lain pula agenda 60 kakitangan Sunway City Berhad apabila berkumpul di depan lobi Menara Sunway, Bandar Sunway Petaling Jaya seawal pukul 9 pagi Jumaat awal bulan lalu.

Mereka berhimpun bukan untuk berpiket terhadap majikan sebaliknya, mahu menjayakan program sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada tanggal 5 Jun setiap tahun.

Hari Alam Sekitar Sedunia bermula pada tahun 1972 dan ia semakin berkembang sehingga menjadi salah satu acara oleh Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membangkitkan kesedaran orang ramai di seluruh dunia mengenai alam sekitar.

Bagi menyambut baik usaha tersebut, pihak pengurusan Sunway City mendeklarasikan cuti pada hari Jumaat 3 Jun lalu bagi membolehkan 60 kakitangannya menyebarkan mesej hijau gaya gerila.

Masing-masing tidak kira lelaki mahupun wanita lengkap berpakaian sukan, berkasut sukan di atas basikal masing-masing dengan berpakaian rona hijau lemon serta berhelmet seakan-akan tidak sabar untuk memulakan kayuhan hijau.

Sejurus dilepaskan oleh Pengarah Urusan Pembangunan Hartanah Sunway City Berhad, Ho Hon Sang, kesemua mereka memulakan kayuhan dengan sorakan dengan diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi Sunway City, Ong Ghee Bin.


SERAMAI 60 kakitangan Sunway City Berhad memulakan kayuhan hijau dengan penuh semangat.


Kesemua penunggang dengan penuh semangat turut membawa sepanduk bendera yang tertera pelbagai mesej hijau seperti Don't be mean, Go Green, I'm Eco-Driven dan Green Powered dengan harapan menggalakkan penggunaan basikal sebagai pengangkutan alternatif bagi menjaga alam sekitar sepanjang kayuhan berlangsung.

Kayuhan sejauh 20 kilometer yang bermula di Menara Sunway ke Galeri Jualan Sunway City di Kota Damansara mengambil masa lebih dua jam itu mendapat perhatian pengguna laluan lebuh raya New Pantai Expressway (NPE).

Kayuhan basikal yang membelah lebuh raya NPE itu diiringi polis trafik bermotosikal bagi menjamin keselamatan para penunggang basikal.

Walaupun matahari mula memancar terik, para peserta masih gagah meneruskan kayuhan sungguh pun ada di antara penunggang ketinggalan jauh di belakang. Namun, yang jelas tidak ada seorang pun yang berhenti daripada mengayuh basikal masing-masing.

Gaya hidup mapan


PELBAGAI mesej hijau dikibarkan sepanjang kayuhan oleh para peserta.


Sunway City menekankan falsafah Gaya Hidup Sihat dan Mapan (LOHAS) yang mementingkan penjagaan alam sekitar dalam pembangunannya.

"Melalui usaha ini, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran orang awam mengenai alam sekitar dan mengingatkan mereka setiap hari mengenainya. Kita boleh melakukan sesuatu usaha yang kecil bagi menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar.

"Sunway City telah mendahului dalam pembinaan pembangunan mapan. Usaha kreatif oleh kumpulan kami ini adalah satu langkah kehadapan untuk menawan minat orang awam berimaginasi bagi melakukan pembaharuan mapan," kata Hon Sang.

Selepas selesai melakukan kayuhan, kesemua 60 basikal kemudian diserahkan kepada pembangunan kediaman Sunway City dalam majlis yang berasingan untuk menggalakkan gaya hidup mapan.

Sunway Sutera yang telah diserahkan kepada pemilik pada tahun 1999 dan lain-lain pembangunan kediaman seperti Sunway Opal, Laman Impian, Sunway Challis, Sunway Cita Damansara dan Sunway Parkville akan menerima 10 basikal melalui inisiatif itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: